BUSANA dijahit penuh keyakinan walaupun segala perbuatan tangan diperhatikan Emma. Ayla mengambil keputusan untuk menyiapkan bahagian badan baju sebelum disatukan dengan bahagian kain. Renda jenis Alencon dipilih bagi dipadankan bersama bentuk sweetheart pada dada busana.
"Ayla, boleh saya tahu kenapa awak pilih fabrik jenis georgette?" soal Emma, menguji pengetahuan Ayla dalam pemilihan kain. Secantik mana busana pengantin, ia mampu mendatangkan masalah jika pereka menggunakan jenis kain yang salah. Keselesaan baju yang dipakai mengikut persekitaran amatlah penting.
Ayla menunda kerja bagi menjawab soalan tersebut. Emma dan baju dipandang berganti-gantian. "Kain jenis georgette adalah fabrik bertekstur ringan malah ia mempunyai lapisan kain crepe yang juga ringan dan padan bagi baju berbentuk A-line. Baju diperbuat daripada georgette antara yang paling sesuai dipakai pada waktu panas seperti musim sekarang."
"Good! Awak betul." Jawapan tersebut memuaskan hati Emma. Ayla tersenyum bangga. Peluang dan potensi menjawat jawatan pembantu pereka semakin berpihak kepada Ayla. Semestinya Emma akan melibatkannya ke dalam projek yang diusul kepada pihak butik.
Berikutan itu, segala apa yang tertulis dalam dokumen perjanjian telah dibaca dan ditandatangani Krystal. Tinggal persetujuan secara rasmi daripada Emma sahaja.
Bersama dokumen di tangan, Emma mengambil tempat duduk tidak jauh daripada Ayla. Calon pekerja itu menumpukan semula pada tugas. Situasi mereka sedikit senyap sehingga Ayla mengajukan soalan yang tiada kaitan dengan skop kerja.
"Cik Emma, calon semalam tak datang semula dan jahit baju ke?" tanya Ayla, ingin memastikan bahawa lelaki itu disingkirkan daripada senarai pendek. Zaman sekarang agak sukar bagi graduan sepertinya memperoleh pekerjaan berikutan pesaingan kuat dari mana-mana lepasan graduan yang cemerlang atau mereka yang lebih berpengalaman.
Pembacaan tulisan di atas helaian kertas bergantungan. Emma angkat muka dan tertanya-tanya calon yang dimaksudkan Ayla. "Calon yang mana satu? Kejap, kenapa awak tanya? Awak risau eh?"
Usikan Emma tidak mendatangkan kelegaan. Ayla mengangguk dan meneruskan keinginannya untuk tahu. "Ya, calon selain saya. Semalam dia datang pakai kot warna merah tua. Agak kacak walaupun nampak sedikit sombong. Orangnya tinggi lampai..."
Ayla meluruskan tangan ke atas, hendak menggambarkan kepada Emma betapa renjongnya lelaki berkenaan. Kalau Emma masih bingung, akan Ayla jengketkan kaki sehingga hujung tangan menyamai paras kedudukan atas kepala lelaki tersebut.
"Oh... Encik Mingyu ke? Dia tu bukan calon pekerja, tapi pembekal kain terutama untuk pertunjukan itu nanti. Andai kata awak diterima bekerja di sini, kita berdua akan selalu berurusan dengan Encik Mingyu. Hurm... Betul juga cakap awak. Muka dia nampak macam berlagak sikit. Hahaha." Sempat Emma mengutuk malah mengumpat. Baki tawanya berlarutan lalu terhenti apabila bacaan cetakan dokumen disambung semula.
YOU ARE READING
𝐃𝐀𝐍𝐃𝐄𝐋𝐈𝐎𝐍 𝐈𝐈: 𝐔𝐍𝐁𝐑𝐄𝐀𝐊𝐀𝐁𝐋𝐄 𝐋𝐎𝐕𝐄
FanfictionSEKUEL---> DANDELION: LAST LOVE Peluang cinta kedua itu sukar diraih tatkala hati terjahit kemas tanpa lompong dalam mengisi perasaan. Andai bunga dandelion mekar menguntum rindu, maka kehadirannya amatlah perlu. ◦ ✤ Cerita ini adalah REKAAN semat...