SEKUEL---> DANDELION: LAST LOVE
Peluang cinta kedua itu sukar diraih tatkala hati terjahit kemas tanpa lompong dalam mengisi perasaan. Andai bunga dandelion mekar menguntum rindu, maka kehadirannya amatlah perlu.
◦ ✤ Cerita ini adalah REKAAN semat...
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
WARNA dan corak yang terpapar di atas board paper ditilik berkali-kali. Hampir lima belas minit masa yang dibuang ke atas empat jenis lakaran kain yang diserahkan pekerja kepadanya. Lakaran bersimpang-siur menghasilkan bentuk yang tidak dapat ditafsir sehingga hujung dakwat menghasilkan bentuk bunga dan daun kecil.
"Ayah, cuba tengok ni... Cantik, kan? Mingyu ingat nak minta pihak butik hasilkan baju menggunakan kain corak abstrak supaya nampak berbeza daripada busana yang lain. Mingyu harap diorang sempat siapkan semua 20 helai baju tu," kata Mingyu, tidak menghiraukan celotehnya menggapai respon daripada lelaki lumpuh ataupun tidak. Board paper segi empat sama itu ditayangkan pada sepasang mata yang terbuka lemah.
Perlahan-lahan bola mata Hyunsik bergerak, menangkap figura anak tunggal di sisinya. Lukisan yang menjadi kebanggaan Mingyu langsung tidak mendapat tempat di hati walau seindah mana hasil tangan yang halus itu.
Mimik dan riak sukar mewakili Hyunsik dalam berkata-kata. Tegang urat pada bahagian pipi dan leher menunjukkan Hyunsik sedang berusaha untuk berinteraksi dengan Mingyu. Kerongkong cuba mengeluarkan suara yang sudah lama terpendam sakit dari dalam dada. Ia gumpalan yang tidak terluah lalu membebankan jiwa. Lantas, anak mata berkaca menyatakan segalanya.
Melihat pada kelakuan yang tidak membuahkan hasil, keterujaan Mingyu berkongsi tentang pekerjaannya hilang ditelan pahit. Mingyu bersandar dan mengeluh. Lukisan di tangan diletak di atas meja kecil seperti tiada nilai. Dia tidak suka Hyunsik melakukan sesuatu agar sekelumit simpati dapat diraih.
"Mingyu tahu, ayah nak sihat seperti sediakala. Ayah bosan duduk atas katil macam ni. Ayah nak bekerja seperti hari-hari sebelum. Mingyu faham...," ujar Mingyu lalu merapatkan kepala pada wajah ayahnya.
"... Tapi Mingyu minta maaf, ayah. Mingyu tak boleh tunaikan permintaan ayah yang satu ni. Mingyu tak nak bila ayah sihat, ayah buka mulut tentang apa yang terjadi 12 tahun lepas. Mingyu tak izinkan, ayah. Si sial tu tak boleh tahu. Selama-lamanya kejadian tu perlu dirahsiakan. Ayah tak sayang Mingyu ke?" soal Mingyu, menjauhkan diri dan menanti tindak balas Hyunsik.
Kekecewaan jelas dari mata Hyunsik yang mencerlung pandang. Perubahan Mingyu terlalu ketara sehingga kesihatannya tidak diendahkan demi menjaga kepentingan peribadi. Seorang anak sanggup membiarkan ayahnya terlantar sakit selama-lamanya. Tegar Mingyu melakukan semua itu hanya kerana kejadian yang telah lama berlalu. Andai Hyunsik mampu menghayunkan tangan, sudah lama anaknya ditampar!
"Mingyu harap ayah tak marah. Mingyu janji, Mingyu akan jaga ayah sampai bila-bila. Mingyu akan sentiasa berada di sisi ayah sehingga akhir hayat kita berdua." Mingyu mengangkat sumpah lalu tapak tangan kasar Hyunsik diraih dan digenggam dengan penuh kasih sayang.
Hyunsik seakan tidak rela tangan mereka bertaut. Senyuman manis yang dihadiahkan Mingyu adalah racun baginya. Hati yang meronta-ronta, tidak dapat menerima tindakan yang tercetus daripada akal tidak waras anaknya. Hyunsik inginkan kebebasan dan menjalani makna kehidupan sebenar dan bukannya terseksa dalam neraka ciptaan Mingyu!