✺ 15 ❋

71 12 387
                                    

PASU kecil berisi air, gunting dan sejambak bunga diletakkan di atas sebuah meja di ruang tamu

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

PASU kecil berisi air, gunting dan sejambak bunga diletakkan di atas sebuah meja di ruang tamu. Hannah duduk bersipuh di atas hamparan karpet bagi memulakan hobinya. Setangkai bunga tidak dikeluarkan dari pembalut lantaran seseorang terlintas dalam kepala Hannah.

"Ajak Abang Hyunsik sekalilah." Hannah bangun dan berlari anak menuju laluan yang membawanya ke sebuah bilik berkedudukan paling hujung. Dia berharap Hyunsik sedang berada di atas kerusi roda memandangkan pembantu lelaki telah selesai membersihkan abangnya itu.

"Haa... Nasib abang tak baring," kata Hannah, mendekati Hyunsik yang sedang memandang sehala ke arah luar tingkap. Lelaki itu diberi peluang menatap jingganya petang berikutan biliknya bersebelahan laman rumah.

Kemunculan Hannah, menyeret gerakan anak mata Hyunsik daripada terus menghitung waktu labuhnya tirai matahari di ufuk barat. Suara Hannah yang sentiasa melonjak ceria seolah-olah menapakkan secebis kegembiraan dalam hati Hyunsik yang sunyi dengan kesakitan.

"Abang, Hannah nak pindahkan bunga yang Yejun bagi tadi ke dalam pasu. Hannah gubah ikut cara Hannah sendiri. Jom. Abang teman Hannah, ya?" Kerusi roda Hyunsik ditolak Hannah, membawa lelaki yang tampak tidak bermaya itu keluar dari bilik.

Sambil kaki berjalan, Hannah mengintai wajah Hyunsik dan mendapati lelaki itu tersenyum. Menemani Hannah melakukan perkara yang digemari adiknya itu, dapat mengisi putaran masa serupanya dengan sesuatu yang lebih menarik.

Hannah mengalihkan sofa satu labuhan agar Hyunsik berada rapat dengan meja. Setelah itu Hannah kembali duduk di atas karpet dan membuka balutan bunga dengan berhati-hati agar span basah dan takungan air di dalamnya tidak tertumpah di atas meja.

"Abang, tengok ni," tunjuk Hannah. Bunga seakan-akan mawar itu dimainkan di penglihatan Hyunsik.

"Nama bunga ni... buttercup atau ranunculus. Cuba abang pegang." Tangan Hyunsik diraih dan Hannah meletakkan kuntuman di atas telapakan. Abangnya tersenyum apabila dia dapat merasai betapa lembutnya kelopak bunga warna ungu tersebut.

"Yejun beli jambak bunga yang paling besar. Macam-macam jenis bunga ada. Tengok gaya macam bukan dia yang pilih. Pekedai kut. Tapi tak apalah. Sekarang, Hannah nak gubah sendiri dan letakkan dalam bilik abang. Acah-acah aromaterapi," beritahu Hannah, membiarkan setangkai bunga buttercup tadi bersama Hyunsik sementara dia menyiapkan menumpukan perhatian pada bunga yang lain.

Hyunsik berusaha untuk memandang kesemua bunga yang disusun Hannah. Nama bunga tidak diketahui dan hanya menjadi tatapan bundarnya. Pemberian Yejun menimbulkan rasa terharu meskipun sekadar sejambak bunga sebagai hadiah. Kebaikan sedemikian tidak pernah diterima daripada Mingyu yang lebih bersikap dingin. Kenapa anaknya itu tidak membunuhnya sahaja? Kenapa diseksa dirinya sebegini rupa?

Sakit yang dirasa mencucuk setiap bahagian tubuh lalu jiwanya terkesan sama.

"Isk... isk..." Esakan tenggelam timbul menyapa telinga Hannah. Sebentar sahaja tumpuannya diserahkan pada bunga sebelum dia menoleh memandang Hyunsik.

𝐃𝐀𝐍𝐃𝐄𝐋𝐈𝐎𝐍 𝐈𝐈: 𝐔𝐍𝐁𝐑𝐄𝐀𝐊𝐀𝐁𝐋𝐄 𝐋𝐎𝐕𝐄Where stories live. Discover now