BAB 83

1.6K 64 0
                                    

HUMAYRAA mematikan enjin kereta BMW yang dipandunya. Mujur sahaja dia mendengar nasihat Isaac untuk mendapatkan lesen kereta secepat mungkin memandangkan usianya juga sudah mencecah 18 tahun. Kata lelaki itu, lebih mudah untuk bergerak ke mana-mana jika dia mempunyai lesen kenderaan sendiri. Tidak perlu bergantung pada orang lain.

Gadis itu melangkah masuk ke dalam rumah yang kelihatan sunyi. Sejak Humayraa menamatkan sesi persekolahannya, jarang sekali mereka pulang ke rumah ini. Kebanyakan masanya dihabiskan di rumah besar dan di pejabat.

'Humayraa sayang...' tiba-tiba suara lembut ibu terimbau di layar ingatan.

Matanya berkaca. Hatinya sayu mengenangkan sapaan itu. Suara yang penuh kasih sayang itu akan dirinduinya sampai mati. Kata-kata itu kini hanya tinggal memori. Perlahan-lahan air matanya menitis. Humayraa menangis lagi, menanggung kesedihan seorang diri.

'Humayraa? Kenapa menangis ni? Siapa yang buat anak ibu menangis ni?' Gadis itu seakan terpandang bayangan ibu dan dirinya yang suatu ketika dahulu pernah duduk di atas sofa yang ada di ruang tamu rumah itu.

'Dah. Shhhh... dah, dah. Jangan menangis lagi, okey? Ibu ada. Ibu ada...' dia rindukan pelukan ibunya. Pelukan yang sangat mendamaikan.

Humayraa menggagahkan kakinya melangkah ke bilik tidur Rahimah. Dia membuka almari baju arwah ibunya. Sudah tidak banyak baju milik Rahimah yang tinggal di dalam almari itu kerana kebanyakannya sudah di bawa ke rumah besar.

Sehelai baju yang dilipat kemas, diambil lalu di bawa ke dakapan. Dia mencium baju itu. Masih ada bau ibunya di situ. Air matanya tumpah lagi. Dia tenggelam dalam emosinya sendiri.

Ibu... Mayraa rindu ibu. Hanya bunyi esak tangisnya sahaja yang merajai suasana bilik tidur yang sunyi itu.

Humayraa terpandangkan sesuatu di dalam almari baju itu. Dahinya berkerut sedikit. Dia mengesat sisa air matanya lalu mencapai sekeping sampul surat tebal bersaiz A4 yang berikat tali. Gadis itu sedikit tertanya-tanya melihat sampul surat misteri itu. Tertera tulisan Arab di atas sampul surat tersebut namun Humayraa gagal untuk memahami apa yang tertulis. Gadis itu membuka sampul surat berwarna coklat tersebut.

Sekeping gambar terkeluar dari dalam sampul surat itu dan terjatuh ke atas ribanya. Humayraa meletakkan sampul surat tersebut lalu mencapai gambar itu. Tangannya menggigil serta-merta.

Ini...

Gambar seorang lelaki Inggeris bermata biru yang kelihatan sangat kacak dan segak memakai jubah putih mutiara dan serban yang terletak kemas di bahunya, bersama seorang gadis Arab yang sangat cantik berkulit putih bersih pipi kemerah-merahan, juga menyarung jubah dan tudung berwarna putih mutiara sambil tersenyum manis. Jelas sekali gadis itu mempunyai sepasang mata yang amat memukau. Keningnya lebat sempurna, bulu matanya juga kelihatan lebat, lentik dan panjang dan yang paling memukau sekali ialah anak matanya yang berwarna hazel, gabungan hijau dan coklat.

Ya Allah. Akhirnya dapat juga aku tatap wajah abi dan ummi biarpun hanya dalam gambar. Cantiknya ciptaan-Mu. Mereka berdua ini adalah pasangan suami isteri yang sempurna. Sama-sama cantik, sama-sama hebat. Tapi sayangnya usia mereka tidak panjang...

Mengenangkan hal itu membuat dadanya terasa sebak. Humayraa mula mengeluarkan kertas-kertas yang ada di dalam sampul surat coklat sebentar tadi.

Terdapat banyak lipatan kertas yang ada. Kebanyakan kertas lama itu mempunyai tulisan berbahasa Arab yang langsung tidak difahami. Humayraa mengeluarkan lagi beberapa helaian kertas yang masih bersisa dan juga beberapa sampul surat kecil.

Dia mencapai sehelai kertas yang mengandungi tulisan berangkai berbahasa Inggeris.

Hello, my baby! Salam 'alayk! I'm the happiest man in the whole universe when I knew about your existence inside your mommy's tummy. Before this, I always thought that winning a billion pounds deal was the best thing that could ever happen. But now, obviously having you two is the most happiest moment in my life. We still didn't know yet whether you are my little version or Aisya's little version. Just thinking about it made me feel very excited, though I actually want you to be my little princess so I could always protect you. But I am also excited if you are a little David as well. We can be a comrade! I'm sure Mateen and Baba will definitely love you. Baby, you should be proud of yourself that we love you so much! I am so excited to show to the world that I am the coolest daddy ever. Subhanallah! Please come to the world faster, I have so many things to share with you. Love you, my little baby! Your daddy - DI.

Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETEWhere stories live. Discover now