HUMAYRAA sudah pun mahu mendaki anak tangga sebelum niatnya terbantut dek panggilan daripada maklong. Gadis itu menoleh ke arah ibu saudara kepada suaminya yang sedang berada di meja makan.
“Mayraa dah nak naik? Itu hah, suami kamu tu jangan ditinggal. Panggil dia sekali. Paklong tu jangan dilayankan sangat. Dia tu macamlah tak tahu anak saudara dia tu macam mana. Sudah, pergi ajak Fahryil naik sekali. Korang berdua mesti penat,” Panjang lebar Tina berkata. Humayraa terdiam sejenak. Oh, ya. Mereka tidak tahu apa-apa tentang semua ini. Hatinya berdesis.
“Baik, maklong.” Gadis itu hanya mampu akur.
“Abang, sudahlah tu. Si Fahryil tu nak berehat. Penat dia kena layankan awak saja daripada tadi. Esok kan ada. Dah larut malam dah ni,” setibanya di kawasan ruang tamu, kedengaran sayup suara Tina menjengah anak telinga masing-masing yang ada di situ.
Zul berhenti berbicara. Dia melihat Humayraa yang kian datang menghampiri. Seterusnya, pandangan itu jatuh pula pada Fahryil yang duduk di hadapannya. Lelaki yang berusia separuh abad itu tersenyum-senyum.
“Bini kamu dah datang tu Aril. Pergilah berehat sana.” Tiba-tiba Zul mengubah topik perbualan seraya mengulumkan senyuman. Fahryil menoleh ke belakang. Humayraa senyap, sekadar berdiri tegak di belakangnya. Gadis itu hanya bermain dengan hujung baju kurung cottonnya. Tangannya sedari tadi memintal-mintal kain itu. Fahryil kembali memandang bapa saudaranya dan mengukirkan senyuman nipis. Lelaki muda itu akhirnya bangkit berdiri.
“Aril naik dulu ya, paklong. Paklong pun jangan lambat sangat tidur. Sekarang dah pukul berapa dah ni? Semua orang dah masuk tidur.” lelaki bermata coklat itu sempat berpesan sebelum dia menapak mendapatkan Humayraa. Mereka berdua bersama-sama mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas.
.....
“MAMA tak ada beritahu awak apa-apa ke?” Fahryil sempat berbisik sambil kaki mereka masih setia memijak anak tangga. Humayraa memandangnya dengan satu pandangan yang kosong. Gadis itu menggeleng perlahan.
“Dia suruh kita tidur dekat master room malam ni.” Pendek sahaja Fahryil menjawab.
“Kita berdua? Bukan ke kita dah setuju untuk tidur asing? Awak kan ada bilik tidur sendiri, saya pun ada bilik tidur sendiri.” Humayraa meningkah tetapi dalam nada suara yang perlahan. Bimbang didengari oleh sesiapa.
Fahryil berhenti melangkah, sekali gus menyebabkan Humayraa juga berhenti. Kini, mereka sudah tiba di ruang tamu tingkat dua. Lelaki itu menatap wajah bersih Humayraa.
“Awak ingat, saya nak sangat ke kongsi bilik tidur dengan awak? Of course I don’t want. Ini, mama yang suruh. Dia kata, semua bilik dah penuh. Rumah ini ada 10 bilik tidur, 14 kalau campur sekali dengan rumah orang gaji dekat belakang tu. 13 bilik, semuanya dah ‘penuh’. So here,” Fahryil membuat muka menyampahnya.
Humayraa mencebik. Dia berasa tercabar. Tak nak langsung kongsi bilik dengan aku? Jijik sangat ke? Jangan sampai termakan kata-kata sendiri, Fahryil Danial. Desis hati kecilnya. Lama-kelamaan, dia berasa semakin sakit hati melihat dan melayan perangai suaminya. Gadis itu terus sahaja membuka langkah menuju ke arah bilik tidur utama.
“Thanks God, bilik tidur ini lebih besar daripada ruang tamu rumah saya. Jadi, kita tak perlu tidur atas katil yang samalah, kan? Sebab sofa saja dah macam katil.” Ujar gadis itu sebaik sahaja tiba di bilik tidur utama. Tanpa menunggu lama, dia melangkah ke arah sofa panjang dan membaringkan tubuhnya di situ.
Fahryil melangkah ke arah katil besar bersaiz California King. Tanpa teragak-agak, dia merebahkan tubuhnya di atas tilam empuk itu. Kini, hanya cahaya daripada lampu hiasan sahaja yang menerangi bilik tidur mewah tersebut. Suasana di dalam bilik itu sunyi dan tenang.
YOU ARE READING
Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETE
Romance🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...