HUMAYRAA bangkit dari lena setelah seharian diberikan rehat oleh Rahimah setelah pulang dari hospital, dua hari yang lalu. Tidurnya semalaman begitu nyenyak dibuai mimpi-mimpi indah, sekaligus menghilangkan segala kepenatan yang membebani sekujur tubuh kecilnya. Sedari Subuh tadi, gadis bermata biru itu sudah sibuk mengemas rumah dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Setelah selesai menyapu sampah, Humayraa keluar ke kawasan halaman rumah lalu menyiram beberapa pokok bunga yang ditanam oleh dirinya dan Rahimah suatu ketika dahulu.
“Humayraa,” panggilan lembut Rahimah menarik keluar gadis kacukan Inggeris-Palestin itu dari lamunannya. Humayraa pantas menoleh ke belakang.
Kelihatan Rahimah sedang duduk di bangku bersama hidangan kuih dan teh di atas meja kecil yang terdapat di luar rumah. Tidak pula gadis itu perasan bila masa ibu susuannya itu berada di situ. Humayraa perlahan-lahan melangkah mendekati wanita kesayangannya itu.
“Wah, sedapnya kuih ni. Kuih ini ibu buat ke?” Gadis itu bertanya mesra.
“Haah. Makanlah,” sejenak, dua beranak itu senyap sambil masing-masing menjamah hidangan yang dibawa oleh Rahimah. Kawasan taman perumahan ini agak sunyi tanpa sebarang bunyi kenderaan yang lalu lintas di sini.
“Humayraa,” panggil Rahimah sekali lagi membuatkan gadis bermata biru itu menghentikan kunyahannya.
“Humayraa kena buli, kan? Masa dekat air terjun hari tu,” tiba-tiba wanita itu membangkitkan peristiwa tiga hari yang lepas. Humayraa sekadar diam, mengunci mulutnya.
“Ibu dah agak dah. Humayraa memang tak boleh nak sorokkan apa-apa daripada ibu. Mayraa anak ibu, takkan ibu tak boleh baca semua tu?” Rahimah mula berhujah, walaupun gadis bermata biru itu sekadar membisu. Perlahan-lahan, dia menghabiskan kunyahannya yang menghadapi gendala sebentar tadi.
“Mayraa, pindah sekolah sajalah. Okey, sayang? Ibu tak sanggup tengok Humayraa kena macam ni lagi,” Rahimah sebenarnya sudah lama memikirkan hal tersebut. Kali ini, dia bertekad untuk menyuarakan buah fikirannya itu pada anak susuannya. Apa-apa pun, dia tetap perlu menunggu keputusan gadis itu.
Humayraa mengangkat pandangan. Menatap wajah Rahimah yang kian dimamah waktu. Keluhan berat terhembus keluar menerusi kerongkongnya.
“Ibu… bukan Mayraa nak tolak cadangan ibu tu, tapi…” Humayraa terdiam seketika. Sekali lagi dia mengeluh.
“Ibu, kita ni manusia. Tak sempurna. Pergilah ceruk mana pun, mesti ada kawan, mesti ada lawan. Baginda Rasulullah yang sebaik-baik manusia sepanjang zaman itu sendiri ada musuh. Apatah lagi kita yang biasa-biasa ni. Lagipun, lecehlah nak pindah-pindah sekolah ni,” Humayraa berusaha untuk tersenyum.
“Hmm… iyalah, sayang. Humayraa, harinya sudah semakin hampir. Apa yang Humayraa rasa? Humayraa masih marahkan ibu lagi ke pasal tu?”
Gadis bermata biru itu menggeleng beberapa kali.“Taklah ibu. Humayraa dah anggapnya sebagai takdir hidup Mayraa yang dah tertulis dekat atas sana. Lagipun, Humayraa dah buat istikharah, minta petunjuk Allah. Jadi, Humayraa redha saja. Apa yang Mayraa rasa? Entahlah, Mayraa rasa berdebar, sedih, sayu, gembira…”
“Gembira?” Rahimah pantas mencelah.
Humayraa mengangguk bersungguh-sungguh. “Iyalah, gembira. Mayraa dapat kahwin dengan orang kaya. Macam Cinderella pula rasanya. Agak-agaknya, dia handsome ke tak, ya? Hmm… biasanya, anak-anak orang kaya ni chubby belaka. Tapi, kalau dah besar, dah pandai jaga badan, dah pandai bergaya, kan? Rasa tak sabar pun ada. Nanti, ada orang nak sayang, take care dekat Mayraa selain ibu. Ibu dah tak payah nak susah-susah lagi,” Humayraa tertawa sendiri. Seketika kemudian, dia kembali menyuap kuih ke dalam mulut kecilnya.
YOU ARE READING
Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETE
Romance🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...