FAHRYIL DANIAL masih terkesima tatkala dia melihat Humayraa berdiri di atas pentas dan semua orang sedang memandangnya, menanti tindakannya. Puan Sri Jeanne menguis sedikit lengan anak lelakinya dan menyuruh pemuda itu untuk naik ke atas pentas. Barulah Fahryil tersedar bahawa di skrin besar yang ada di atas pentas itu tertera, 'Will you marry me?'
Lelaki itu tergelak kecil. 'Is she going to propose to me?' Hatinya berbisik perlahan seraya dia mula menapak ke atas pentas. Kesemua yang ada mula bertepuk tangan. Fateh Imann menoleh ke arah Syarha Annisyha dan tersenyum puas. Juvieya menggenggam erat tangan Amsyar dan melakarkan senyuman manis. Lelaki di sisinya itu turut menggenggam semula tangannya, bersatu seakan tidak mahu terpisah.
Fahryil kini berdiri betul-betul di hadapan isterinya. Wajah putih kemerah-merahan Humayraa ditatap lama. Senyuman yang terlukis di bibir gadis bermata biru itulah yang paling dirinduinya.
"I'm back," gadis itu tersenyum menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi. Mata birunya kelihatan berkaca, indah bersinar seperti berlian biru yang berkilauan.
Perlahan-lahan Fahryil mencapai tangan kiri isterinya dan menatap cincin nikah mereka yang tersarung kemas di jari manis gadis kacukan itu. Pandangan mata mereka bertaut.
Tiba-tiba wajah tampan lelaki itu berubah dingin. Seulas senyuman sinis terukir di bibirnya. Mata itu memancarkan satu penolakan. Fahryil terus sahaja mencabut cincin pernikahan mereka yang bertatahkan berlian di jari manis Humayraa lalu mencampakkannya jauh daripada mereka. Hilang dalam kegelapan dewan.
Humayraa terperanjat dan langsung tidak menyangka akan tindakan suaminya. Kini seluruh dewan bertukar senyap. Masing-masing terkejut dengan tindakan yang dilakukan oleh lelaki itu.
Gadis itu memandang Fahryil dengan satu pandangan yang sukar untuk ditafsirkan, cuba mencari erti di sebalik tindakan itu. Namun Fahryil seperti sebelum ini. Wajahnya dingin.
Tanpa disedari, air mata Humayraa gugur secara spontan. Dia terasa diperbodohkan lagi. Perlahan-lahan, kenangan pahit yang terkubur mula timbul kembali. Dia mahu pergi, ingin mencari semula cincin pernikahannya yang telah dibaling jauh oleh suaminya sendiri. Cincin itu adalah buktinya. Bukti kesetiaannya.
Ketika Humayraa berjalan melepasi Fahryil, tangannya direntap membuatkan langkahnya terhenti. Dia menoleh ke arah suaminya dengan air mata yang tidak diseka. Tiba-tiba Fahryil duduk melutut dengan satu lutut di hadapannya. Humayraa terkejut dengan tindakan lelaki itu.
Perlahan-lahan lelaki tampan itu mengeluarkan sebuah kotak kecil dari dalam poket sutnya. Penutup kotak itu dibuka dan terserlah dua bentuk cincin yang diukir cantik dan salah satu cincin itu bertatahkan berlian. Bibirnya terlukis senyuman yang menggoda.
"Dengan cinta, kasih sayang, kejujuran dan kesetiaan. Sudikah awak mulakan hidup baru dengan saya?" Fahryil berkata sepatah demi sepatah, terang dan jelas sambil duduk berlutut satu di hadapan isterinya.
Humayraa menekup mulutnya sendiri. Dia tidak menyangka bahawa maksud Fahryil membaling cincin pernikahan mereka tadi adalah untuk melupakan kisah perkahwinan paksa mereka dan memulakan kisah yang baharu, yang berteraskan cinta, kepercayaan dan kejujuran.
"Saya sudi,"
Sebaik sahaja Fahryil selesai menyarungkan cincin baharu di jari manis isterinya, mereka berdakapan. Satu dewan mula bertepuk tangan, meraikan kegembiraan sepasang suami isteri itu.
.....
"MACAM mana pula Fahryil boleh buat plot twist ni?" Nisyha mengeluh di meja makannya setelah 'drama' tadi berakhir.
"Itulah pasal. Aku rasa lakonan aku dah cukup mantap dah untuk penyampaian berita aku tu," Hazman turut menyatakan ketidakpuasan hatinya.
"It must be that Isaac guy. Ahh... he just ruined my plan," Fateh menggeleng perlahan.
ANDA SEDANG MEMBACA
Billionaire vs Millionaire | COMPLETE
Romance🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...
