DAVID IANWOOD melangkah masuk ke dalam sebuah bilik pesakit yang tertera nama Rose Haxton. Beberapa kali juga dia melihat tag nama itu sebelum masuk ke dalam bilik dengan teragak-agak. Jambangan bunga di pegangan, dikemaskan lagi. Dia terus menapak sehingga ternampak sesusuk tubuh yang terlantar di atas katil hospital. Keadaannya nampak agak lemah. Tubuh wanita itu kelihatan sudah dimamah usia.
Isaac dan Michael yang perasan kehadiran lelaki segak bersuit itu segera bangun dari duduk. Mereka berpelukan seketika sebelum David melontarkan pandangan pada wajah wanita yang terbaring di atas katil. Lelaki itu menghadiahkan seulas senyuman yang cukup manis.
“Nampak berseri puan hari ini,”
“Tak ada makna berserinya. Saya ni cuma si tua yang tengah menunggu keranda sendiri saja,” Mariah tersenyum dalam kelemahan.
“Mama, tak baik cakap macam tu. Kita hadapi benda ni sama-sama, okey?” Michael menggenggam tangan ibunya.
David duduk di atas sebuah kerusi yang baru didapatkan oleh Isaac sebentar tadi.“Boleh saya tanya, kenapa Rose Haxton?” Wajah David mempamerkan kekeliruan.
“Nama pertengahan saya Rose, anak muda.” Mariah tersenyum lagi.
“Err… maaf, saya belum perkenalkan diri. Nama saya David. David…” bicara lelaki muda itu terhenti. Tangannya agak terketar-ketar untuk menghulurkan jabat tangan. Entah kenapa mulutnya tiba-tiba terkunci. Tidak berani untuk mengangkat pandangan.
Tanpa berfikir panjang, Mariah menyambut huluran salam itu sambil tersenyum.
“Nama saya… David Ianwood,”
Mata wanita itu membulat. Dia pantas menarik semula tangannya lalu dibawa ke dada. Matanya memandang David dengan satu pandangan yang amat sukar untuk ditafsirkan. Riak wajahnya berubah.David tidak terkejut menerima respon Mariah, namun sedikit sebanyak hatinya agak terkilan. Dia hanya mampu diam. Tidak tahu untuk berbuat apa.
“Mama, dia adik kami. Kami tahu mama tak bencikan dia. Tidak ada sebab untuk mama benci David. Dia tak bersalah pun.” Isaac cuba menenangkan ibunya.
Mata wanita itu berkaca. “Betul tu. Mama tak mampu untuk membenci dia… saya betul-betul minta maaf, David.” Suaranya tertahan di kerongkong.
“Tidak mengapa, puan.” David tersenyum hambar.
“Panggil saya makcik saja. Kamu… betul-betul seperti dia, David.” Mariah berusaha untuk mendudukkan tubuhnya, bersandar di bahu katil.
“Boleh makcik peluk kamu?” Wajahnya kini nampak tenang, penuh roma keibuan.
David agak terkejut namun tetap jua memberikan pelukan pada wanita itu. Pelukan itu cukup menghadirkan satu rasa senang di hatinya. Dia tidak pernah merasai kelembutan dan kasih sayang seorang ibu.
“Apa khabar, David?”
“Baik. Makcik?” David tersenyum. Rasa kekoknya kian sirna.
“Macam itu sajalah. Nanti si doktor garang tu akan suruh makcik buat itu dan ini,”
“Makcik nak tanya, macam mana kamu boleh kenal anak-anak makcik ni?” Tanpa berkias, Mariah menyatakan persoalan yang berada di mindanya selama ini. Matanya meleret pula pada Isaac dan Michael yang berada di sisi David.
Pemuda bermata biru itu tersenyum sedikit, menyerlahkan ketampanannya. “Perkenalkan, penasihat kewangan professional dan pembantu peribadi professional saya.” David memperkenalkan orang kuatnya, Michael dan Isaac.
Si kembar itu berdehem beberapa kali sambil menyembunyikan senyuman mereka. Bangga apabila bos mereka menggelar mereka ‘professional’. Bukan senang lelaki itu mahu mempercayai orang.
YOU ARE READING
Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETE
Roman d'amour🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...