BAB 10

1.9K 73 2
                                    

“TAHUN lepas, ada orang datang… tanya pasal Mayraa. Ibu tak tahu nak buat apa. Ibu dah beristikharah. Dah minta petunjuk. Dan… ini semua adalah hantaran pertunangan Humayraa,” tutur Rahimah dengan nada yang sungguh perlahan namun cukup untuk menyentakkan seluruh jantung Humayraa.

“Tu- tunang?” dia yang duduk di birai katil akhirnya terjelopok jatuh ke atas lantai. Mata birunya tidak berkelip, hanya air mata sahaja yang tidak berhenti mengalir.

“Apa yang ibu cakap ni? Semua ni… cuma gurauan saja, kan ibu? Semua ni tak betul, kan? Takkanlah Humayraa yang masih sekolah ni dah bertunang. Ibu bergurau ke?” Humayraa tersengih dengan air mata yang masih lagi belum berhenti mengalir.

Rahimah turun dari katil dan mendapatkan satu-satunya anak angkat yang sudah dianggap tidak ubah seperti anaknya sendiri. Tangannya memegang pipi Humayraa yang mulus. Lambat-lambat kepalanya menggeleng kesal seraya Rahimah tertunduk sayu memandang lantai.

“Kenapa? Kenapa, ibu? Kenapa?” Humayraa terus sahaja menundukkan wajahnya.

“Humayraa, sabar, sayang. Redalah dengan ketentuan takdir, sayang.”

“Kenapa ibu cakap macam tu? Bukan ke ibu pernah cakap yang kita sendiri boleh ubah takdir hidup kita?” Humayraa mengangkat pandangan, mata birunya yang tersirat luka merenung ke dalam anak mata Rahimah.

“Humayraa… ada takdir yang kita boleh berusaha untuk ubah dan… ada yang tak boleh. Andai nama kita tercatat sebagai penghuni neraka, tidak semestinya akan kekal begitu buat selama-lamanya. Kita sendiri boleh berusaha untuk ubah takdir itu. Tapi… ada sesetengah takdir yang tak boleh diubah.”

“Walaupun kita dah berusaha menolak, tapi… kalau Allah kata ‘ya’, kumpullah semua manusia di seluruh dunia ini untuk kata ‘tidak’ sekali pun, memang tak akan dapat merubah apa-apa.” Rahimah memberitahu hakikat yang sebenar.

“Mayraa ingat, ibu sanggup ke untuk buat semua ni? Mayraa ingat ibu tak sayang pada Humayraa lagi ke untuk ibu senang-senang serahkan Mayraa pada orang lain? Humayraa permata hati ibu…”

“Tapi…”

“Humayraa, istighfar!” Teguran itu berjaya menyentakkan gadis bermata biru tersebut. Hatinya segera beristighfar – memohon keampunan pada Ilahi. Humayraa menunduk.

“Humayraa, ibu minta maaf. Ibu tahu, ini merupakan keputusan yang sukar untuk Humayraa. Sesuatu yang besar dalam hidup Humayraa sendiri. Ibu tahu memang terlalu sukar untuk Humayraa terima semua ni serta-merta. Tapi ingatlah, ibu tak pernah mahukan sesuatu yang buruk berlaku pada anak ibu sendiri. Ibu sayangkan Humayraa, lebih daripada nyawa ibu sendiri,” kata-kata Rahimah menyebabkan Humayraa yang menunduk, menangis teresak-esak.

“Ibu harap Humayraa tahu yang ibu sendiri, kalau boleh tak nak izinkan semua ini. Ibu tak nak berpisah dengan Humayraa. Kalau boleh, ibu tak nak Humayraa membesar, supaya ibu sentiasa boleh jaga Humayraa. Ibu sayang Humayraa sangat-sangat. Humayraa merupakan permata indah yang Allah beri pinjam pada ibu… dan ayah.” Rahimah mengetap bibirnya. Hatinya meronta-ronta untuk mendakap tubuh kecil di hadapannya namun, dia tetap bertahan.

“Walaupun Humayraa rasa ini merupakan sesuatu yang sangat sukar bagi Humayraa untuk terima, ibu sentiasa ada untuk Humayraa. Ingatlah firman Allah yang bermaksud –
‘… boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.’ (Surah al-Baqarah 2:216).”

Selesai sahaja Rahimah berbicara, Humayraa terus menerpa dan memeluk erat tubuh tuanya. Gadis itu melepaskan tangisannya di dalam dakapan hangat ibunya.

Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETEWhere stories live. Discover now