PAGI itu, setelah selesai bersarapan, mereka berkumpul di hadapan gerbang hutan. Isaac mengupah seorang penunjuk arah bagi mengetuai mereka semua. Ketujuh-tujuh mereka mula mendaki sekitar jam 9 pagi. Trek pendakian tidaklah sesukar mana. Humayraa dan Fahryil berada di belakang sekali. Sesekali gadis bermata biru itu dapat mendengar mulut Fahryil mengomel dalam bahasa Itali. Mungkin mengeluarkan perkataan sumpah seranah apabila ranting-ranting kayu terkena tangan atau kakinya. Fahryil yang benci melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini, jelas menunjukkan penolakan yang ketara.
“Boleh diam tak?” Humayraa yang berada di hadapannya sekitar dua tapak, akhirnya berbicara. Suaranya ditekan di kerongkongan.
“Tak boleh.” Fahryil mencebik.
“Urghh.” Gadis itu memusingkan bola matanya. Lantak kaulah.
“These mosquitoes are so molesto.” Fahryil menggosok-gosok lengannya yang digigit nyamuk. “La merda, zanzare! (Pergi sanalah, nyamuk!)” Fahryil juga menekankan suaranya di kerongkongan.
“Kalau tak nak kena gigit nyamuk, balutlah badan tu dengan kain kapan.” Sambil menjeling ke arah lelaki itu, sempat lagi Humayraa menyindir.
Fahryil yang tersentap, terdiam seketika sebelum mulutnya mengomel sesuatu dengan perlahan. “Fastidioso.”
“Eww… this place is gross.” Lelaki itu melintasi kawasan yang terdapat najis haiwan.
“Lama lagi ke nak sampai?” Sekali lagi dia mengomel.
“Ya Allah. Mulut tu senyap sikit boleh tak?” Humayraa yang tidak tahan dengan bebelan Fahryil yang entahkan dalam bahasa apa itu, akhirnya mengeluarkan Mp4 dan menutup telinganya menggunakan headphone berwarna pink putih.
“Yeah, stop quacking, anatra.” Fahryil menunjukkan riak wajah tidak puas hati.
.....
“SUBHANALLAH.” Itulah kalimah yang terpacul sebaik sahaja mereka sampai ke puncak. Keindahan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Dari atas batuan besar ini, pemandangan indah ciptaan Tuhan terlukis penuh sempurna. Laut Cina Selatan yang terbentang bersih membiru, ditambah dengan pemandangan segugus pulau yang terletak berhadapan dengan Pulau Dayang, Pulau Aur.
Mereka semua mengukirkan senyuman puas menikmati pemandangan yang mendamaikan itu. Hilang terus rasa penat akibat mendaki. Mama dan ibu sibuk bergambar manakala Isaac dan Lisa sekadar menyendiri di satu sudut di hujung sana. Lelaki Inggeris itu banyak mendiamkan diri sejak pagi tadi. Mungkin ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
Fahryil pula tidak lagi banyak bersuara, sekadar duduk bersila di satu sudut sambil mata coklatnya tekun menikmati keindahan alam. Humayraa memanjat batu kecil yang berdekatan selajur sepasang pengantin baru itu diam melayani perasaan masing-masing.
Fikiran gadis bermata biru itu jauh melayang merentasi waktu. Kisah panjang yang diceritakan semalam oleh Isaac benar-benar membuatkan dirinya mengelamun jauh. Seumur hidupnya, tidak pernah pula dia terfikir bahawa dia merupakan anak seorang billionaire. Dia juga tidak pernah terfikir bahawa dia merupakan anak kepada seorang wanita yang tabah dan merupakan orang kuat al-Qassam. Apa yang difikirkan selama ini hanyalah - dia merupakan anak kepada seorang sukarelawan yang berkahwin dengan orang awam di Palestin.
.....
SETELAH selesai berehat dan bergambar di atas puncak, mereka akhirnya bergerak turun. Seperti biasa, pemandu jalan yang diupah berada di hadapan sekali, diikuti oleh mama, ibu, Lisa, Isaac dan pasangan suami isteri muda itu.
“Anatra, stop!” Fahryil tiba-tiba menarik lengan Humayraa dari belakang, menyuruh isterinya berhenti.
“Kenapa? Ada apa?” gadis itu menoleh dalam keadaan terpinga-pinga.
YOU ARE READING
Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETE
Roman d'amour🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...