"MAYRAA, macam mana kerja? Okey? Diorang semua okey ke?" Pagi itu, Humayraa turun untuk sarapan seperti biasa. Gadis bermata biru itu sebenarnya tidak mengetahui bahawa Fahryil sudah pulang dari Johor Bahru malam semalam. Ibu dan mama sedang duduk menikmati sarapan di meja makan.
"Tak best tapi okeylah Mayraa ada kawan. Mayraa pun dapat belajar banyak benda." Gadis kacukan Inggeris-Palestin itu berbicara tanpa berfikir lama. Dia mula menyuapkan roti bakar yang bersapu mentega kacang itu ke dalam mulutnya.
"Tak best? Habis tu nak berhenti tak?" cepat saja Puan Sri Jeanne bertanya. Tentu sahaja dia mahukan menantunya itu untuk berhenti berkerja dan menemaninya ke sana ke sini. Serentak itu juga, Humayraa dan Rahimah yang ada di ruang makan itu tertawa.
"Tapi mama, Mayraa dah jumpa objektif baru untuk kerja dekat situ." Ayat itu menarik perhatian dua wanita yang duduk di hadapannya. Dua wajah itu berkerut sedikit.
"Objektif baru?"
"Mayraa nak cari jodoh," selamba sahaja dia menjawab sebelum dia tertawa besar.
"Hei!"
"Ya Allah, nak kena budak ni," cepat sahaja dua wanita itu melatah sambil Rahimah pula terus sahaja menampar tangan anak susuannya. Humayraa mengadoi kecil sebelum menghabiskan sisa tawanya.
"Mayraa nak jadi spy dekat situ lah, mama, ibu. Mayraa nak tengok macam mana diorang-"
"Morning," sapaan suara garau yang datang dari arah belakangnya telah mematikan bicara gadis bermata biru itu. Raut muka yang tadinya ceria kini berubah menjadi gugup. Humayraa langsung tidak sedar sejak bila Fahryil sudah pulang ke rumah itu, apatah lagi kewujudan lelaki itu yang berdiri di belakangnya.
Fahryil hanya berlagak selamba dan mula menarik kerusi di sebelah isterinya. Dia sedar akan perubahan wajah Humayraa namun dia enggan menyentuh isu itu. Pinggan yang berisi mee goreng yang dihulurkan oleh mamanya disambut.
"Morning, Aril." Puan Sri Jeanne dan Rahimah membalas sapaan itu seperti biasa.
"Bila kamu sampai, Fahryil? Ibu tak perasan pun yang kamu dah balik," Rahimah bertanya sambil menuangkan air teh panas ke dalam cawan.
"Malam semalam, ibu. Aril sampai sini pun dah lambat, semua orang dah tidur." Ujar lelaki itu. Matanya sempat melirik ke sebelah, mencuri pandang ke arah Humayraa yang sedari tadi hanya mendiamkan diri sebaik sahaja dia duduk di meja makan itu.
Gadis berdarah kacukan Inggeris-Palestin itu menghabiskan suapan yang terakhir dan dia cepat-cepat meneguk air susu yang disediakan untuknya. Gadis itu bangkit dan mula bersiap untuk pergi ke kerja. Tindakannya yang nampak tergesa-gesa itu sebenarnya telah menarik perhatian semua yang ada di situ.
"Eh, Mayraa dah nak pergi dah ke? Awal lagi ni," teguran Rahimah telah menghentikan tindakan Humayraa. Gadis itu tersenyum janggal. Sedikit pun dia tidak menoleh ke sisinya.
"Ya ibu, mama. Mayraa nak kena pergi awal. Mayraa kan nak jadi spy," Humayraa tersengih sambil melangkah mendapatkan Rahimah dan Puan Sri Jeanne lalu menyalami dan mengucupi pipi dua wanita itu sebelum cepat-cepat meminta diri.
Kegopohan dan tingkah laku gadis bermata biru itu telah menjentik naluri keibuan mereka. Masing-masing memandang sesama sendiri, cuba berkomunikasi tanpa suara sebelum pandangan itu ditalakan ke arah pemuda tampan yang hanya diam dan khusyuk menjamu sarapan yang dihidangkan. Ada sesuatu yang tidak kena!
.....
"GOOD morning," Humayraa menyapa staf-staf yang baru sampai di pejabat. Sapaan mesranya dibalas oleh mereka. Masing-masing mula mempersiapkan ruang kerja untuk memulakan hari mereka seperti kebiasaan.
YOU ARE READING
Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETE
Romance🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...