Dua bulan kemudian...
"BOS, ini tentatif terkini untuk majlis esok. Kita dah double confirm dengan pihak hotel dan pihak-pihak lain yang terlibat. Pukul 3 petang ni bos ada appointment dengan butik. HR pun dah hantar semula reminder untuk semua tetamu. Bos perlu tandatangan dekat sini, sini, dan sini," Yasmin memberitahu dan menghulurkan sebuah fail kepada Fahryil sambil jari runcingnya menunjukkan beberapa tempat yang perlu ditandatangani oleh lelaki itu.
Fahryil sekadar menurut sahaja permintaan pembantunya tanpa banyak bertanya. Lelaki itu seperti biasa, hanya diam jika tidak ditanya. Hanya bercakap bila perlu sahaja.
Wanita itu sudah berkira-kira untuk pergi menyambung kerjanya semula sebelum panggilan daripada Fahryil mematikan langkahnya. "Yasmin, tolong beritahu Muaz untuk naikkan 10% dana sumbangan ke Palestin untuk bulan ini. Dan lagi satu, tolong panggilkan Hazman," arah lelaki tampan itu. Yasmin mengangguk beberapa kali sebelum berlalu pergi.
Fahryil menatap gambar milik Humayraa yang dibingkaikan dan diletakkan di atas meja kerjanya. Senyuman kelat terlukis di bibir. Jemarinya mengusap lembut bingkai gambar itu. Esok, seluruh Empire Berhad akan turun menghadiri majlis sambutan hari lahirnya yang ke-27. Semua orang bersemangat menguruskan majlis untuk esok tetapi dia sedikit pun tidak berasa teruja. Hatinya terasa kosong biarpun orang-orang di sekelilingnya telah berusaha untuk menggembirakannya.
Atas banyak faktor, Fahryil tidak mampu untuk mengekori isterinya sehingga ke Gaza biarpun hatinya meronta-ronta untuk ke sana. Namun begitu, pada setiap bulan, Empire Berhad akan menyalurkan dana sumbangan kepada rakyat Palestin melalui badan-badan organisasi yang berkaitan, dengan harapan Humayraa dapat merasai kehadirannya di sana. Kesemua sumbangan yang dihantar ke Gaza disertakan trademark 'Syahlaa' yang bermaksud 'Bermata biru'. Antara sumbangan mereka yang terbaru ialah tiga biji ambulans telah diwakafkan ke sana. Fahryil juga sering mengikuti berita-berita semasa mengenai keadaan di Gaza, Palestin.
"Fahryil!" Lamunannya bersepai apabila satu suara menjerkah kuat mengejutkannya.
Lelaki itu menjegilkan matanya memandang ke arah tuan punya badan. "Mana salam kau, Man?" Dia menyindir namun Hazman langsung tidak menghiraukannya. Wajah lelaki itu kelihatan cemas.
"Fahryil, ni. Tengok ni!" Dia menghulurkan telefon bimbitnya kepada sahabatnya itu. Lelaki itu mula melabuhkan duduknya berhadapan dengan Fahryil sebaik sahaja telefon bimbitnya bertukar tangan.
Fahryil diam meneliti dan membaca berita terkini yang dipaparkan menerusi skrin telefon bimbit tersebut, lama. Matanya membulat besar dan pegangan tangannya pada telefon bimbit Hazman itu terlepas lalu gajet itu terhempas ke atas lantai. Dadanya berombak kencang. Wajahnya terasa panas.
"Masjid tu... berdekatan dengan rumah yang Humayraa tinggal, kan?" Mata lelaki itu tidak berkelip.
"Ya. Pengeboman di masjid itu berlaku sewaktu solat Jumaat tapi... kesannya dalam jarak satu kilometer persegi. Dan rumah mereka termasuk dalam zon yang terjejas." Maklumat yang disampaikan oleh Hazman itu seakan merentap jantung Fahryil. Dia tunduk dan kedua belah tangannya mula memegang kepala. Jantungnya berdegup laju seakan mahu pecah. Kemungkinan demi kemungkinan mula membanjiri fikirannya.
"Allah... Allah..." hanya itu sahaja kalimah yang dapat dituturkan kala ini. Dia memohon kekuatan daripada yang Maha Kuat. Fahryil memejamkan matanya.
Hazman hanya mampu melihat keadaan sahabatnya itu tanpa mampu untuk membantu. Dia tahu Fahryil terseksa tetapi dia sendiri tidak tahu untuk mengungkapkan kata-kata yang terbaik untuk memujuk hati sahabatnya.
"Beberapa orang awam telah syahid dan mereka masih lagi dalam misi menyelamatkan mangsa-mangsa yang tertimbus akibat runtuhan."
"Aku nak ke sana, Man. Tolonglah jangan halang aku lagi," mata Fahryil sudah berkaca dan wajahnya kemerah-merahan. Dia cuba memohon persetujuan daripada sahabatnya itu.
YOU ARE READING
Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETE
Romance🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...