BAB 46

1.5K 85 8
                                    

KERETA mewah BMW itu berhenti berdekatan jejantas berhampiran sekolah menengah Humayraa. Jam menunjukkan pukul 6.45 pagi. Mereka bertolak awal dari rumah, ditakuti tersangkut dalam kesesakan jalan raya di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Buat sementara ini, pada hari persekolahan, Humayraa akan tinggal di rumah lamanya manakala pada hujung minggu, dia akan pulang ke banglo yang terletak di Bukit Damansara.

"Terima kasih hantarkan saya." Humayraa yang kemas memakai uniform sekolah menengah itu memandang ke arah Fahryil. Gadis itu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan suaminya.

"Mana jam yang aku bagi tu?" tegur Fahryil apabila melihat Humayraa hanya memakai jam tangan biasa dan bukannya jam tangan Rolex pemberiannya.

"Awak ni biar betul nak suruh saya pakai Rolex pergi sekolah?" Gadis kacukan Inggeris-Palestin itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia mengemaskan lagi kedudukan beg sekolahnya. Dengan selamba, dia terus menyalami tangan Fahryil dan mengucup tangan lelaki itu sebagai tanda hormat.

Humayraa membuka pintu kereta, bersedia untuk keluar. "Lepas ni parking jauh sikit tau. Bawah pokok sana tu ke, bawah jambatan ke, tau!" sempat lagi gadis kecil itu berpesan.

"Anatra!" panggilan itu menghentikan langkah Humayraa. Gadis itu menoleh ke arah Fahryil. Serentak itu juga, satu kucupan hangat hinggap di pipinya.

Humayraa tersentak. Wajahnya merah serta-merta.

"Belajar elok-elok,"

Humayraa diam, buat pertama kali dia melihat senyuman ikhlas suaminya. Gadis itu cepat-cepat melangkah keluar dari perut kereta. Jantungnya berdegup laju, terasa seakan mahu melompat keluar.

Humayraa hanya memerhatikan kereta BMW itu meluncur laju meninggalkannya. Tangannya memegang dada. Apa ni? Kenapa aku rasa macam ni? Jangan jadi bodoh, Humayraa. Jantung... berhenti berdegup laju sangat! Jangan bertindak balas pada lelaki tu.

.....

"PENGUMUMAN untuk para pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada awal bulan November, pihak sekolah akan menubuhkan kelas elit yang ditaja sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Proses ubah suai kelas itu akan dilakukan sepanjang bulan Ramadhan dan dijangka akan siap selepas cuti raya. Kawasan yang akan menjadi kelas elit ialah sepanjang kelas kosong di bangunan belakang." Beritahu tuan pengetua.

"Kawasan kelas kosong tu? Itukan tempat berhantu. Siapa sajalah yang nak belajar dekat situ?" kedengaran para pelajar bisik-membisik.

"Antara kemudahan yang terdapat di dalam kelas elit ini ialah penghawa dingin, lantai berkarpet dan kelas yang kedap bunyi, alat bantuan belajar seperti projector dan speaker baharu serta sebuah Macbook bagi setiap meja pelajar. Peruntukan kelas elit ini hanya terhad untuk 20 orang pelajar tingkatan lima, terbuka kepada semua jenis aliran. Hal ini kerana, di dalam kelas elit ini, pelajar akan belajar subjek teras manakala subjek aliran pula akan dipelajari bersama-sama pelajar lain mengikut aliran masing-masing. Jadual akan dirombak sekali lagi untuk menyamatarafkan waktu bagi semua subjek teras dan subjek aliran bagi setiap kelas tingkatan lima." Semua pelajar kelihatan tekun mendengar penjelasan panjang lebar daripada tuan pengetua.

"Peluang terbuka luas kepada semua pelajar tingkatan lima tanpa mengira aliran. Minggu terakhir sebelum kita bercuti menyambut raya Aidilfitri akan diadakan Gerak Gempur yang bakal menentukan kelayakan kamu untuk menjadi salah seorang pelajar elit. Itu sahaja pengumuman saya untuk segmen SPM." Sebaik sahaja pengumuman rasmi pengetua sekolah tentang kelas elit itu tamat, kedengaran para pelajar mula berbicara sesama sendiri. Ada yang teruja namun ada juga yang kecewa kerana terpaksa menempuh satu minggu peperiksaan sebelum bercuti.

Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETEWhere stories live. Discover now