BAB 9

1.6K 75 2
                                    


PADA hari yang kedua, selepas Humayraa pulang dari kursus kahwin, gadis bermata biru itu terus sahaja masuk ke dalam bilik dan tidak keluar-keluar sehingga malam hari. Perangainya sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan di hati Rahimah. Dia tahu anak susuannya itu masih lagi tidak berpuas hati namun, enggan untuk bersuara.

Rahimah yang kini berada di luar bilik Humayraa, menghela nafas berat. Bagaimana pula reaksi Humayraa apabila dia menceritakan hal yang sebenar? Satu persoalan yang masih belum dapat dijawab.

Sebelum mengetuk pintu bilik itu, Rahimah terlebih dahulu membaca ayatul Kursi dan ditiupkannya ke arah bilik Humayraa, berharap supaya hati anak susuannya dilembutkan untuk menerima hakikat ini. Dia bertekad untuk menceritakan segala-galanya pada malam ini juga. Selajur itu, dia tetap reda dan berserah pada ketentuan Allah, Tuhan yang Maha Esa, yang lebih mengetahui.

Rahimah mengetuk pintu bilik anaknya beberapa kali dan kemudiannya mula menguak daun pintu menggunakan sebelah tangan sambil tangannya yang satu lagi memegang kemas sebuah kotak hadiah bersaiz besar. Dia melangkah masuk ke dalam bilik dan akhirnya duduk di sisi katil Humayraa.

Humayraa yang sedari tadi sedang khusyuk membaca buku kini lebih peka dengan kedatangan ibunya. Dia cepat-cepat menutup bukunya seraya duduk di sisi ibu tercinta. Sempat juga gadis itu mengerling ke arah kotak hadiah cantik yang dibawa oleh ibunya.

“Humayraa marahkan ibu ke, sayang?” Rahimah memulakan bicara.
Gadis kacukan Inggeris-Palestin itu mengeluh halus. Dia yang membuang pandang ke hadapan kini menatap wajah ibunya seraya menggeleng perlahan.

“Tak, tak marah pun.”

“Ibu ada sesuatu nak bagi pada Humayraa.” Rahimah menghulurkan kotak hadiah besar yang dibawanya itu. Dia meletakkan kotak yang tampak mewah itu di atas ribaan Humayraa. Gadis bermata biru itu memandang wajah ibunya dengan riak wajah yang penuh tanda tanya.

“Apa ni, ibu? Birthday Mayraa dah lama lepas,” gadis itu ragu-ragu. Perlahan-lahan dia membuka penutup kotak hadiah itu. Rahimah hanya diam dan membiarkan.

“Subhanallah,” spontan kalimah itu meniti di bibirnya – Maha Suci Allah.
Dari dalam kotak bersaiz besar itu, kelihatan beberapa kotak mewah yang bersaiz agak kecil dan yang paling menarik perhatian Humayraa adalah sebuah bekas antik berbentuk seperti telur berhias permata-permata indah yang terletak paling atas di dalam kotak besar tersebut. Gadis kacukan Inggeris-Palestin itu terkebil-kebil seketika. Otaknya ligat memproses mencari maklumat tentang barang-barang yang diterimanya.

Dadanya terasa seperti mahu pecah menahan debaran manakala tangannya pula sudah terketar-ketar mencapai bekas antik berbentuk bujur berwarna putih mutiara itu. Kini, kegusaran hatinya selama ini tidak dapat disangkal lagi. Ibu memang menyembunyikan sesuatu daripadanya!

Perlahan-lahan bekas itu dibuka. Kini, Humayraa sudah ternganga, terbeliak, terdiam, terkedu, terkesima, terpempan, terpaku dan segala terrr…

“Cincin?” Dia mengeluarkan sebentuk cincin emas yang bertatahkan sebutir berlian di atasnya. Tangannya kembali menyelongkar ‘harta-harta’ lain yang ada di dalam kotak besar itu.

Terdapat beberapa kotak pelbagai bentuk dan saiz yang penuh dengan coklat, sebuah kotak minyak wangi yang dia sendiri tidak pernah dengar jenamanya di Malaysia, sebuah kotak yang berisi seutas jam tangan cantik – diperbuat daripada kayu, sebuah kamera polaroid berwarna merah jambu, dan sebuah kotak yang terletak paling dasar - berisi tiara besi bercorak bunga, sebatang pin rambut mewah juga bercorak bunga dan sebuah key chain berbentuk hati.

Kesemua barang-barang itu dikeluarkan dan disusun di atas katil bujangnya. Humayraa melihat barang-barang itu satu persatu seraya dia berstighfar. Pandangannya berakhir pada bekas antik yang berisi sebentuk cincin itu.

Mata birunya kelihatan berkaca, menatap wajah sayu ibu. “Ini, harta tinggalan abi lagi ke?” Tanya gadis itu merujuk kepada bapa kandungnya – Ianwood.

Humayraa tidak tahu banyak maklumat tentang arwah bapa kandungnya, namun apa yang dia tahu ialah Ianwood meninggalkan harta untuknya. Harta itu akan diserahkan kepadanya apabila tempoh-tempoh yang ditetapkan telah tiba. Kali pertama dia dapat merasa ‘sedikit’ daripada harta tinggalan Ianwood untuknya adalah sewaktu dia berusia 15 tahun. Harta yang ‘sedikit’ itu dikatakan berjumlah 10 juta pound sterling. Nilai keseluruhan harta itu? Dia sendiri tidak tahu. Sejauh mana kebenaran 10 juta pounds itu pun masih lagi menjadi misteri buatnya. Sejujurnya sehingga kini, dia hanya mendengar sahaja hal mengenai ’10 juta pounds’ itu tanpa benar-benar melihat dan merasainya.

Rahimah mengengsot merapati anaknya. Pantas sahaja tubuh kecil itu ditarik ke dalam dakapan. Sendu yang ditahan akhirnya berhamburan jua.

“Tak, sayang. Ini bukan harta peninggalan abi kamu. Tetapi, memang betul ini berpunca daripada harta peninggalan abi kamu.” Rahimah masih lagi berkias walaupun suaranya kedengaran serak-serak basah.

“Humayraa… tak faham,” gadis kacukan Inggeris-Palestin itu meleraikan pelukan tersebut. Tangannya memegang tangan ibu. Wajahnya berselirat dengan kerutan. Dia keliru. Entah kenapa, malam ini terasa seperti salah satu malam yang sukar dalam hidupnya.
Rahimah mengesat air mata yang mengalir seraya mengucup ubun-ubun kepala Humayraa beberapa kali. Dia tersenyum dengan wajah yang penuh duka.

“Sayang… esok kamu terpaksa cuti,” Rahimah memberitahu berita mengejut itu. Humayraa yang dalam kebingungan, terperanjat.

“Dan… Humayraa bukan sahaja cuti untuk esok, malah Humayraa kena cuti seminggu. Sampailah cuti sekolah tamat, Humayraa tak akan hadir ke sekolah.” Tambah Rahimah lagi, masih enggan berterus-terang.

“Ibu, please...”

“Humayraa, tolong jangan marahkan ibu lagi. Jangan tinggalkan ibu sorang-sorang. Cukup arwah ayah kamu dah pergi,”

Hati Humayraa berkecamuk melihat perangai ibunya yang seperti orang sasau. Meroyan entah apa-apa. Pelbagai persoalan demi persoalan menerjah mindanya meminta jawapan. Humayraa menggenggam erat tangan ibunya.

“Ibu, ibu. Stop it. Apa yang ibu cakap ni? Humayraa… langsung tak faham apa-apa yang ibu cuba sampaikan. Humayraa tak faham langsung,”

“Humayraa, ibu minta maaf. Ibu minta maaf sangat-sangat. Ibu dah berdosa pada Humayraa,” tangan anak susuannya yang putih melepak itu dibawa ke bibirnya lalu dikucup beberapa kali.

~

Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETEWhere stories live. Discover now