"NISYHA, kau balik kelas dulu, eh. Aku nak pergi tandas." Ujar Humayraa sebelum cepat-cepat menuju ke tandas perempuan yang terletak di hujung blok belakang.
Humayraa membetulkan sedikit kain sekolahnya seusai dia selesai berhadas kecil. Dia baru sahaja mahu membuka selak kunci pada pintu tandas kedua terbelakang yang digunakannya itu namun, keadaan bising di luar membuatkan niatnya terbatal serta-merta.
"Hoi! Cepat sikitlah, sial! Bawa dia ke sini." Suara itu berteriak betul-betul di luar tandas Humayraa berada.
Suasana kecoh di luar membuatkan Humayraa menelan liur. Jantungnya berdegup kencang. Kedengaran beberapa suara di luar ketawa terbahak-bahak dan ada juga yang memaki seranah.
Tiba-tiba pintu tandasnya diketuk dan ditendang dengan kasar. Terasa mahu tercabut jantungnya. Humayraa pantas menekup mulutnya, menahan ketakutan yang tidak terkata. Kini, dia terperangkap dalam satu kes pembulian.
"Hoi! Ada orang tak kat dalam?!" Seseorang menjerit dengan nada yang kasar kemudian diikuti dengan tawa beberapa orang.
"Bodoh sangat kalau nak jawab. Kau ni kan..." pecah lagi tawa mereka.
Humayraa sudah menggigil ketakutan. Peluh dingin sudah membasahi sekujur tubuhnya. Dia tidak tahu hendak berbuat apa. Sekali lagi, pintu tandasnya disepak.
"Dahlah, wei. Aku intai macam tak ada orang je. Lagipun, dari semalam tandas ni memang rosaklah. Apa kata kita teruskan dengan si bangang ni?" Satu lagi suara berkata. Suara ini kedengaran lebih tenang berbanding yang lain.
Mendengarkan ayat gadis itu, Humayraa menghembuskan nafas lega.Baru sahaja dia hendak bertenang, tiba-tiba terdengar bunyi picu spray yang dipicit. Berkerut dahi gadis bermata biru itu. Semakin lama, bau yang datang daripada semburan spray itu menusuk ke hidungnya. Semburan aerosol!
Gadis bermata biru itu cuak. Pantas dia menutup hidungnya menggunakan tudung sekolah. Dia terpinga-pinga dengan apa yang sedang berlaku di luar sana tetapi dia tidak berani untuk menerjah. Hanya mampu menahan nafas daripada menghirup udara berkimia yang sepertinya disembur menggunakan dua botol.
Humayraa menjadi hampir-hampir lemas namun, akhirnya semburan itu berakhir. Dia dapat merasakan mereka semua sudah mahu beredar.
"Pergi mampus sana, budak kerek!" Terdengar bunyi botol spray aerosol itu dibaling sekuat hati ke dinding. Kedengaran mereka semua sudah mula beransur keluar dari tandas itu. Suara-suara kasar itu semakin hilang.
Humayraa membuka tekupan di hidungnya. Walaupun bau itu masih tajam menusuk hidung, tetapi dia cuba bertahan, menunggu beberapa minit untuk memastikan mereka benar-benar telah pergi.
........
TANGANNYA menolak daun pintu yang diperbuat daripada kayu jati itu dan dia mula melangkah masuk tanpa sebarang jemputan. Matanya terus tertancap pada satu wajah yang asing di pandangan matanya. Pemuda tinggi lampai itu terkejut dan berpuluh-puluh persoalan mula membanjiri mindanya.
Seorang lelaki Inggeris seusia arwah papanya sedang duduk bersandar di kerusi kulit yang berada di meja bos. Senyuman senget terlakar di bibir lelaki itu sebaik sahaja Fahryil memasuki pejabat mewah tersebut.
"Welcome, Fahryil Danial. Have a sit," tanpa sedikit pun mengalihkan pandangannya, dahi Fahryil sekali lagi berkerut. Otaknya langsung tidak dapat mencari idea, macam mana lelaki itu boleh mengenalinya? Dia mula duduk berhadapan dengan lelaki Inggeris itu.
"My name is Isaac Haxton," Isaac menghulurkan tangan untuk berjabat.
Fahryil terkejut mendengar nama itu namun dia tetap menyambut huluran jabat tangan tersebut. Persoalan utama yang bermain di fikirannya adalah, mengapa dia, Fahryil Danial bin Tan Sri Aminuddin, satu-satunya anak kepada pemilik Empire Berhad tidak dapat menggantikan tempat bapanya sebagai CEO malah tiada langsung bayang namanya di senarai lembaga pengarah?
YOU ARE READING
Billionaire vs Millionaire ✔ COMPLETE
Romance🏆#1 ranking Romance (29.10.24) 🏆#1 ranking Novel Melayu (22.2.22)/ (22.2.23) 🏆#1 ranking Islamik (06.06.23) 🏆#1 ranking Romantik (20.2.23) Seorang gadis kacukan Inggeris dan Palestin yang diambil menjadi anak susuan oleh sepasang suami isteri wa...