BAB 29

57 4 0
                                        

NARA tersentak bila deringan telefon kedengaran. Laju sahaja dia mendapatkan telefon pintarnya dan tertera nombor yang tidak dikenali. Ragu-ragu mahu menjawab namun dia tekan juga butang hijau itu sebelum dilekapkan ke telinganya.

"Nara...abang Jeb ni," sedikit lega Nara bila dengar suara kawan suaminya itu.

"Abang Jeb...kenapa telefon Nara ni? Mikhael mana?" Nara mula rasa pelik bila Jeb yang menelefonnya.

"Nara...abang Jeb minta maaf..." Ada nada berat kedengaran dari suara Jeb.

Nara resah. Entah mengapa dia rasa ada sesuatu yang telah menimpa suaminya.

"Kenapa...dengan Mikhael? Dia tak apa-apa kan..." Nara cuba berfikiran positif. Namun jelas getaran pada nada suaranya.

Jeb lama diam di sebelah sana. Nara mula khuatir. Hatinya dipagut risau yang tidak boleh disembunyikan lagi. Dia tidak setenang sebelumnya.

"Abang Jeb...kenapa dengan Mikhael? Tolong jangan..."

"Mikhael sekarang dirawat di hospital. Tiga hari lepas kami dah balik dari Filipina. Mikhael belum sedar lagi,"

Ya Allah, suamiku!

Nara merintih di dalam hati. Setelah diberi penerangan lebih jelas dari Jeb, akhirnya Nara mengerti. Panggilan itu dimatikan dan dia bergegas menukar pakaiannya. Mujur Lisa masuk ke dalam biliknya saat itu dan cepat sahaja dia memberitahu Lisa tentang khabar yang dia baru terima tadi. Lisa terkejut lalu pantas sahaja dia keluar menukar pakaiannya.

Nara laju sahaja kakinya menuruni anak tangga itu. Lisa sudah menantinya di bawah dan bergegas mereka keluar dari rumah. Setelah memastikan sudah berkunci, barulah Nara masuk ke dalam kereta Lisa. Lisa terus memandu keretanya pergi dari perkarangan rumah itu.

Setelah melewati jalan sesak tadi, akhirnya mereka berdua sampai di hospital yang diberitahu Jeb tadi. Kelihatan Jeb menanti kedatangan mereka di ruang lobi hospital itu. Mereka lantas mengekori langkah Jeb menuju ke arah wad Mikhael ditempatkan. Bila mereka masuk, Mikhael tidak sendirian di situ. Ada dua orang lelaki sebaya umur Mikhael menemani.

Nara meluru mendekati Mikhael yang masih belum sedar itu. Tangan Mikhael digenggamnya. Tumpah juga air matanya saat melihat keadaan suaminya yang mengalami banyak luka pada wajahnya. Ada kesan lebam  yang belum hilang. Kulit lehernya pun kelihatan disiat dan itu yang paling membuat Nara rasa ngeri. Bagaimana Mikhael menghadapi semuanya itu...

"Dia belum sedar lagi. Doktor kata mungkin ambil sedikit masa untuk tubuhnya memulih sendiri," Jeb wakil memberitahu lagi keadaan Mikhael.

"Terima kasih sebab dah jaga dia," Nara menyeka air matanya. Lantas senyuman nipis dia berikan pada dua orang lelaki di situ termasuk Jeb.

Jeb lantas membawa dua orang kawannya keluar dari situ. Lisa pun turut minta diri untuk beli makanan. Tinggal Nara menemani Mikhael. Dipandang wajah suaminya tanpa jemu. Tangannya perlahan mengusap wajah itu. Betapa dia rindukan suaminya itu. Alhamdulillah...suaminya pulang ke pangkuannya.

"Abang...Nara datang ni nak temani abang," air matanya menitis lagi. Nara menangis kecil.

"Nara...rindukan abang..."

Nara kemam mulutnya cuba menahan tangisnya dari pecah. Dia tidak mahu tangisannya menganggu lena suaminya. Mikhael perlukan rehat secukupnya.

Nara terpana bila dia merasakan tangannya digenggam erat oleh tangan suaminya. Langsung matanya diarah ke wajah Mikhael.

"Sayang..." Mikhael bersuara lemah.

"Abang...Nara di sini," Nara menangis terharu bila melihat Mikhael mencelikkan kedua matanya.

Inilah Takdir kitaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang