BAB 8

73 5 1
                                        

TIGA hari Mikhael tidak pulang ke rumah sejak peristiwa suaminya itu menyoal tentang Zayyad. Itulah kali terakhir mereka berbicara dan selepas itu Mikhael menghilang tanpa berita. Dan selama tiga hari itu juga dia rasa kesunyian. Sepi tanpa suami di sisinya.

Mungkin dia pergi outstation lagi.

Dia sekadar memujuk hatinya. Dia sebenarnya rindu juga bila sosok Mikhael tidak ada di dalam rumah itu. Seolah tidak lengkap rumah itu tanpa kehadiran suaminya itu.

Nara mundar-mandir di ruang tamu. Tidak tahu mahu berbuat apa, seharian dia rasa bosan.

Satu perkara yang buat dia tertarik sejak mengenali Mikhael, suaminya itu lebih suka menyimpan koleksi kasut dari era lama sehinggalah sekarang. Semuanya disusun rapi dan kemas di atas rak kaca, dipaut pada dinding ruang tamu itu. Unik sekali hobinya.

Beli kasut untuk sebuah koleksi sahaja. Tidak diguna sama sekali. Geleng kepala Nara. Baru menyedari hobi pelik suaminya sendiri.

Nara melirik jam di dinding. Keluhan kecil terlepas. Jemu dia rasakan. Tiga hari—dia seperti orang gila. Kadang dia merapu sendiri sendiri untuk hilangkan kebosanannya. Gelak sendiri entah apa apa yang muncul di benaknya kala itu.

Kadang ada terselit rasa menyesal, menyesal kerana menuruti permintaan Mikhael untuk dia berhenti bekerja di tempat kerja lamanya sebelum mereka diijabkabulkan. Nara meraup wajahnya.

Dia pun ada impian yang belum tercapai. Tapi dia tidak mampu nak sambung belajar sehingga ke universiti. Kak Dira pun tidak mampu nak tolong dia. Dengan statusnya sekarang yang sudah menjadi isteri orang, belum tentu Mikhael akan melepaskannya. Nak keluar rumah pun susah, nanti kalau dia buka isu sambung belajar pun pasti tidak diizinkan.

Nara melabuhkan punggungnya di sofa itu. Wajahnya seakan pasrah, andai selepas itu dia terlelap kebosanan. Kepalanya didongak merenung siling putih itu. Benaknya cuba mencari cari sesuatu yang boleh menghilangkan rasa ngantuknya, sehinggalah telefon pintarnya berdering. Sekaligus membuat dirinya terkejut.

Laju sahaja tangannya mencapai telefon pintarnya itu lalu dilekapkan pada telinganya. Belum sempat dia bersuara, ada suara garau bersuara di sebelah sana.

"Ini—aku..."

Nara tahan senyum. Akhirnya—yang dinantikan sudah menelefonnya.

"Ada apa, awak?" Nara bertanya lembut. Bibirnya masih tertahan dari tersenyum lebar.

"Aku nak kau bersiap lima minit dari sekarang. Jangan lambat. Aku dah on the way ambil kau. Keluar cepat kalau aku dah ada dekat luar rumah,"

Nara teruja nak bertanya namun panggilan terus dimatikan. Terkebil-kebil matanya memandang skrin telefon pintarnya itu.

Entah apa pula yang merasuk suaminya—ajak dia keluar? Pelik! Mungkin—Mikhael nak bawa dia jumpa orang tuanya....bibirnya perlahan tersenyum.

Laju sahaja Nara bersiap. Dia kenakan baju blaus dengan seluar palazo. Kepalanya seperti selalu dililit dengan selendang. Kulit wajahnya ditempek bedak, nipis sahaja. Bibirnya yang terbelah itu dicalit dengan lipstik.

Setelah begitu yakin dengan penampilannya, tas tangan diambil sebelum melangkah keluar menuju ke ruang tamu. Dia menunggu kedatangan suaminya dengan rasa teruja.

Pinnnn! Pinnnn!

Mendengar sahaja bunyi hon yang bingit  itu, bergegas Nara keluar menyarung kasut ke kakinya. Pintu rumah dikunci sebelum dia meloloskan dirinya masuk ke dalam kereta milik Mikhael.

Mikhael terus memandu keretanya beredar dari perkarangan rumahnya. Nara terus menoleh menatap wajah suaminya.

"Assalamualaikum...awak sihat? Mana awak pergi tiga hari ni? Awak dah makan ke?"

Inilah Takdir kitaCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang