BAB 15

94 6 0
                                        

BUKAN main teruja lagi Nara memasukkan beberapa pasang bajunya bersama baju Mikhael ke dalam beg bagasi mereka. Dia sumbat sahaja apa yang penting sahaja. Pesan Mikhael sentiasa dia ingat. Rambutnya yang lepas ke bahu itu diikat gaya messy bun. Bibirnya tidak duduk diam, siap menyanyi kecil seiring dengan hatinya yang gembira. Esok pagi merupakan penerbangan mereka menuju ke Sydney. Tidak menyangka Mikhael akan membawanya bercuti ke situ.

Setelah pasti semuanya siap, dia beredar menuju ke bilik air. Namun dia terhenti bila menyedari Mikhael tidak ada di dalam bilik itu. Dalam bilik air pun tidak ada. Seraya bibirnya menguntum senyum senang. Dia sudah tahu ke mana Mikhael menghilang waktu itu.

Pintu bilik tamu ditolak perlahan. Dia berdiri di muka pintu. Dia diam. Hanya matanya sahaja memerhati setiap gerakan Mikhael di atas sejadah. Sejuk hatinya melihat perubahan suaminya itu dalam satu minggu. Tapi yang peliknya selama satu minggu itu Mikhael tidak pernah mengajaknya untuk solat bersama. Apa pun dia akan berikan masa suaminya itu menyesuaikan dirinya dengan perubahannya itu. Suatu saat nanti mungkin Mikhael akan bersedia menjadi imamnya. Mikhael mempunyai alasan tersendiri dan Nara akan sentiasa menunggu.

Nara beredar perlahan menuju ke bilik. Punggungnya dihenyakkan malas atas katil. Dalam fikirannya ligat memikirkan seseorang. Lantas dia teringatkan orang tuanya di kampung. Memandangkan dia akan pergi jauh esok, jadi dia mahu memaklumkan kepergiannya pada mereka.

"Assalamualaikum, mama...mama apa khabar? Ayah sihat? Saja call...rindu dengan mama dengan ayah. Nara rindu juga dekat kampung,"

"Kalau rindu tu baliklah sini. Jenguk mama dengan ayah kat kampung ni hah! Tak dapat bermalam pun mama tak kisah," panjang betul bebelan Puan Habsah sebaik menjawab salamnya tadi. Nara senyum sendiri. Terhibur dengan bebelan ibunya itu.

"Minggu ni tak dapat, ma. Mungkin minggu depan akan datang Nara ajak Mikhael sama balik kampung jenguk mama dengan ayah. Insha Allah...Nara tak janji," balas Nara perlahan.

Sebak hatinya bila jawapannya itu jelas menghampakan hati ibunya itu. Dia pun rindu nak bersua muka dengan kedua orang tuanya yang sudah membesarkannya. Statusnya yang bertukar mengajar dia untuk mematuhi perintah suaminya.

"Mikha sihat ke? Mama tak dengar pun suara dia. Dia kerja ke?"

"Ada dekat bawah, ma. Tengah tengok TV. Nara call ni nak bagitau mama yang Nara nak pergi Sydney dengan Mikhael. Khuatir mama dengan ayah datang sini masa kitorang pergi cuti,"

"Hah, baiklah...mama faham. Jangan lupa bawa souvenir dekat sana untuk mama dengan ayah. Di negeri orang tu jaga kelakuan. Hati-hati bila di sana. Kirim salam mama dekat Mikha ye..."

"Baik, mama. Assalamualaikum..."

Nara menamatkan panggilan itu. Lama dia menatap skrin telefon pintarnya itu. Ada sedikit mendung di wajahnya saat itu. Nara rindu mama dengan ayah...

Cepat sangat masa berlalu. Dulu jadi anak dara kesayangan ayah dengan mama sekarang dah jadi isteri kesayangan Mikhael. Isteri kesayanganlah sangat! Nara tersengih sendiri.

"Ehemmm!"

Nara menoleh. Mikhael sudah ada di muka pintu. Bahunya disandar selesa pada frame pintu. Berpeluk tubuh sambil matanya dilempar pada Nara. Ada sesuatu menganggu mood Mikhael tika itu. Mungkinkah dia terdengar perbualan Nara di dalam panggilan bersama ibunya tadi...

"Aku tak suka kau bagi harapan dekat mama dengan ayah. Kau tau kan aku tak boleh balik nak jenguk mereka," Mikhael berwajah serius. Sedikit dengusan dia helakan.

"Tapi tak salahkan kalau kita balik sekejap je nak jenguk mereka. Mama cakap okey je!" Nara membalas, mempertahankan pendapat dirinya.

"Tu cakap mama di mulut je, dalam hati dia siapa tau! Aku tak suka kau bagi mereka harapan palsu. Cuti ni pun aku bawa kau pergi Sydney. Lepas balik dari cuti ni, aku kerja semula macam biasa,"

Inilah Takdir kitaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang