TIGA hari sudah berlalu. Dia langsung tidak menerima sebarang khabar berita dari Mikhael. Mesej tidak ada. Telefon pun tidak ada. Keluhan kecil dia helakan.
Dia sendiri pun tidak tahu menahu tentang pekerjaan suaminya. Dia juga tidak berani nak bertanya pekerjaan suaminya itu. Sekarang dirinya yang dalam kebuntuan, tidak tahu ke mana suaminya itu berada.
Dah makan ke dia?
Lena ke tidurnya?
Baru sekarang dia terfikir nak tahu tentang keadaan suaminya itu. Diakan masih isteri Mikhael, memang patut pun dia harus mengambil berat atas perihal suaminya itu.
"Nara, Mikhael belum balik lagi ke?" Suara Puan Habsah menyentakkan fikirannya yang berjela-jela tadi.
"Belum, mama. Dia kata outstation satu minggu," balas Nara tidak bersemangat.
Dari tadi dia sibuk menatap skrin gelap telefon pintarnya itu. Sekejap dia mengeluh kecil. Perilakunya itu menarik perhatian Puan Habsah. Bibir tua itu tidak semena tersenyum.
"Kesian mama tengok Nara ni...dari tadi asyik termenung je. Ni mesti tengah rindu dengan Mikhael kan..."
Nara drastik menoleh pada Puan Habsah.
Dia rindu Mikhael?!
Tidak percaya ibunya boleh berkata begitu. Laju sahaja dia geleng kepala, menafikan. Rindu apa kejadahnya?
Dia tidak rindu Mikhael, okey!
"Apalah yang mama merepek ni? Nara tak rindu dialah! Nara cuma rindu ayah,"
Rindu ayah konon....
Puan Habsah tersenyum geli hati. Suka sangat dia menyakat anaknya itu. Macamlah dia tidak tahu gelodak perasaan orang-orang muda masa kini.
Di hati kata lain, mulut kata lain. Kalau bukan rindu, asal dari tadi tidak berenggang dengan telefon pintarnya itu? Mestilah Nara tengah menunggu panggilan dari suami tersayang.
"Kalau rindu ayah, telefonlah. Tapi bukan kemarin dah telefon ayah ke? Nara ni ada-ada je! Manja!"
Nara seraya tergelak.
Punggungnya dihenyak sebelah Puan Habsah. Pantas kepalanya dilentokkan manja di bahu ibunya itu. Sungguh dia rindukan belaian ibunya itu. Puan Habsah seakan memahami lalu mendakap bahu anak manjanya itu. Dikucup dahi Nara penuh kasih.
Nara sudah tumbuh dewasa. Saat ada orang cuba meminang anaknya itu, hatinya rasa berat untuk melepaskan namun Nara ada hak untuk mencari kehidupan dan kebahagiaannya sendiri.
Alhamdulillah...setakat ini anak perempuannya itu tidak mengadu apa-apa soal rumahtangganya. Mungkin semuanya berjalan dengan baik.
"Nara rindu mama juga...Nara rindu sangat-sangat," luah Nara, sedikit sebak namun masih tertahan.
"Inilah kehidupan, Nara...Nara cubalah cari kebahagiaan Nara. Nara dah besar panjang dan mama percaya Nara boleh berfikir dengan baik. Mama tahu Mikhael layan Nara begitu kasar tapi Nara jangan cepat mengalah. Tunjukkan perasaan Nara sebenar. Percayalah...suatu hari nanti Mikhael akan menerima Nara apa adanya. Mikhael tu mama tengok elok je tapi mungkin ada sejarah lama yang buat dia berperangai macam tu,"
"Nara belum bersedia untuk semua ni, mama...Nara tak tahu nak percaya Mikhael ke tak sebab dia layan Nara endah tak endah je. Nara nak tahu alasan dia mengapa dia nak kahwin dengan Nara,"
Terluah segalanya dari bibirnya tanpa dia harus menahan. Bercucuran air matanya di pipi tanpa segan. Sosok seorang ibu berjaya membuatnya jujur dan sekaligus bercurhat tentang perasaannya kala itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Inilah Takdir kita
RomantikNara Aisah, dia tidak menyangka jodohnya sudah tiba dan ketika dirinya dilamar, dia seolah tidak boleh menerima lelaki yang mahu mengahwininya itu. Tapi lama-kelamaan dia mula menyelami hatinya dan mengenali Mikhael, hatinya mula berbunga-bunga memb...
