RALIT sekali matanya memeriksa beberapa keping kertas di dalam fail nipis itu. Dibaca penuh teliti. Dia tidak boleh cuai dengan semua informasi yang sudah diberikan kepadanya itu. Dia harus menghadamnya dengan sebaik mungkin untuk memudahkan kerjanya.
Itulah fungsi kenapa informasi itu diberikan kepadanya. Informasi itu telah dikumpulkan oleh pihak atasan melalui hubungan kait dengan pasukan polis.
Nampaknya dia terpaksa bermalam di tempat kerjanya itu lebih lama. Esok, dia sudah mula membuat tinjauan terlebih dulu lokasi yang menjadi tempat sarang penjenayah yang berjaya menyeludup dadah secara bertahun lamanya.
Bahkan kegiatan mereka juga langsung tidak disedari oleh pasukan unit khas. Siapa sangka akhirnya kegiatan mereka kini diketahui juga. Dia sebenarnya pelik mengapa masih ramai orang mahu menghisap dadah beracun itu? Mereka sudah mengetahui dadah itu menghancurkan mereka, tapi mereka tetap juga ambil risiko.
Ditilik jam di pergelangan tangannya. Pukul 12 tengah malam. Dia merenggangkan segala sendi ototnya dan bangkit dari kerusinya itu. Dia duduk lalu baring di atas katil bujang itu.
Mikhael perlahan mengangkat tangan kirinya ke atas. Matanya merenung cincin pernikahannya yang elok disarung di jari manisnya. Dia tidak tahu perasaan apa yang baru muncul di dalam hatinya itu. Fikirannya terus teringatkan Nara, sedikit demi sedikit hatinya mengakui dirinya sangat rindukan isterinya itu. Rindu dengan kerenah manja Nara. Kadang mukanya nampak polos. Dia rindu juga melihat bibir isterinya yang kadang banyak mencebik bila harus mengalah dengannya. Mikhael tersenyum nipis tanpa dia sedari.
Bila mengingat Nara, otaknya langsung bekerja mencuba mengimbas kembali pertemuan pertamanya bersama Nara. Dia masih ingat dengan jelas bagaimana detik-detik pertemuan itu. Kejadian itu sudah lama berlalu. Itu pun sepuluh tahun yang lalu. Nara mungkin tidak ingat siapa dia sebenarnya...
FLASHBACK~
DIA baru sahaja dimasukkan ke dalam wad itu disebabkan luka yang besar pada sekitar perutnya. Dia mendapat luka itu disebabkan dia menyelamatkan seorang gadis dari dirempuh oleh sebuah trak muatan besar.
Waktu dia menolak tubuh gadis itu ke tepi jalan, dia tidak menyedari dirinya terluka. Tapi matanya melihat besi tajam yang bersembunyi di sebalik batu simen yang retak di atas jalan itu, menghiris kulit perutnya. Dia langsung tidak merasa sakit apa pun. Malah dia kebingungan bila melihat darah yang terus mengalir mengotori bajunya.
Namun fokusnya lebih tertumpu pada gadis yang diselamatkannya itu. Dia lantas memandang pada gadis yang pengsan di sebelahnya. Cepat sahaja digendongnya lalu dibawakan ke hospital berdekatan. Mujur kawasan mereka yang mereka lalui tadi berdepanan dengan hospital.
"Jangan banyak bergerak. Jahitan kamu masih baru lagi," arah jururawat yang merawatnya itu.
Mikhael diam, tidak membalas. Dalam fikirannya sangat merisaukan keadaan gadis yang dia selamatkan tadi. Bayangkan sekiranya tubuh kecil itu berjaya dirempuh trak besar tadi, mungkin tubuh itu sudah lunyai dilanggar. Bahkan mungkin gadis itu tidak dapat diselamatkan. Mujur dia muncul tepat pada waktunya. Dia yakin gadis itu akan mengalami trauma kecil selepas dia tersedar dari pengsannya itu.
"Nurse, bagaimana keadaan perempuan yang saya cuba selamatkan tadi?"
"Dia baik-baik sahaja. Nanti dia ditempatkan di wad sini sebelah kamu. Kamu jangan risau," jururawat itu selesai dengan tugasannya. Dia sempat menghulur senyum sebelum beredar dari situ.
Satu jam kemudian, muncul beberapa jururawat sambil menolak katil pesakit masuk ke dalam wad itu. Mikhael cuba menyibuk sedikit untuk mengetahui gerangan pesakit itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Inilah Takdir kita
RomanceNara Aisah, dia tidak menyangka jodohnya sudah tiba dan ketika dirinya dilamar, dia seolah tidak boleh menerima lelaki yang mahu mengahwininya itu. Tapi lama-kelamaan dia mula menyelami hatinya dan mengenali Mikhael, hatinya mula berbunga-bunga memb...
