BAB 45

465 23 5
                                    

Derapan tapak kaki mendaki tangga kedengaran kuat menghuni ruangan itu. Tiada sesiapa di situ selain dirinya. Mungkin kerana disebabkan kawasan itu merupakan kawasan larangan. Jadi tiada sesiapa yang berani melaluinya.

Pintu kecemasan itu ditolak sedikit untuk mengintai ke luar. Melihatkan seseorang yang dicarinya ada di situ, laju kakinya menapak menuju ke arah lelaki itu.

"Kau okey tak ni?" Bahu tegap itu ditepuk lembut dari arah belakang.

Sapaan yang agak mengejutkan itu membuatkan badan tegap itu sedikit tersentak. Namun, tiada tanda-tanda lelaki itu terganggu dengan kehadirannya. Pertanyaannya tadi bagai ditiup angin yang kencang bertiup sekarang ini. Hanya bahasa bisu sahaja yang sahabatnya hulurkan.

Keluhan kecil keluar dari ulas bibir. Entah apa yang dibuat lelaki itu hinggakan perlu berada di atas ini. Sudahnya, dagunya turut ditongkat di atas penghadang besi itu sambil menikmati angin segar. Kencang betul angin yang bertiup hinggakan habis serabai rambutnya yang tersikat rapi.

"Macam mana kau tahu aku ada kat sini?" Lama mendiamkan diri, akhirnya bibir itu tergerak untuk bertanya.

Ayden menguntum senyum nipis. Hai, Qafeel Qafeel. Agaknya lelaki itu berfikir baru sehari dua mereka berteman.

"Dah lama kita berkawan, Feel. Takkanlah aku langsung tak tahu apa-apa pasal kau sepanjang tujuh tahun ni?" Balasnya kembali yang berbaur sindiran. Ya, sudah masuk tujuh tahun pertemanan mereka sampai ke hari ini. Jadi tidak hairanlah kalau dia boleh meneka dengan tepat di mana lelaki itu berada.

"Kau buat apa kat sini? Kenapa tak jaga Inara? Kan kalau jadi apa-apa kat Inara, tak ke nanya?"

"Isteri kau kan ada dengan Inara. Jadi aku tak risau mana. Saja bagi peluang diorang berbual." Jelas Qafeel perlahan. Memandangkan Siti ada bersama isterinya, jadi bolehlah dia mengambil angin di atas bumbung bangunan sebentar. Dia tahu keberadaannya di situ akan membuatkan perbualan dua wanita itu terganggu.

Jujur rasa bersalah itu terpahat dalam dirinya. Kecuaiannya dalam menjaga Inara jelas membuktikan bahawa dia bukanlah suami yang baik. Dia cuai dalam memastikan dengan siapa isterinya berhubung dan berjumpa hinggakan akhirnya bala yang menimpa.

Setiap kali matanya bertembung dengan kesan-kesan lebam yang berbekas di badan wanita itu, amarahnya sentiasa cuba mengawal dirinya. Dan sudah pasti, kejadian malam dimana dia menemukan Inara dalam keadaan menyedihkan akan berputar kembali dalam fikirannya.

"So, macam mana kau dengan Inara sekarang? Okey dah?" Soal Ayden lagi. Sejak dari malam menyelamatkan Inara, tiada langsung khabar berita mengenai suami isteri itu yang sampai ke telinganya. Atau mungkin, Qafeel lebih memilih untuk diamkan saja.

Terjongket sedikit hujung bibir itu sebaik mendengar pertanyaan sahabatnya. Bukan kerana senyum yang bahagia, malah sebaliknya.  Bagaimana dia hendak memulihkan hubungan suami isteri dengan Inara sedangkan wanita itu langsung tidak mahu memberinya peluang.

Hampir setiap masa isterinya akan memberikan layanan dingin kepadanya dan dia pula hanya mampu bersabar dengan setiap tingkah wanita itu. Hanya ketika di hadapan Dato'Johari dan Datin Roziah saja Inara akan berlembut sedikit dengannya. Dan selepas itu mereka akan berbalik pada asalnya semula.

"Tak ada apa yang berubah, bro. Macam mana aku nak fix  hubungan ni kalau dia langsung taknak bagi aku peluang?" Nada suaranya jelas menampakkan bahawa dirinya sedang lemah. Lelah dengan semua yang perlu dihadapnya seorang diri walaupun apa yang telah berlaku ini bukanlah angkara dirinya saja.

Mungkin, ini antara ujian yang perlu dihadapi olehnya dan juga Inara dalam fasa hidup berumah tangga.

"Kau kenalah sabar sikit. Biasalah, perempuan. Emosi dia lain sikit. Kau pun, jangan mudah sangat putus asa. Kadang dia buat semua ni pun semata-mata nak tengok kesungguhan kau untuk pujuk balik hati dia. Jadi, kau kena lipat gandakan usaha kau tu."Panjang lebar Ayden memberikan nasihat. Kata-kata nasihat yang dititipkan mungkin sedikit sebanyak akan membuatkan Qafeel kembali bersemangat. Hanya itu sahaja bantuan yang mampu dihulurkan olehnya. Selebihnya, Qafeel perlu cari jalan penyelesaian sendiri.

PEREMPUAN YANG KUIDAMKAN [COMPLETE]Where stories live. Discover now