BAB 36

491 35 4
                                    

Stereng kereta diketuk-ketuk bagi menghilangkan rasa bosan. Sekejap kepalanya menoleh ke sebelah kiri dan kanan, memastikan tiada sesiapa yang menyedari kehadirannya di situ. Maklumlah, dirinya akan dianggap sebagai penceroboh ataupun orang asing di kawasan itu.

Keluhan panjang dilepaskan. Faris merebahkan kerusi pemandu sedikit ke bawah. Sudah lebih satu jam dia menunggu, namun seseorang yang dinantinya masih belum memunculkan diri.

"Lama lagi ke?" Rungutan keluar dari bibir. Sabarnya semakin lama semakin menipis.

Lama-lama dia boleh mati kalau macam ni. Dengan keadaannya yang berpanas di dalam kereta, memang bermandi peluh lah satu badan. Air peluh yang mengalir dibadannya dibiarkan saja turun membasahi baju. Nak dibiarkan aircond  terpasang, nantikan habis pula minyak kereta. Menyusahkan betul!

Kunci kereta ditarik keluar. Lebih baik dia mengambil angin luar sekejap. Faris memboloskan diri dari perut kereta dan menapak ke bawah pokok besar. Tangannya mengurut belakang leher bagi mengurangkan lenguh. Lega rasanya dapat menghirup udara segar.

Dia berdiri seketika di situ sambil tangan diseluk ke dalam poket seluar. Bangunan di hadapannya dipandang lama. Kenapa Inara datang sini? Dia kerja kat sini ke?

Pelbagai andaian muncul di fikirannya. Jika betul, dia tumpang gembira. Cepat betul masa berlalu, sekarang wanita itu sudah bekerja. Dulu dia hanya mengenali wanita itu sebagai seorang pelajar. Banyak kenangannya bersama Inara.

Faris tersenyum nipis. Ada juga perkara yang dilakukannya membuahkan hasil lumayan. Tidak sia-sia usahanya mengekori suami isteri itu ketika pulang dari pasar raya. Niat pada awalnya hanya sekadar untuk mengetahui di mana mereka berada saja. Alih-alih lain pula yang jadi.

"Huh, finally!!"  Kelibat yang ditunggu akhirnya melangkah keluar. Faris segera menapak ke kereta dan menghidupkan enjin kereta. Dirinya memerhati dari jauh.

"Biar betul laki kau tu bos?!" Faris terkelu. Mulutnya sedikit ternganga. Lihat saja daripada tempat parkir kereta itu, dia sudah boleh mengagak jawatan yang disandang oleh lelaki itu.

"Bukan biasa-biasa lelaki yang kahwin dengan kau" Desis hatinya. Patutlah Inara boleh menerima lelaki itu dengan mudah. Rupanya berharta!

Tangan memegang handbrake  lalu dijatuhkan sebaik sahaja kereta yang dinaiki oleh pasangan itu bergerak keluar meninggalkan kawasan. Dia turut ikut membontoti dari jauh sambil keretanya dipandu agak perlahan.

Inara melangkah keluar dari perut kereta sebaik sahaja kereta diparkir elok. Dia menoleh ke belakang. Kerutan di dahi terlakar. Kereta yang berada di bahu jalan dipandangnya pelik.

Entah kenapa dirinya merasakan kereta itu seolah-olah sedang mengekori mereka berdua. Atau sekadar perasaannya saja?

"Honey... Jomlah masuk" Teguran daripada Qafeel menyentakkan Inara. Niatnya untuk melihat siapa pemandu kereta itu dimatikan saja. Langkahnya dipercepatkan mengikuti suaminya yang sudah berjalan ke depan.

Faris menghembus nafas lega. Nasibnya baik kerana tidak kantoi. Hampir-hampir saja ketahuan. Macam manalah wanita itu boleh menyedari keretanya.

Selesai memarkir kereta, kakinya terus menapak masuk ke dalam restoran. Faris memilih untuk duduk di meja makan hujung. Lebih tersorok kedudukannya. Punggung dilabuhkan ke kerusi yang menghadap ke luar. Menu yang berada di atas meja diselak dan diangkat untuk menutupi sebahagian wajah. Matanya melilau ke segenap restoran.

Meja makan yang diduduki oleh suami isteri itu terletak di tengah restoran. Santai saja Inara dan suaminya menikmati hidangan tengah hari.

TOK! TOK!

Meja yang didudukinya diketuk seseorang. Faris memusingkan semula badannya ke depan.

"Can I take your order?"  Pelayan restoran itu tersenyum manis ke arah Faris. Pen yang berada di tangan sudah bersedia untuk mencatit pesanan yang bakal dipesan.

Faris meletakkan semula menu di atas meja. Senarai hidangan dilihatnya satu persatu. Selesai memilih, dia terus memesannya.

Tangan ditongkat ke meja sambil dagunya diletakkan di telapak tangan. Gambar yang berada di poket jaketnya dikeluarkan. Faris termenung seketika. Otaknya ligat berfikir sesuatu. Entah apalah motifnya mengekori Inara dan suaminya hari ini. Rasanya tiada langsung dalam rancangannya.

"No, not this time!"  Faris menggelengkan kepalanya. Rasanya ini bukan masa yang sesuai untuk memunculkan diri. Lebih baik dia segera beredar dari situ selepas selesai makan. Sekurang-kurangnya Inara tidak akan mengesyaki apa-apa sekiranya mereka bertembung di lain hari. Gambar tadi diselitkan semula ke dalam poket jaketnya.

Lama menunggu, akhirnya hidangan yang dipesan tiba di meja. Faris menikmati hidangannya. Alang-alang dah berada di restoran, eloklah dia mengisi perut juga. Kenyang perut, senang hati!

Selesai membayar, Faris terus berlalu keluar dari restoran. Kakinya menapak ke sebelah kanan. Ada satu kedai lagi yang ingin dikunjungi sebelum dia beredar dari kawasan itu.

Annie's Bakery. Kedai yang menjual pelbagai jenis roti dan kek. Sejak tadi lagi dia teringin untuk membeli roti di sini. Terliur pula tekaknya melihat roti-roti yang berada di dalam showcase storage  ketika melalui tepi kedai itu.

Baru sahaja tangan mahu menarik tombol pintu masuk, tiba-tiba pintu itu ditolak kuat dari dalam.

"Aduh!" Faris mengaduh kuat apabila sisi pintu itu terkena kepalanya. Badannya terus terdorong beberapa tapak ke belakang. Tangan naik menggosok bahagian kepala yang terkena. Biul sekejap otaknya. Mujur saja dirinya tidak rebah di lantai kotor itu.

"Ini kau punya ke?" Soal figura yang berdiri dihadapannya. Gambar yang berada di tangan ditunjukkan kepada Faris.

Faris mengangkat wajah memandang ke arah empunya suara. Gambar yang berada di tangan itu terus disambarnya tanpa berkata apa-apa. Figura itu dipandangnya tajam. Sudahlah kata 'maaf'  tidak diucap, barang-barang dia pun sibuk nak dipegang. Manusia!

Tanpa sepatah kata, dia terus berlalu dan menuju ke pintu masuk kedai bakeri.

"Nanti, aku kenal siapa perempuan tu!"

Faris terus mematikan langkahnya apabila mendengar sebaris ayat itu. Badannya dipusingkan semula menghadap figura yang telah menyebabkan kepalanya sakit. Wajah itu ditenungnya dalam. Ada kesungguhan disebalik wajah yang menyatakan dirinya mengenali Inara.

"Aku kenal dia..."

PEREMPUAN YANG KUIDAMKAN [COMPLETE]Where stories live. Discover now