Markas Pasukan Khas (PASKAL), KD Panglima Hitam, TLDM, Lumut, Perak
ZAKI dan Dani memerhati Isa yang sedang berjogging di sekeliling padang yang agak luas itu. Pusingan larian Isa juga sudah masuk ke angka enam. Peluh di tubuh Isa itu juga dapat dilihat dari jauh.
"Mamat tu memang suka pendam masalah sedalam Jurang Mariana ke?" Sindir Dani dan menongkat tangannya di atas rumput dengan kaki yang dilunjur ke hadapan.
Mereka berdua duduk di atas bukit sambil memerhati ke arah Isa. Cuaca yang nampak seolah akan hujan itu diendahkan sahaja. Jam juga sudah menunjukkan pukul 6.30 petang.
"Entah lah. Yang ni kan hati besi. Kau tanyalah macam mana sekalipun, takkan tahu punya." Zaki mengeluh perlahan. Entah apa yang disorokkan oleh Isa saat itu.
"Dia gaduh dengan isteri dia ke?" Tebak Dani.
"Dia orang nak gaduh tentang apa? Si Isa tu pandang muka pun rasa nak tumbuk. Tegang sangat. Kaysa je yang sanggup melayan dia," balas Zaki dengan selamba.
"Ya tak ya juga kan. Bijak lah kau Zaki. Apa kata kau masuk Clash of Champion tu? Menang dapat duit lepastu belanja aku," ucapnya selamba.
"Ini yang aku malas bila bercakap dengan kau. Banyak main-main. Aku tolak ke bawah nanti, apa pun tak dapat."
Dani sudah tergelak mendengar ayat Zaki. Dia memang suka buat Zaki marah. Seronok.
Bunyi guruh mula kedengaran agak kuat. Mereka berdua terus berdiri dan turun ke bawah. Isa pula masih dengan lariannya.
"Woi Isa. Dah lah tu. Kau meninggal siapa nak tanam?!" Jerit Zaki dengan rasa geram.
Isa yang mendengar jeritan Zaki lantas berjalan perlahan. Dia juga perasan hari sudah menghampiri waktu Maghrib. Cuaca juga sudah mahu menurunkan tangisannya.
"Nah."
Isa terus melempar tuala kecil yang digunakan olehnya untuk mengelup peluh kepada Dani. Dani terus mencampak ke tanah semula.
"Hapak betul bau. Sama je dengan Zaki. Dua-dua bau phiaw," marah Dani.
Zaki dan Isa hanya ketawa kecil. Isa lantas mengambil semula tualanya di tanah. Selepas itu, mereka bertiga berjalan untuk pulang ke rumah.
Sampai di rumah, Dani terus merebus telur. Zaki sudah mengerutkan dahinya. Isa pula sudah selamat ke bilik air untuk membersihkan badan.
"Engkau apa pasal tiba-tiba rebus telur ni?"
"Aku lapar. Telur je yang ada dalam peti ais tu. Kan kau cakap habiskan semua makanan yang ada sebelum kita operasi," balas Dani dan meneguk air kosong di coway.
"Ya tak ya kan. Tapi malam ni aku lapar tomyam Cik Yah lah." Perutnya diusap beberapa kali tanda lapar.
"Jangan lupa lepas Isyak ada taklimat."
Muncul Isa dengan hanya bertuala. Rambutnya yang masih basah dilap beberapa kali dengan tuala kecilnya. Dia terus meneguk air mineral yang berada di atas meja.
"Betul juga tu. Lepas taklimat lah lepak. Boleh tak Isa?" Minta Zaki.
"Kau dengan Dani nak pergi, pergilah. Aku ada hal sikit nak bincang dengan Megat."
"Bincang tentang apa pula ni?" Soal Dani. Hairan.
"Malam nanti kau tahu lah. Aku nak solat dulu lepastu rehat kejap. Jangan ganggu aku," pesan Isa dan masuk ke biliknya.
"Bad mood sokmo lah dia ni," bebel Dani.
Zaki hanya mengunci mulut. Dia perasan dengan muka Isa yang tampak kusut itu. Semuanya bermula selepas Isa pulang dari Kuala Lumpur.
YOU ARE READING
RINDU YANG DICARI [ C ]
Romance-Hati yang tertutup akan dibuka jika keikhlasan itu lahir - Seorang lelaki berumur 35 tahun. Bekerja sebagai Leftenan Komander dalam unit PASKAL. Bersifat tegas dan kurang berbicara dengan sesiapa. Cekap dalam melakukan sesuatu tugas. Namun dia mas...