KEADAAN Kaysa kembali pulih. Tubuhnya juga sudah berasa sedikit bertenaga. Hanya kesan lebam sahaja yang tinggal di pergelangan tangan dan juga kakinya. Malah dahinya juga meninggalkan parut kesan terlanggar kayu tajam saat ditolak oleh Hassan.
Kaysa berjalan perlahan-lahan sewaktu keluar dari bilik air. Dia sudah dibenarkan untuk pulang ke rumah. Puan Jihan, Kayza, Tuan Ismail dan Puan Iqlima sudah berangkat pulang ke Kuala Lumpur lebih awal.
"Sayang okay?" Soal Isa dan membantu Kaysa untuk berjalan.
Kaysa hanya mengangguk perlahan dan melihat ke dalam bilik air. Selepas Isa menutup lampu bilik air itu, tubuh Kaysa tiba-tiba menggigil. Kaysa terus memejam mata dan menoleh ke arah lain.
"Sayang? Kenapa ni?" Isa terus merangkul tubuh Kaysa.
Kaysa sudah mengalirkan air matanya dengan cukup laju. Isa mula berasa tidak sedap hati.
"Ada Hassan... dekat dalam tu," ucap Kaysa dengan nada ketar dan menunjuk ke arah bilik air.
Isa terus menutup pintu bilik air dan membawa Kaysa ke arah katil. Dia dapat merasakan badan Kaysa yang sedang menggigil itu.
"Hanya saya yang ada dekat dalam bilik ni sayang. Istighfar sayang. Dia takde dekat sini. Dia takkan buat apa-apa yang tak baik pada sayang," pujuk Isa sambil mengelus pipi Kaysa.
"Saya takut. Dia pandang saya dengan mata merah dia. Badan dia penuh dengan darah. Tolong saya Isa," rayu Kaysa dengan nada ketar.
Isa terus menarik Kaysa ke dalam pelukannya. Belakang kepala Kaysa diusap sambil membaca selawat. Dia baru tersedar tentang trauma Kaysa saat itu. Di mata kasar mereka semua, Kaysa terlihat sudah sembuh. Tetapi mental isterinya telah terganggu.
🌻
ISA memegang kemas jari-jemari Kaysa. Kaysa pula lebih banyak termenung sejak mereka keluar dari lif. Mujurlah dia membawa topi lebih untuk melindungi wajah Kaysa. Dan Dato' Ashari sudah menyekat beberapa media yang cuba untuk mengorak kejadian yang berlaku kepada Kaysa.
Isa membuka pintu kereta dan menoleh ke arah Kaysa. Senyuman tipis dipaksa di bibir.
"Sayang masuk ya. Kita dah nak balik rumah kita," ucap Isa dengan lembut.
"Macam mana kalau saya kena culik lagi? Saya tak nak," tiba-tiba Kaysa berkata sedemikian.
"Saya ada dengan awak, Kaysa. I'm here. Saya dah buka pintu dan saya akan tutup pintu semula waktu sayang dah duduk dekat dalam. Saya takkan biarkan awak pergi lagi, sayang," pujuk Isa dengan lembut.
Kaysa terus memejam mata dan melangkah masuk ke dalam kereta. Hati Isa berasa sedikit terhiris saat melihat keadaan Kaysa yang tampak takut.
Selepas menutup pintu kereta, dia terus berlari ke belahnya dan masuk dengan segera. Isa langsung menarik tali pinggang di tempat Kaysa.
"Isa. Boleh tak keluar cepat dari sini. Saya tak suka tempat ni. Tempat ni gelap," ucap Kaysa sambil memejam mata dan menunduk ke bawah.
"Okay sayang. Kita gerak sekarang," balas Isa dan terus memandu keluar dari tempat parking.
Sepanjang memandu, Isa sempat melirik ke arah Kaysa yang hanya memandang kosong ke arah depan. Kaysa juga hanya mendiamkan diri.
"Nanti saya bawa awak pergi makan-makan tempat best ya. Ada banyak tempat dating yang saya dah cari. Nanti kita pergi sama-sama," ucap Isa dengan nada ceria.
Kaysa tetap diam. Saat itu Isa berasa seperti mahu meraung. Isterinya tidak seperti itu. Kaysa yang dulunya banyak bercakap kini sudah berubah menjadi pendiam.
YOU ARE READING
RINDU YANG DICARI [ C ]
Romantik-Hati yang tertutup akan dibuka jika keikhlasan itu lahir - Seorang lelaki berumur 35 tahun. Bekerja sebagai Leftenan Komander dalam unit PASKAL. Bersifat tegas dan kurang berbicara dengan sesiapa. Cekap dalam melakukan sesuatu tugas. Namun dia mas...