BAB 30 🌻

2.6K 203 18
                                    

KAYSA tiba di rumah pada jam 9.30 malam. Maleeq juga sudah pulang ke rumahnya semula. Fokusnya pada hari itu agak terganggu kerana asyik memikirkan tentang Isa. Isa pula tiada langsung menghubunginya.

Miranda dan Luqman juga ada menegurnya kerana caranya yang agak culas pada beberapa bahagian. Malah pelakon lain juga ada menegurnya kerana dia kerap termenung.

Kasut diletakkan di atas rak sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu yang sudah dikunci membuatkan hatinya berasa sedikit lega.

Dahi Kaysa terus berkerut apabila melihat suasana rumah yang agak sunyi dan kelam itu. Ruang bawah juga hanya dipasang dengan satu lampu sahaja.

Kakinya terus menapak naik ke tingkat atas. Dia mahu mencari Isa dahulu. Risau jika Isa memilih untuk ke tempat lain atau pulang semula ke Lumut.

Ketukan di pintu bilik Isa tidak bersahut dari dalam. Hati Kaysa sudah mula resah. Dengan perlahan-lahan dia memulas tombol pintu dan menolaknya.

Hatinya terus berasa lega saat memandang ke arah Isa yang sedang lena di atas katil. Lelaki itu juga memeluk plushie yang pernah diberikan padanya dulu.

Saat kaki Kaysa masuk ke dalam bilik, mulutnya terus ternganga. Dia cukup terkejut dengan warna dinding bilik yang sudah bertukar kepada warna biru laut. Malah almari juga sudah berubah kepada warna putih. Tiada lagi warna hitam dan kelabu.

Air mata Kaysa terus berlinang di birai matanya. Dadanya juga berasa sebak saat itu. Perlahan-lahan dia menghampiri Isa yang sedang lena di atas katil itu.

Dia dapat melihat wajah penat Isa dan juga calitan cat bewarna biru laut di pipi lelaki itu. Dengkuran Isa sahaja sudah menunjukkan bahawa dia cukup penat.

Kaysa terus duduk di birai katil dengan rasa yang cukup bersalah. Usaha Isa dalam memenangi hatinya sudah berjaya. Dia sudah mula sayang pada lelaki itu. Lelaki itu benar-benar memegang pada janjinya untuk berubah. Terlalu banyak perubahan yang dapat dilihat oleh Kaysa pada Isa.

Perlahan-lahan Kaysa mengusap pipi Isa yang terkena cat itu. Rasa kesal mula memenuhi ruang hatinya. Dia tersilap dalam menolak perlindungan daripada Isa. Sedangkan lelaki itu adalah suaminya sendiri.

Kaysa terus bangun dan menanggalkan selendangnya. Dia mahu membersihkan tubuhnya dahulu. Dia juga tidak mahu menganggu lena Isa ketika itu. Biarlah Isa berehat secukupnya dahulu.

🌻

ISA merenggangkan tubuhnya selepas puas tidur. Lenguh di badannya juga sudah mula hilang. Jam juga sudah menunjukkan pukul 11 malam. Sudah 3 jam dia tidur selepas selesai mengecat bilik itu selepas Maghrib tadi.

Beg tangan yang terletak di hujung katil menarik Isa supaya kembali sedar. Itu adalah beg milik Kaysa. Dan itu tandanya Kaysa sudah pulang. Tetapi kelibat Kaysa tiada pula di dalam bilik itu.

Isa terus bangun dan membasuh mukanya dahulu. Ketika memandang wajahnya di cermin, dia baru perasan dengan kesan calitan cat yang sudah hilang itu. Seingatnya dia malas hendak membasuhnya kerana berasa penat. Tetapi sekarang calitan itu sudah hilang.

Selesai membasuh muka, kakinya terus dibawa untuk ke bawah. Haruman masakan mula menerjah hidungnya. Perutnya juga mula berkocak dengan cukup rancak. Kali terakhir dia menjamah makanan adalah makan tengah hari sahaja. Itu pun selepas diasak oleh Puan Iqlima untuk menyinggah di sana.

Isa mengintai di sebalik dinding dapur yang menjadi pembahagi dapur dan ruang makan itu. Dia dapat melihat Kaysa yang sedang memasak dengan apron bewarna merah jambu di tubuh. Saat itu dia melihat wajah Kaysa yang berkerut-kerut kerana menahan hangat kuali itu.

RINDU YANG DICARI [ C ] Where stories live. Discover now