BAB 44 🌻

2.4K 215 9
                                    

PUAN JIHAN mengusap lembut jari-jemari Kaysa yang runcing itu. Kaysa masih dalam lena yang panjang. Dia, Kayza dan besannya sudah sampai di Kuantan pada malam semalam. Rasa syukur dipanjatkan selepas Megat memberitahunya bahawa Kaysa sudah ditemui dan dibawa ke hospital. Isa pula masih cuba untuk bertenang saat itu.

Puan Iqlima masuk ke dalam bilik Kaysa. Kaysa juga dipindahkan ke wad persendirian atas permintaan Dato' Ashari. Mereka tidak mahu pihak media mengetahui tentang apa yang sudah berlaku.

"Kak Jihan. Saya bawa nasi lemak ni. Makan dulu ya," ucapnya dan meletakkan bungkusan nasi lemak di atas meja.

"Saya takde selera lah Ima. Hati saya tak tenang selagi Kaysa tak bangun," luah Puan Jihan dengan rasa sebak.

"Kalau Akak tak makan, nanti Kaysa risau. Mesti dia pelik kenapa Umi dia kurus. Akak makan sikit ya, sejak semalam akak tak makan," pujuk Puan Iqlima lagi.

Dia risau jika Puan Jihan pula yang pengsan di situ akibat perut kosong. Mental dan fizikal Puan Jihan juga kelihatan agak merosot.

Puan Jihan mengeluh perlahan. Dia akhirnya menerima pemberian nasi lemak daripada Puan Iqlima itu. Mereka berdua menjamah bersama-sama sambil berbual kosong. Lena Kaysa itu agak lama buat dinanti oleh mereka semua.

🌻

ISA mengangguk faham segala penerangan yang diberikan oleh Irshad. Mereka telah menghantar mayat Maleeq dan mayat Hassan ke bahagian forensik. Keputusan bedah siasat masih belum keluar.

"Nampaknya semuanya dah selesai. Pencarian kau selama ni dah berakhir," ucap Irshad.

Mereka berdua duduk di sebuah bangku di taman hospital itu. Megat pula sudah pulang ke Lumut bagi menguruskan beberapa hal.

"Aku terlalu sibuk untuk cari dia sampai aku hilang isteri aku sendiri. Pengorbanan aku ni berbaloi ke kau rasa?" Luah Isa dengan keluhan.

"Aku tak tahu nak cakap macam mana Isa. Benda yang berlaku antara kau dan arwah Hassan dah dua tahun berlalu. Bukan salah kau, dan bukan juga salah dia sebenarnya. Arwah Kepten Usman pergi disebabkan pihak musuh kita sendiri. Bukan salah korang dua," jelas Irshad.

Dia juga tahu tentang operasi yang dijalankan oleh Unit PASKAL dua tahun yang lalu. Di mana dalam operasi itu, Kepten Usman meninggal dunia di tempat operasi. Semuanya kerana dada Kepten Usman yang ditembak tepat oleh pihak musuh.

Sewaktu kejadian itu juga Hassan menembak secara rambang kerana kemarahannya atas kematian Kepten Usman. Isa yang tidak sempat menghalang perbuatan Hassan terlambat apabila Hassan tertembak seorang mangsa tebusan sehingga maut.

Selepas daripada itu Hassan dibuang dan dijatuhkan hukuman penjara untuk beberapa tahun. Tetapi tak sampai dua minggu Hassan di penjara, lelaki itu telah melarikan diri. Justeru, pihak tentera berusaha untuk menangkap Hassan sehingga mereka mendapat maklumat bahawa Hassan menyertai pasukan lanun di laut Sabah.

"Kalau aku sempat untuk kawal diri dia, dia mesti masih ada dengan kita," kali ini air mata Isa hampir pecah. Sebak yang dirasa tidak dapat dibuang.

"Segalanya dah ditentukan oleh Allah, Isa. Kita ni hanya hamba Allah. Apa jua yang kita tanggung, kita kena hadap dengan hati yang redha." Bahu Isa ditepuk perlahan.

"Pencarian aku dah selesai. Dan aku tahu hidup dia yang gelap tu dah berakhir. Sebanyak mana pun aku cuba nak tarik dia semula, dia tetap menolak. Aku fikirkan dia dah meninggal waktu operasi dekat Sabah. Tapi Allah panjangkan umur dia," jelas Isa apabila teringat.

"Dan ternyata dia ragut nyawa dia sendiri. Dia betul-betul tak nak jumpa dengan aku lepas ni," sambung Isa dan meraup wajahnya penuh kesal.

"Aku percaya yang Hassan dah lepaskan segala beban dan rasa bersalah dia selama ni. Pilihan yang dia ambil untuk jadi penjenayah antarabangsa mungkin bukan kehendak awal dia. Tapi keadaan yang memaksa," ucap Irshad dan tersenyum tipis.

Isa bersandar di bangku dengan keluhan berat. Dia cuba menerima semua yang berlaku dengan hati yang ikhlas. Selama dua tahun dia membuat carian tentang Hassan. Dia mahu membetulkan segala yang berlaku antara Hassan dan dia. Disebabkan itu dia mengabaikan Kaysa. Segala yang menimpa dirinya hampir membuatkan dia kehilangan isterinya sendiri.

Selepas mereka menunggu lebih 15 minit, akhirnya pakar forensik selesai membuat pembedahan. Semuanya diterangkan dengan jelas kepada mereka berdua dan anggota pegawai yang bertugas.

"Kita akan kebumikan dia orang dekat Klang. Itu permintaan mak kepada arwah Maleeq," jelas Irshad.

Isa hanya diam sahaja. Dia juga berasa bersalah kepada Maleeq yang dijadikan kambing hitam oleh Hassan. Tanpa pertolongan Maleeq, sudah pasti dia tidak akan bertemu lagi dengan Kaysa. Dia benar-benar berterima kasih kepada lelaki itu.

Maleeq benar-benar menjadi penjaga buat Kaysa selama dia tiada di sisi Kaysa. Dan dia juga sudah memaafkan perbuatan Maleeq yang menculik Kaysa. Selepas mendapat tahu tentang keadaan Mak Maleeq, dia tahu punca lelaki itu melakukan semua itu.

🌻

ISA duduk di kerusi sebelah katil Kaysa. Puan Jihan dan Puan Iqlima sudah pulang ke rumah. Dirinya sahaja yang akan menjaga Kaysa di hospital.

"Sayang saya ni tengah mimpi apa ya sekarang? Lama betul dia tidur," ucap Isa sambil mengusap tangan kanan Kaysa.

Pernafasan Kaysa yang sudah teratur itu dapat didengar oleh Isa. Dia berasa cukup lega kerana Kaysa masih diberi peluang untuk hidup. Andai dia terlewat beberapa saat, sudah pasti dia tidak dapat memegang tangan Kaysa sekarang.

"Saya rindukan awak, Kaysa Jameela. Awak cukup berani dan cekal. Awak cuba bertahan saat awak jatuh dalam air. Saya nampak awak bergelut dengan diri awak untuk selamatkan diri. Saya minta maaf sebab letak awak dalam situasi bahaya macam tu. Saya benar-benar minta maaf sebab awak terpaksa berkahwin dengan lelaki bekerja macam saya ni," lirihnya dengan senyuman tipis dan air mata di birai matanya.

"Sebelum ni saya tak nak kahwin dengan sesiapa pun. Saya lebih rela diri saya sendiri daripada perlu bahayakan keselamatan orang yang saya cinta. Tapi awak hadir dan berjaya buat saya cintakan awak bagaikan orang gila. Saya tak sangka wanita secantik ini adalah isteri saya. Wanita yang berani mengorat saya dulu. Hahaha. Awak memang hebat Kaysa," gelaknya halus bagi menutup rasa sedih.

"Tapi bukan dengan keadaan awak macam ni yang saya impikan. Saya tak nak tengok awak lemah macam ni. Saya tak nak kehilangan awak, Kaysa. Sedarlah dan ucap I love you pada saya. I love you sayang. Saya sayang awak sangat-sangat," ucap Isa dan menitiskan air mata.

"Peluang yang saya dapat ni takkan saya sia-siakan lagi. Hanya awak seorang sahaja bidadari saya. Buah hati saya yang cukup saya cintai."

Isa mencium lembut tangan kanan Kaysa dengan mata yang terpejam. Dia rindukan kehangatan Kaysa padanya. Pandangan Kaysa padanya dan suara manja Kaysa apabila diusik olehnya.

"I love you Isa Khaleed," tutur satu suara yang agak lemah.

Isa terus membuka mata dan berdiri. Pandangan lemah Kaysa padanya membuatkan tangisnya pecah. Tangannya terus terketar-ketar saat menyentuh pipi Kaysa.

"Sayang..." Tuturnya dengan nada gigil.

"Terima kasih Kaysa. Terima kasih sebab kuat. Ya Allah, terima kasih. Terima kasih sebab kembalikan isteriku pada aku," luah Isa dan mencium pipi dan dahi Kaysa.

Kaysa hanya tersenyum lemah. Dia masih tidak berdaya untuk membalas kata-kata Isa. Dia fikirkan semua itu adalah mimpi ngeri baginya tetapi ianya adalah peristiwa hitam yang membuatkan dirinya berasa trauma.

RINDU YANG DICARI [ C ] Where stories live. Discover now