BAB 09

76 12 5
                                    

Mata melirik ke arah Khairul. Lembik bersandar di bingkai pintu belakang. Ambil cuti kerja sebab demam, tapi boleh pula datang ke kedai dia. Alasannya, dekat rumah tak ada orang. Iwan, Hakimie, Azam dan Asfan masing-masing sedang bekerja. Tak ada pilihan lain selain daripada pergi ke restoran dia.

“Daripada kau duduk melembik dekat situ, baik kau pergi rehat. Tengok kau macam tu, dengan aku sekali rasa lembik nak buat kerja.” Ujar Fajar.

“Jadi janganlah tengok aku. Buat kerja kau diam-diam.” Tanpa memandang Fajar, Khairul berkata. Tangan menskrol telefon miliknya. Kiri kanan pelipis ditampal koyok. Sakit kepala.

“Bujang kesepian macam nilah.” Ridzuan tergeleng sehabis berkata.

“Kau dah ada kekasih ke?” Khairul pandang Ridzuan. Lelaki itu angguk mengiakan.

“Kongsi dengan aku.”

Plak! Tidak semena dahi ditepuk oleh Ridzuan. Berkerut sakit mukanya.

“Kau dah pandai pukul orang lebih tua daripada kau budak.” Khairul ketap gigi.

“Sebab orang tua ni demam-demam tertinggal otak dekat rumah.”

Khairul tayang muka tak percaya. Berapa das dia kena? Bujang kesepian, orang tua tertinggal otak pula tu. Eii! Si Ridzuan ni, tengok muka polos je. Mulut boleh tahan juga rupanya.

“Aku setuju. Dia tertinggal otak dekat rumah,” kata Fajar.

“Malas layan.” Khairul mendecit tak puas hati. Jari sambung menskrol telefon. Mulut yang menguap ditekup. Mengantuk rasanya sekarang. Seketika mata memandang jam yang menunjukkan angka 2:15 minit petang.

Tangan dibasuh lalu dilap. Fajar mencekak pinggang seraya berjalan menghampiri Khairul.

“Aku nak pergi sambung buat rumah. Pandai-pandai kau uruskan diri. Kalau nak tidur, pergi surau atau tidur dalam bilik pekerja. Jangan kacau pekerja aku.”

Khairul berdehem disertakan anggukan, mengia kata-kata Fajar. Tahulah dia.

“Eh Fajar! Kau datang semula pukul berapa?” Pertanyaan Khairul menghentikan langkah Fajar.

“Selepas mengaji. Kalau tak, selepas maghrib.”

Simbol okey diberi. Dia sambung menskrol telefon. Mentang-mentang kedai kawan sendiri, bolehlah dia duduk sesuka hati.

Motor diparkir di bawah teduhan pokok. Seketika Fajar memerhati tukang bina rumah yang masih bekerja. Dalam dua bulan, mungkin dah siap bina rumah dia. Bergantung cuaca juga. Harap tak hujan panjanglah waktu siang.

Siap bina rumah, dia bercadang untuk berhenti buat kerja sampingan. Uruskan restoran saja. Dapatlah berehat sikit. Masa dia bekerja keras tanpa henti bukan sekejap hingga diri tak terurus dan kurus. Alhamdulillah sekarang kehidupannya menjadi lebih baik berkat doa serta usaha yang dia tabur. Tak lupa jasa orang-orang sekeliling.

•••

Selipar disarung pada kaki. Fajar yang ingin menghampiri motor berhenti mendadak apabila Qairil dan Ayen datang menyergah.

“Abang. Jom main bola,” ajak Qairil.

“Malaslah. Abang nak balik ke restoran.”

“Alaaa abang.... Cikgu Arisha ada sekali. Kami dah janji nak main bola hari ni. Jomlah.... Nanti boleh jadi kawan.” Qairil menarik tangan Fajar.

Ayen di sebelah angguk menyokong kata-kata Qairil. “Lebih ramai, lebih meriah. Abang Khairul pun ada.”

“Hm.” Fajar berdehem mengiakan. Dengar nama Arisha, mana boleh dia tolak. Khairul pun... awal betul ambil langkah. Risau juga Arisha dikebas orang lain.

UNTUK MENERIMA SEADANYAWhere stories live. Discover now