BAB 24

83 14 6
                                    

Hacum! Arisha terbersin. Daripada bersimpuh, dia menukar posisi kepada bersila. Mata kembali memandang buku murid-murid yang sedang ditanda. Sesekali dia memerhati Melati. Gadis itu sedang mengerjakan kerja sekolahnya.

“Hacum!” Terdengar bunyi seseorang bersin. Agak kuat sehinggakan mereka berdua terkejut.

“Abang! Abang main hujan ke? Malam dah ni. Habis basah tu,” tegur Melati.

“Kereta abang rosak tengah jalan. Jalan kakilah.” Fajar berjalan ke arah pintu dapur. Kaki dibasuh sebelum dia melangkah masuk ke dalam. Mandi dulu buang air hujan. Rasa sejuk dah mencengkam tubuh sampaikan bibir dia menggigil.

“Nenek dah letak kain baju dekat pintu ni. Pakai aje yang mana ada.” Tutur Nek Uza di hadapan pintu.

Satu jag air teh hangat dibuat. Hujan-hujan seperti ini, bagus menghangatkan tubuh dengan air panas. Tubuh dipusing ke arah Fajar yang sudah lengkap memakai pakaian. Lelaki itu sedang mengeringkan rambut.

“Kain pelikat tak ada ke nek?”

“Tak ada. T-shirt hari tu pun dah basah. Atap nenek bocor tadi. Banyak yang basah.”

“Tak bagitahu atap nenek bocor. Kalau tak, siang tadi Fajar boleh baiki.”

“Esoklah. Nenek pun baru teringat. Ni kenapa datang sini basah kuyup macam ni?”

“Kereta rosak dekat depan rumah Mak Jah. Fajar lari datang sini. Esoklah bawa bengkel dengan Adnan.” Dulang teh diangkat setelah Nek Uza meletakkan gelas. Mereka berjalan ke tingkat atas.

“Hacum!” Arisha terbersin lagi. “Melati ada tisu tak? Kakak rasa hidung kakak nak jadi air terjun.”

Belum sempat Melati mahu menjawab, satu huluran tisu kelihatan di sebelah. Arisha segera mengambilnya. “Terima kasih.”

“Sama-sama.”

Arisha toleh saat mendengar suara Fajar. Lelaki itu duduk bersila seraya mencapai balang biskut. Bibir dikemam. Mata memandang pemakaian Fajar. Kain batik dan baju opah-opah dikenakan. Pasti milik Nek Uza.

“Pandang apa?” Terhenti kunyahan Fajar.

Arisha geleng.

“Pandang sebab abang tiba-tiba bertukar jadi nenek,” ujar Melati.

Tawa Arisha terhambur. Namun, dia laju menutup mulut setelah itu. Fajar dipandang. “Kereta rosak apa?”

“Tayar pancit depan belakang. Budak mana entah tabur paku dekat jalan. Buat hal betul.” Fajar mendecit.

“Macam mana Melati nak ke sekolah esok? Nak saya hantar?”

“Tak. Abang dia yang seorang lagi ada. Esok Fahim hantar kau. Bolehlah abang sambung membuta lepas subuh.” Baki biskut kering dicelup ke dalam air teh panas kemudian dimakan.

“Hacum!” Arisha dan Fajar terbersin.

“Kau selesema pun datang juga. Kau main hujan ke?” Soal Fajar.

“Kena hujan masa balik dari klinik tadi. Hacum! Sikit aje. Esok okeylah tu.”

“Wan macam mana? Teruk ke?”

“Tok su dah okey. Tiga atau empat minggu lagi baiklah kaki tu.” Buku lain dicapai dan dibuka. Pen digerak menanda halaman latihan yang sudah dibuat.

Fajar pusing kepala saat dia terbersin lagi. Huluran kotak tisu daripada Arisha diambil. “Balik nanti jangan lalu depan rumah Mak Jah. Aku tak tahu kalau ada paku lain dekat situ. Kau lalu ikut rumah Mak Diah.”

Arisha angguk tanda faham. Sedang leka menanda, tidak sedar Fajar memerhati. Senggolan pada siku membuatkan Fajar kalih pandangan ke arah Melati. Tanpa meluahkan pertanyaan, Fajar menjungkit kening. Lain macam sengihan adiknya itu.

UNTUK MENERIMA SEADANYAWhere stories live. Discover now