BAB 39

143 21 9
                                    

“Perlahanlah sikit makan tu. Laju-laju nak pergi mana kau? Isteri tak ada lagi. Yang ada, tunang.” Tegur Iwan.

“Biarkan dia. Dia kebulur. Tak ada selera makan sepanjang jalan nak balik tadi. Berhenti dekat restoran pun minum air je. Sekarang tahu lapar,” kata Khairul.

“Budak kecik ni pun sama ke?” Azam kalih pandangan ke arah Melati. Sama cara makannya dengan Fajar.

Khairul angguk.

“Melati penat sebenarnya. Habis penat, baru rasa lapar. Sekarang rasa risau pula sebab tinggal ayah dengan nenek. Cuti sekolah nanti kena balik sana. Lepas tu sambung sekolah dekat sana. Melati dah rancang-rancang, nak cari kerja baru dekat sana. Tolong ayah jaga nenek.” Ujar Melati.

“Biar abang bincang dengan ayah dulu pasal ni. Kau fokus sekolah aje nanti.”

“Yalah.”

“Dah siap. Jomlah balik. Aku nak hantar Melati, nak balik rumah tengok opah dengan mak aku pula. Dah penat dah ni. Rasa nak berbaring.” Fajar berdiri setelah menyedut saki baki air minuman.

“Kau bawak kereta.” Fajar lambung kunci kereta ke arah Khairul. Tempat duduk sebelah pemandu diduduk. Mata dipejam setelah menutup pintu.

Tidak terasa perjalanan ke rumah Nek Uza sehingga tiba di perkarangan rumah Puan Rosna akibat terlena seketika. Mulut yang menguap ditekup. Tubuh digeliatkan sebelum mata memerhati sekeliling.

“Apasal kau keluar juga? Tak balik rumah?” Hairan Fajar melihat tingkah Khairul.

“Lawat opah dengan mak kau sekejap. Aku ada beli buah tangan tadi.”

Kaki melangkah naik ke anjung rumah. Sempat mereka berdua memberi salam terlebih dahulu. Wan Usma yang duduk di atas kerusi malas dihampiri.

“Luka dekat mana opah?” Tanya Fajar seraya duduk bertinggung.

“Dahi je.”

“Macam mana opah boleh jatuh?”

“Tergelincir. Fajar pergi mana? Dua tiga hari ni tak nampak.”

“Pergi Johor tengok Mak Cik Mawar. Tak sempat nak bagitahu opah. Fajar telefon bagitahu Fahim je.”

“Ni buah tangan untuk opah. Fajar pergi Johor dengan Khairul. Ni kitorang baru sampai,” ujar Khairul.

“Terima kasih. Baru sampai mesti dah penat. Pergilah rehat dulu.”

“Mak mana pah?” Tanya Fajar.

“Dekat dalam. Tadi dia kata nak pergi tandas.”

“Fajar pergi tengok mak dulu.”

Fajar berdiri. Baru sahaja mahu melangkah melepasi pintu rumah, figura Puan Rosna menghampiri mereka.

“Mak.” Tertelan air liur Fajar melihat balutan di tangan dan kaki Puan Rosna. Dirinya tersentak tatkala tangan yang mahu menyentuh lengan Puan Rosna laju ditepis oleh wanita itu. Tidak hanya ditepis, pipinya menerima satu tamparan kuat.

“Kenapa engkau balik hah? Pergi duduk dengan ayah engkau sana. Seronok duduk dengan keluarga engkau dekat Johor tu? Dah panggil dia ibu?”

“Fajar tak panggil dia ibu mak.”

“Kenapa tak panggil? Mak telefon tak dapat-dapat. Seronok sangat duduk sana, kan? Engkau keluar dari rumah ni. Mak tak nak tengok muka engkau dah. Keluar!”

“Engkau dah kenapa Rosna? Anak baru balik dah marah-marah entah apa-apa. Kena rasuk haa? Ke dapat penyakit gila lepas terbabas masuk semak?”

“Mak jangan cuba nak bela dia. Dia nikan… dah jumpa si Mawar tu, keluarga dekat sini dia lupa. Dia sama je dengan ayah dia. Elok dua-dua berambus dari hidup Rosna!” Bahu Fajar ditolak kuat.

UNTUK MENERIMA SEADANYAWhere stories live. Discover now