Topi dibuka membiarkan angin pantai mengena rambut. Seketika Fajar termenung melihat ombak yang menghempas pantai. Tidak terusik makanan di atas meja kerana menunggu kehadiran Arisha.
“Hai.”
Terkedip mata Fajar apabila Arisha muncul di hadapannya secara tiba-tiba. Gadis itu seperti biasa, murah dengan senyuman.
“Banyak makanan. Awak lapar ke?”
“Lapar. Duduklah, makan dengan aku dulu. Lepas tu baru kita berbual.”
“Okey.” Arisha labuhkan punggung di atas kerusi. Mata memerhati luka di bibir Fajar. Sahlah tamparan itu kuat. Fajar pula hanya bereaksi biasa. Mata tiada tanda-tanda telah mengeluarkan air mata pun.
“Makan perlahan-lahan. Makanan tu takkan lari.”
Fajar perlahankan pergerakan. Air disedut sedikit sebelum dia memandang Arisha. Gadis itu hanya minum air dan tidak menjamah makanan membuatkan dia berasa hairan. “Kenapa tak makan?”
“Nak makanlah ni, tapi saya haus. Saya minum dulu. Awak tak sarapan ke tadi?”
Fajar geleng.
Arisha hela nafas. Dah tengahari, memang patutlah Fajar berasa lapar. Begitu tak terurus ke hidup Fajar? Pulang ke rumah jarang, makan pun terkadang dah lambat. Waktu banyak dihabiskan di restoran walaupun restoran tak buka.
Di bawah teduhan sebatang pokok, mereka duduk berjarakkan satu meter. Batas masih perlu dijaga memandangkan mereka belum mempunyai ikatan. Arisha toleh ke arah Fajar. Raut Fajar tenang, namun dia tahu hati lelaki itu sarat dengan rasa.
“Fajar. Awak nak kahwin dengan saya tak?”
Fajar toleh dengan muka terkejut. “Kau tengah lamar aku ke?”
Arisha dengan yakin mengangguk. “Lamaran tak menjadi ke? Patut ke saya melutut sambil hulur cincin sekali?”
“Kau sihat tak sebenarnya ni? Lain macam.”
“Walaupun tak sihat, saya tetap nak lamar awak.”
Tawa Fajar terhambur. Dia tunduk memandang tanah sekejap. Malu pula rasanya. Yang dia tahu, hal melamar biasanya orang lelaki yang buat. Sekarang ni terbalik pula.
“Kau tak sabar nak aku lamar kau ke?”
“Tak. Saya serius sekarang Fajar. Saya nak kahwin dengan awak.”
“Kau nak jumpa aku sebab hal ni?”
“Em.” Arisha angguk.
“Aku ingatkan sebab hal depan rumah tu.”
“Berkaitan.”
“Kau cakap dengan aku mendadak macam ni sebab kau rasa simpati dengan kehidupan aku ke?” Fajar pusing. Dia mahu lihat ekspresi Arisha. Jika benar gadis itu melamar dia kerana bersimpati dengan keadaanya semata, meemang hancurlah hati dia.
“Jujur saya cakap, rasa simpati tu ada. Tapi rasa simpati tu bukan asbab saya nak kahwin dengan awak.”
“Jadi apa sebab kau nak kahwin dengan aku?”
“Sebab saya suka awak. Saya… nak ada hak untuk tarik dan tenangkan awak saat awak bergaduh dengan mak awak. Saya nak jadi sebahagian dalam rasa sedih dan gembira awak.”
“Arisha. Sebenarnya, aku terkadang takut aku tak dapat kawal diri. Macam mana kalau aku tak dapat kawal diri aku suatu hari nanti? Kau akan tinggalkan aku?”
“Takkan. Ni satu janji, Fajar. Asalkan awak tak duakan saya atau tipu saya.” Arisha menyengih di akhir kata.
Fajar tersenyum. Tengok Arisha senyum-senyum macam tu, cair pula dia. Comel!
![](https://img.wattpad.com/cover/373124936-288-k644425.jpg)
YOU ARE READING
UNTUK MENERIMA SEADANYA
Romance[COMPLETE] [FAMILY/ROMANCE] Hilangnya cahaya saat kasih sayang memudar. Kenapa perbezaan itu menyakitinya? Goresan luka menjadi semakin dalam mendengar bait-bait kata daripada ibu kandung. Bukan sekali, malah telah menikam pendengarannya berkali-kal...