Tangan Puan Rosna berhenti mengelap bahagian lengan Wan Usma. Fajar yang berjalan menghampiri dilihat.
Perasan akan renungan tak puas hati Puan Rosna, Fajar hanya buat tak nampak. Mungkin Puan Rosna marah kerana dia tidak menjawab panggilan tadi. Jarang sekali Puan Rosna mahu menelefonnya. Disebabkan hal opah masuk ke hospital, barulah Puan Rosna menelefon.
“Fajar pergi mana tadi?” Soal Puan Rosna separa berbisik. Bimbang mengganggu pesakit yang berkongsi wad dengan Wan Usma.
“Restoran.”
“Asyik-asyik restoran. Telefon tak reti nak jawab. Kalau Fahim tak balik tadi, opah dah nazak tau. Fajar sengaja tak jawab atau macam mana? Haa?”
“Fajar tertinggal telefon dekat restoran masa pergi mengaji.”
Puan Rosna berdiri. Dompet dan telefon diambil. Fahim yang baru masuk ke dalam wad dilihat. Kalau Fahim tak pujuk dia, tak adanya dia nak tinggalkan Wan Usma dengan Fajar. Tak ada keyakinan dia nak biar Fajar jaga.
“Jom mak,” ajak Fahim.
“Jaga opah betul-betul. Kalau ada apa-apa jadi dekat opah, mak takkan maafkan Fajar untuk seumur hidup mak.”
“Mak. Apa cakap macam tu? Fajar sayangkan opah. Fahim yakin Fajar akan jaga opah macam jaga nyawa sendiri,” kata Fahim.
“Manalah tahu dia cuai ke apa.”
Fahim hela nafas. Lelah dengan keadaan. “Mak janganlah cakap yang bukan-bukan. Jadi doa nanti tak pasal-pasal.”
Puan Rosna buat tak hirau. Kaki melangkah keluar dari wad.
“Apa yang mak cakap, jangan masukkan dalam hati. Jaga diri kau. Aku balik dulu.”
Fajar angguk tanpa memandang Fahim. Mendengar bunyi pintu ditutup, Fajar yakin Fahim sudah beredar. Kerusi ditarik lalu dia duduk. Tangan milik Wan Usma dicapai. Dikucup lama, kemudian Fajar pandang seraut wajah itu.
Senyuman dilorek, menutup sedih di wajah saat Wan Usma memandang. Walaupun memakai topeng oksigen, Fajar dapat lihat Wan Usma mengukir senyuman untuknya. Tangan Wan Usma yang bergerak ingin menyentuh pipi, dilihat sesaat. Fajar dekatkan wajah. Bibir dikemam apabila Wan Usma membelai lembut pipinya.
“Fajar.”
“Hm?” Fajar mendekat untuk mendengar kata-kata Wan Usma.
“Opah rindu senyuman Fajar.” Suara Wan Usma kedengaran berbisik.
Rasa sebak mendatangi hati Fajar. Dia sendiri tak ingat bila kali terakhir dia senyum kepada orang kerana gembira. Atas asbab tidak mahu disamakan dengan Fahim, secara paksa dia mengubah ekspresi. Tidak lagi ceria. Hanya tatapan biasa namun sering dianggap tidak ramah, dingin bahkan sombong.
“Opah ada sakit dekat mana-mana?”
“Tak ada. Opah dah rasa lebih sihat.”
“Opah sakit, kenapa opah tak bagitahu Fajar?” Pegangan pada lengan Wan Usma masih belum dilepas.
“Opah cuma tak nak risaukan Fajar. Fajar sibuk kebelakangan ni, kan?”
“Tak kira sesibuk mana pun Fajar, opah tetap kena bagitahu Fajar bila opah rasa tak sihat. Fajar takut opah. Takut dengar khabar mengejut macam ni walhal pagi tadi Fajar tengok opah baik-baik je.”
Wan Usma angguk perlahan. Dahi Fajar yang berkerut diusap menggunakan ibu jari.
“Opah dah tua. Akan sering sakit-sakit. Apa yang opah boleh bagitahu, siapkan diri Fajar. Mati tidak mengenal usia. Dah tua macam ni, opah pun tak tahu sakit apa lagi yang akan datang. Ajal tu yakin semakin dekat.”

ANDA SEDANG MEMBACA
UNTUK MENERIMA SEADANYA
Romance[COMPLETE] [FAMILY/ROMANCE] Hilangnya cahaya saat kasih sayang memudar. Kenapa perbezaan itu menyakitinya? Goresan luka menjadi semakin dalam mendengar bait-bait kata daripada ibu kandung. Bukan sekali, malah telah menikam pendengarannya berkali-kal...