Seawal 6:45 pagi Arisha sudah terpacak di dapur bersama Puan Kairana serta Wan Khatijah untuk membuat sarapan. Yang lain masih membuta kecuali Encik Uzair. Lelaki itu sudah keluar mengambil udara pagi. Ezzati masih penat memandu semalam. Itu yang sambung tidur selepas solat subuh.
“Memasak pun pandai anak dara ni. Cukup pakej,” tutur Huda.
“Tak adalah mak cik. Arisha biasa je.”
“Merendah diri pula. Tadi emak cakap Arisha pandai masak. Bagus betul.”
“Masakan kampung bolehlah. Kalau masakan barat, Arisha tak pandai.”
“Dia tak boleh telan sangat masakan barat. Tekak dia selera makanan kampung.” Bagitahu Puan Kairana disertakan tawa kecil.
“Ouh.... Makan ulam-ulamanlah ni? Boleh jadi geng dengan tok su. Hantu ulam.” Kata Huda.
Arisha tertawa.
“Ajaran Wan Kartini ke ni?” Soal Wan Khatijah.
“Nenek suka ulam. Nenek yang ajar Arisha makan sejak kecil.”
“Dengar tu. Umi dah agak,” tutur Wan Khatijah seraya memandang ke arah Huda.
Donut di dalam pinggan dibawa ke meja. Sedikit bebas Arisha rasakan di rumah Wan Khatijah kerana ketiadaan penghuni berjantina lelaki. Saat tinggal di dalam rumah Wan Khatijah, tak perlulah dia berjaga sangat perihal aurat.
“Umur Arisha berapa? Nampak macam tak jauh dari umur Aqila,” kata Huda.
“26 mak cik.”
“Tua setahunlah ni. Nanti berkawanlah elok-elok. Aqila tu pendiam sikit orangnya dengan orang yang dia baru kenal.”
Arisha angguk. “InsyaAllah.”
“Arisha.” Suara Encik Uzair kedengaran dari hadapan pintu.
Arisha menoleh sebelum berjalan mendekat tatkala melihat isyarat tangan daripada Encik Uzair.
“Ikut bapak keluar sekejap. Bapak nak cakap sikit dengan Arisha.”
Arisha menurut. Selipar disarung lalu dia melangkah mengikuti Encik Uzair tidak jauh dari situ. Langit dilihat. Masih ada bintang-bintang berkelipan indah dan bulan bercahaya cerah.
“Kali pertama bapak terpisah jauh dari Arisha, waktu Arisha nak tinggal dekat rumah nenek. Bapak tak ada kerisauan waktu tu. Sekarang, kerisauan tu ada meski Arisha di bawah jagaan tok su. Arisha dah dewasa. Dah boleh berfikir dan buat keputusan sendiri seperti orang dewasa. Tapi, bapak tak nak perkara tu buatkan Arisha jauh daripada diri Arisha sekarang. Bapak tak nak ada sebarang perkara buruk tentang Arisha.” Ujar Encik Uzair tanpa memandang Arisha.
Arisha mendekat. Lengan Encik Uzair dipeluk seraya mendaratkan kepala di bahu Encik Uzair.
“Bapak doakanlah Arisha tak kira di mana pun Arisha berada. Semoga Arisha sentiasa berada dalam lindungan Allah S.W.T. daripada melakukan keburukan dan didatangi keburukan.”
“Anak-anak bapak tak pernah terlepas daripada doa bapak. Ingat, jaga diri. Sentiasa telefon dan bagitahu keadaan Arisha kepada bapak atau emak supaya kita kekal berhubung dan tahu keadaan masing-masing.”
Arisha tersenyum mendengarkan itu. Pesanan yang sama diberi kepada adik-beradiknya yang lain saat berjauhan. Kali terakhir dia dengar, Encik Uzair bagitahu kepada Nora Damia sebelum berangkat ke Universiti.
“Arisha akan update setiap hari dekat bapak macam Damia. Biar bapak penat mengomel.”
Encik Uzair tertawa. Memang dia suka membebel sendiri. Terkadang, entah apa yang dia bebelkan. Dia sendiri tak faham dan tak ingat. Mengalahkan Puan Kairana mulutnya bila membebel.

ANDA SEDANG MEMBACA
UNTUK MENERIMA SEADANYA
Romance[COMPLETE] [FAMILY/ROMANCE] Hilangnya cahaya saat kasih sayang memudar. Kenapa perbezaan itu menyakitinya? Goresan luka menjadi semakin dalam mendengar bait-bait kata daripada ibu kandung. Bukan sekali, malah telah menikam pendengarannya berkali-kal...