Terhenti langkahan Fajar tatkala nama dipanggil. Tubuh dipusing ke arah Puan Rosna. Raut wanita itu seakan marah. Sejak bila Puan Rosna mahu tayang senyuman kepada dia? Fajar sendiri dah tak ingat bila kali terakhir Puan Rosna senyum kepada dia. Mungkin sewaktu bersekolah rendah.
“Mak dengar Fajar beli tanah. Kenapa tak bagitahu mak?”
“Kenapa Fajar kena bagitahu mak? Itu urusan Fajar.”
“Fajar, urusan beli tanah tu penting. Fa....”
“Fajar tahu penting. Fajar dah dewasa. Perihal buka restoran tu pun Fajar tak bagitahu mak. Elok saja Fajar kendalikan sendiri.” Pangkas Fajar.
“Memanglah. Masalahnya, Fajar dapat duit dari mana? Fajar berhutang ke?”
Fajar tertawa berbaur kecewa. Pertanyaan Puan Rosna mempunyai maksud tersirat yang lain rupanya. Fikir dia, Puan Rosna risaukan dia. Ternyata lebih risau dia akan membebankan dan membawa masalah kepada Puan Rosna jika dia berhutang.
Hati Fajar sakit.
“Kenapa? Mak takut Ahlong kejar mak disebabkan Fajar?”
“Siapa yang suka dikejar Ahlong? Kami elok-elok tak berhutang, engkau pula bawa hutang.”
Fajar melangkah pergi tanpa membalas. ‘Kami’, kenapa perkataan itu menjelaskan secara terang-terangan bahawa dia bukan lagi ahli keluarga Puan Rosna? Dia disisihkan.
“Fajar! Fajar tak jawab lagi apa yang mak tanya! Fajar berhutang ke?” Puan Rosna menjerit kecil.
“Bukan urusan mak,” balas Fajar seraya menyarung selipar.
Dia beredar dari rumah tersebut menaiki motor. Waktu petang sebegini, dia akan mengaji di surau. Biarlah tak pandai belajar subjek-subjek dekat sekolah, yang penting dia berusaha mengaji sampai ingat ayat-ayat al-Quran serta maknanya. Dekatkan diri dengan Allah itu bagus.
Tubuh disandar pada dinding surau sesudah mengaji. Rehat seketika sambil dengar budak-budak mengaji. Dia awal-awal dah siap mengaji. Datang awal, awal laa siap.
“Bang.”
Fajar toleh ke tepi. Budak lelaki yang memanggilnya tadi dilihat.
“Suasana hati abang tak baik ke? Abang tak tegur kami langsung tadi.” Qairil menyoal separa berbisik.
Fajar angguk seraya berdehem kecil.
“Orang dewasa rumit. Selalu banyak masalah. Apa kata abang ikut kami pergi main bola?”
“Nanti korang kata abang tak adil pula. Tinggi macam galah, asyik dapat bola dekat kaki.” Fajar bersuara.
“Ish! Qairil nak tolong ceriakan suasana hati abang balik ni. Jomlah abang.”
“Hm. Sudahkan mengaji kau dulu.”
Qairil beralih ke hadapan apabila tiba gilirannya.
Jam tangan dipandang. Baru pukul 5:20 minit petang. Mengantuk pula dia rasa sekarang. Tunggu Qairil punya pasal. Kalau Qairil tak ajak main bola, memang dah berguling dia dalam surau ni membuta sementara tunggu maghrib.
“Dah siap bang. Jomlah ke padang.” Teruja Qairil mengajak. Budak lelaki itu sudah berada di pintu surau menuju ke anak tangga.
Fajar berdiri. Tangan Ustaz Fauzi dijabat setelah meletak al-Quran di rak.
“Fajar. Ustaz perasan suasana hati Fajar tak baik hari ini. Ingat lagi apa yang ustaz pernah bagitahu?” Soal Ustaz Fauzi. Dia nampak, Fajar seringkali mengeluh dan berdiam diri di dalam surau.
Dua belas tahun.... Dua belas tahun Fajar mengaji dengannya. Selama itulah juga dia memerhati. Namun, Fajar tidak pernah memberitahu perihal apa yang membuatkan lelaki itu bersedih.

ANDA SEDANG MEMBACA
UNTUK MENERIMA SEADANYA
Romance[COMPLETE] [FAMILY/ROMANCE] Hilangnya cahaya saat kasih sayang memudar. Kenapa perbezaan itu menyakitinya? Goresan luka menjadi semakin dalam mendengar bait-bait kata daripada ibu kandung. Bukan sekali, malah telah menikam pendengarannya berkali-kal...