BAB 13

72 11 5
                                    

“Opah boleh jalan sendiri.” Wan Usma menolak tangan Fajar yang mahu mengangkatnya.

“Opah baru balik dari hospital. Tak boleh macam ni. Cepat pegang sini.” Fajar tepuk bahu. Sebelah tangan sudah diselit di bawah pelipat lutut Wan Usma.

Wan Usma tidak mampu membantah lagi. Tangan dipaut pada leher Fajar. Cucunya itu sering mengangkat dia di hospital. Untuk mandi bahkan membuang air. Semua diangkat. Bagi dia jalan-jalan pun harus berpimpinan.

“Letak opah atas sofa. Tak ada semangat opah asyik baring atas katil.”

Fajar akur. Perlahan-lahan Wan Usma diletak. Bantal diambil dan diletak di belakang tubuh Wan Usma.

“Opah nak apa-apa, panggil Fajar. Fajar teman opah.”

“Mak ada tu. Bukan ke Fajar ada urusan lain? Pergilah. Opah tak apa-apa. Dah sihat dah ni.”

“Tapi pah....”

“Pergi sajalah. Mak tengokkan opah. Dah berapa hari jaga opah. Restoran tu tak tahu terurus ke tak,” Puan Rosna bersuara.

“Cakap elok-elok sikit dengan anak.”

“Rosna dah cakap elok-elok tu kan mak.”

“Sekurang-kurangnya senyum Rosna. Mahal sangat ke senyuman engkau untuk Fajar?”

Puan Rosna buat tak dengar. Bakul berisi kain diletak ke bawah lalu dia menghampar tikar untuk melipat kain.

“Tengok dia buat pekak pula. Elok sangatlah tu.”

“Tak apalah opah. Fajar keluar dulu. Ada apa-apa, opah telefonlah.”

Wan Usma angguk.

Fajar melangkah keluar dari rumah. Sudah lali dengan keadaan itu, namun hati tetap terasa sakit. Seberapa benci Puan Rosna terhadapnya sehingga tidak sanggup melihat dia berada berdekatan? Seringkali disuruh pergi seakan dia ialah tetamu tak diundang.

“Fajar.” Fahim yang berselisih dengannya menegur.

“Hm.” Fajar jungkit kening seraya hentikan langkah.

“Nak keluar dah?”

Fajar angguk.

“Kau tak nak rehat dulu? Semalaman kau jaga opah. Hari ni baru balik. Rehat laa.”

“Aku ada banyak urusan. Kau tengoklah opah elok-elok.”

“Jangan kerja kuat sangat. Jaga kesihatan tu,” pesan Fahim.

Fajar hanya berdehem mengiakan. Kaki sambung melangkah ke arah kereta. Dia keluar dari perkarangan rumah Wan Usma menuju ke restoran. Tak buka hari ini, tapi ke mana lagi arah tujuannya untuk berbaring dan rehat?

•••

Satu detingan mesej masuk kedengaran. Arisha pandang telefonnya sekilas. Dia berdiri, mengemas segala barang di atas meja. Sudah waktunya untuk murid-murid pulang ke rumah.

“Okey simpan barang-barang,” tutur Arisha memberi tanda bahawa mereka sudah boleh pulang.

“Semua bangun!”

“Terima kasih cikgu!”

“Sama-sama.”

“Yeay! Boleh balik!” Sorak mereka. Laju masing-masing mengemas barangan dan berlari keluar untuk pulang.

Arisha kembali duduk. Telefon dibuka. Ruangan sembang tak dikenali ditekan. Ayat pertama dah menyatakan nama.

[Aku Fajar.]

UNTUK MENERIMA SEADANYAWhere stories live. Discover now