Pergerakan Aziz yang sedang mengelap meja makan terhenti tatkala seseorang datang mengetuk pintu. Langkah diatur menghampiri gerangan tersebut. Pintu dibuka.
“Maaf cik. Restoran tak buka waktu siang kecuali hari jumaat.”
“Saya tahu. Saya datang nak jumpa Fajar.”
“Atas urusan apa cik?”
“Mak dia aturkan perjumpaan kami dekat restoran ni. Katanya, Fajar pemilik restoran ni.”
“Em cik tunggu sekejap. Saya panggil bos.”
Gadis itu angguk tanda faham. Kerusi terdekat ditarik lalu dia duduk. Seketika mata meliar memerhati sudut dalaman restoran tersebut. Memang terlihat mewah. Pandangan dikalih ke arah Fajar. Raut lelaki itu serius seperti kebiasaannya.
“Cik nak jumpa saya untuk apa?”
“Mak awak aturkan perjumpaan kita. Untuk kenal-kenal dan menikah.”
“Wow!” Ridzuan menekup mulut dengan mata membulat. Terkejut mendengar kata-kata dari mulut gadis itu.
“Maaf cik. Saya tak tertarik. Cik boleh pulang sekarang.”
“Ringkas, padat, tepat. Terbaik bos,” komen Ukael separa berbisik. Masing-masing dah berkumpul di kaunter. Macam biasalah... tak boleh duduk diam nak mencuri dengar.
“Tunggu dulu.”
Langkahan Fajar terhenti. Dia toleh memandang gadis itu kembali.
“Apa sebabnya awak tak tertarik? Awak belum kenal saya lagi, tapi awak dah cakap macam tu.”
“Saya cakap saya tak tertarik. Maka itulah jawapannya. Keluarlah. Restoran tak buka waktu siang.” Fajar melangkah pergi sehabis berkata.
Melihat para pekerjanya berkumpul di kaunter, kedua belah tangan naik mencekak pinggang. Tatapan tajam diberi. Mulalah terkocoh-kocoh mereka berlari pergi.
Langkah diatur ke dapur. Tangan sambung menguli adunan mi. Sedikit awal dia siapkan kerana seperti biasa, setelah asar dia akan ke surau untuk mengaji. Kerja Fajar terhenti apabila Aziz memasuki ruangan dapur sambil memanggilnya.
“Ada dua orang lagi perempuan datang. Mereka cakap mereka nak jumpa bos.”
Tangan dibasuh. Fajar melangkah keluar dari ruangan dapur. Perempuan tak dikenali. Atas urusan apa pula kali ini? Tadi pun dia dah naik hairan. Tak jangka langsung Puan Rosna akan atur perjumpaan untuk cari calon isteri dia. Dahlah tak cakap apa-apa langsung. Telefon dia pun tak.
“Ada urusan apa cik cari saya?” Soal Fajar.
“Emak encik aturkan perjumpaan....”
“Maaf cik. Saya tak tertarik. Cik boleh beredar sekarang. Restoran tak buka waktu siang,” pangkas Fajar sebelum sempat gadis itu menghabiskan kata-katanya.
“Encik. Tolong beri kerjasama.”
“Untuk apa? Lebih baik jangan buang masa untuk perkara yang takkan jadi. Cik boleh cari orang lain.”
“Jika soal hati asbab encik menolak kami, kami juga tak suka encik. Tetapi perasaan boleh dibina perlahan-lahan.”
“Tak ada perkara macam tu. Saya cuma tak tertarik dengan perjumpaan yang diatur tanpa pengetahuan saya ni. Dan saya tak ada niat untuk cari calon isteri daripada perjumpaan macam ni.”
“Baiklah. Terima kasih. Sekurang-kurangnya encik berterus-terang.” Gadis itu beredar.
“Memang tak ada peluang langsung ke encik?”
“Tak ada.”
Rasa kecewa jelas terlihat pada raut wajah gadis itu. Kaki melangkah, beredar dari situ.
YOU ARE READING
UNTUK MENERIMA SEADANYA
Romance[UPDATE] [FAMILY/ROMANCE] Hilangnya cahaya saat kasih sayang memudar. Kenapa perbezaan itu menyakitinya? Goresan luka menjadi semakin dalam mendengar bait-bait kata daripada ibu kandung. Bukan sekali, malah telah menikam pendengarannya berkali-kali...