Qaiffa begitu asyik memandang ke arah Harith yang rancak berbual dengan Raef. Mereka semua duduk di meja yang sama. Hadrah menepuk bahu gadis itu untuk mengalihkan pandangan daripada Harith. Dia takut Raef berasa pelik dengan tingkah laku Qaiffa sekarang."Janganlah tenung anak teruna orang lama sangat." Tegur Hadrah. Firash meletakkan pinggan yang dipenuhi lauk di hadapan isterinya. Dia tahu Hadrah sedang lapar namun disebabkan kakinya sakit, wanita kesayangannya itu memilih untuk duduk sahaja.
"Makan sayang. Baca bismillah dulu." Lembut sahaja Firash menuturkan kata-kata sebelum melabuhkan punggung di sebelah Hadrah. Wanita itu tersenyum lebar saat menerima perlakuan sebegitu. Kehidupannya dilayan seperti seorang ratu oleh Firash sejak mereka berkahwin. Apatah lagi sekarang dia sedang mengandung. Segalanya akan dipastikan selamat oleh suaminya sebelum dia melakukan apapun.
"Oh ya! Iffa, ni Harith dan ni pula Firash. Lupa pula nak kenalkan tadi. Dua orang ni sahabat baik saya! Ni pula tunang aku." Masing-masing mengangguk dan tersenyum nipis. Namun, ada sesuatu yang mengganggu Raef sejak tadi. Cara pandangan Qaiffa terhadap Harith. Bukan dia tak perasan, cuma dia buat-buat tak endah sahaja. Raef memandang Harith yang ralit melihat sekeliling seperti melarikan pandangan supaya tidak menatap wajah Qaiffa. Itu menimbulkan kecurigaan padanya.
"Dah lama ke tunang?" Tanya Firash. Tangannya bergerak menyuakan air sirap kepada Hadrah supaya isteri tidak tercekik semasa makan. Berselera sungguh wanita itu makan.
"Dah lama juga. Macam hampir 2 tahun tak silap." Harith tidak menunjukkan sebarang reaksi saat mendengar jawapan yang diberikan Raef. Tipulah kalau hatinya tak sakit, cuma dia sedar yang dia hanya bertepuk sebelah tangan. Harith menyisip air teh yang ada di atas meja sedikit untuk membasahkan tekaknya yang terasa kering.
***
Harith mengambil tempat di laman rumah Raef memandangkan semakin ramai pula tetamu yang hadir. Jadi, dia perlulah memberi peluang untuk tetamu yang lain makan. Saat dia termenung, seseorang melabuhkan punggung di sebelahnya. Harith menoleh dan segera untuk bangun namun pertanyaan orang itu menghentikan langkahnya. Qaiffa terasa dengan tindakan Harith yang seperti enggan langsung bertemu dengannya.
"Kau benci sangat ke dekat aku?" Soal Qaiffa. Harith tidak menjawab, dia hanya membiarkan soalan itu terabai sahaja. Qaiffa bangkit dari duduknya dan menghadap jejaka itu. Dia dapat melihat jelas wajah Harith yang putih dan iris mata Amber.
"Kenapa buat-buat tak kenal aku?" Hanya keheningan sahaja yang menyapa mereka. Harith terpaksa memandang Qaiffa walaupun dia tak sanggup memandang wajah yang bakal menjadi isteri kepada kawan baiknya. Hatinya meronta ingin berkata meluahkan rasa yang terbuku di hatinya, cuma....dia dihempap oleh realiti yang akan bakal diterimanya tak lama lagi.
"Aku..." Entah kenapa kelu lidahnya berkata. Cukup pandangan redupnya sahaja yang memberikan jawapan. Masing-masing beradu pandangan yang sarat dengan pelbagai perasaan namun belum tentu mampu ditafsirkan dengan baik di antara mereka. Qaiffa dapat merasakan terdapat kesedihan disebalik pandangan Harith. Jejaka itu segera menoleh dan berlalu pergi.
Qaiffa memandang ke arah lain. Air matanya menitis seakan mengerti apa yang disembunyikan oleh Harith. Dia mengelap air matanya menggunakan lengan baju. Nafas cuba diatur supaya tiada siapa yang melihatnya dalam keadaan sebegitu. Andai sahaja dia boleh memutuskan pertunangan dengan Raef, tentu sahaja dia akan lakukan. Demi keluarganya, dia mengabaikan perasaan sendiri.
Harith telah memesan kepada Firash yang ada di ruang tamu yang dia ingin pulang. Dari tadi mencari kelibat Raef, namun tidak kelihatan langsung. Dia tak sanggup menghadap Qaiffa. Dia takut dia tidak mampu menerima realiti. Qaiffa menghampiri Hadrah dan duduk di samping gadis itu seakan tiada apa yang terjadi. Tanpa mereka berdua sedar, seseorang melihat kejadian yang berlaku tadi.
YOU ARE READING
TAKDIR KAU DAN AKU [COMPLETE] ✓
Storie d'amoreCover by:PutraRize "Biar malam menjadi saksi sejauh mana diriku mencintai dirimu." - Kekanda Harith. " Andai kita bertakdir, sejauh mana aku melangkah pasti akan dipertemukan dengan dirimu semula." - Adinda Qaiffa. Kekanda? Adinda? Nama yang saling...