Apabila aku dan Benji sampai saja di perhentian bas berhampiran dengan kediaman Dato' Bakri itu, kami berdua ternampak anjing yang sama Benji bagi makan bulan lepas. Anjing itu masih lagi duduk di tempat yang sama iaitu di tepi perhentian bas itu. Apabila anjing itu nampak saja aku dan Benji, anjing itu berjalan ke arah kami berdua. Anjing itu seperti masih lagi mengingati aku dan Benji. Aku cepat-cepat menyorok di belakang Benji. Aku masih lagi trauma dengan anjing.
Kebetulan roti yang Benji borong tadi masih tak habis lagi. Lalu, Benji pun mencubit roti itu dan memberi anjing itu makan. Aku hanya memerhati saja daripada belakang. Comel juga anjing itu sebenarnya. Bulunya gebu. Kesian pula aku tengok anjing itu makan. Mesti dia kelaparan dan kesejukan duduk dekat perhentian bas itu. Aku harap suatu hari nanti ada orang yang mampu untuk mengambil dan menjaga anjing itu.
Sesudah saja habis memberi anjing itu makan, aku dan Benji pun mula berjalan pulang. Nasib baik hari itu kami berdua juga sempat sampai di kediaman itu sebelum pukul 10 malam. Apabila sampai saja, aku mengikut Benji berjalan naik ke bilik tidurnya. Aku perlu menyalin semula pakaian kerja aku sebelum aku balik ke bilik pekerja. Namun, apabila Benji buka saja pintu biliknya, aku ternampak kelibat Encik Shuib yang sedang berdiri sambil memandang ke luar tingkap. Jantung aku mula berdegup laju.
Aku sumpah cuak. Entah mengapa selama ini aku macam sudah boleh agak yang suatu hari nanti perancangan aku dan Benji keluar daripada kediaman itu memang akan diketahui oleh Encik Shuib. Tetapi aku tak sangka pula akan secepat ini. Aku memandang muka Benji. Dia kelihatan seperti tenang saja. Aku pun pelik. Encik Shuib menoleh memandang aku dan Benji. Aku menundukkan kepala aku. Aku takut nak tengok muka Encik Shuib. Tetapi aku boleh dengar bunyi tapak kaki Encik Shuib yang sedang berjalan menghampiri aku dan Benji.
"Budin, kamu bawak Tuan Benjamin pergi mana?! Saya dah cakap kan tugas kamu untuk mengurus dan menjaga Tuan Benjamin je. Bukannya bawak Tuan Benjamin keluar daripada kediaman ni!" tengking Encik Shuib. Aku tersentak. Itu kali pertama aku mendengar Encik Shuib marah sebegitu. Benji berjalan dan berdiri di depan aku. Dia seperti sedang cuba menyorokkan aku yang ketakutan itu daripada pandangan Encik Shuib.
"It's not his fault. Saya yang ajak dia keluar. Ini semua idea saya" kata Benji mencelah.
"Tuan Benjamin.... Your dad will not like this. Tuan Benjamin tahu kan yang Dato' tak benarkan Tuan Benjamin keluar?" ujar Encik Shuib dengan suara yang terketar-ketar menahan marah.
"I don't have a dad. And I don't care what he likes or doesn't like" ujar Benji dengan nada suara yang tegas. Aku sudah lama tak dengar Benji cakap dengan nada suara yang tegas sebegitu. Walaupun Encik Shuib dan Benji bercakap bahasa orang putih, aku masih lagi faham apa yang mereka berdua cakapkan.
"But I care Tuan Benjamin! Dato' sanggup buat apa saja demi nama dan perniagaan. And you know this too! Saya boleh terima lagi kalau Tuan Benjamin keluar secara senyap. Tetapi Tuan Benjamin keluar sampai gambar dan video Tuan Benjamin tular di sosial media. Sampai lukisan Tuan Benjamin penuh di sosial media. Macam mana saya tak risau, Tuan Benjamin?" ujar Encik Shuib panjang lebar.
Aku cuba mengintai daripada bahu Benji untuk memandang muka Encik Shuib. Aku dapat lihat kerisauan yang terpancar di mukanya. Aku ingatkan perancangan aku dan Benji terbongkar sebab Encik Shuib ternampak kami berdua keluar. Tetapi rupanya sebab gambar dan video Benji menang pertandingan melukis di galeri tadi sudahpun tular di sosial media. Sekarang baru aku faham mengapa Encik Shuib sangat risau kalau Tuan Benjamin keluar daripada kediaman itu. Tiba-tiba aku pun rasa risau juga. Macam mana kalau gambar dan video Benji itu sudahpun dilihat oleh Dato' Bakri dan Datin Soraya? Aku memandang muka Benji. Dia hanya terdiam saja memandang lantai.
Aku memandang semula muka Encik Shuib. Entah mengapa apabila aku pandang saja muka Encik Shuib, aku seperti sedang memandang wajah seorang ayah yang sangat risau dengan anaknya. Aku rasa serba salah. Kalau lah aku tak mengajak Benji keluar daripada kediaman itu, mesti semua ini tak akan terjadi. Tetapi nak menyesal sekarang pun dah tak berguna. Nasi sudahpun menjadi bubur. Aku mula berjalan ke depan dan berdiri di sebelah Benji.
"Saya mintak maaf, Encik Shuib. Ini semua salah saya. Saya tak pernah sekalipun berniat nak mendatangkan masalah kepada Tuan Benjamin. Saya hanya berniat nak bawa Tuan Benjamin keluar untuk melihat dunia saja. Supaya Tuan Benjamin boleh mula melukis semula. Itu je niat saya. Sebab saya tak pernah tengok Tuan Benjamin bahagia seperti mana semasa Tuan Benjamin melukis. Dan saya juga rasa bahagia bila dapat tengok Tuan Benjamin bahagia. Tetapi mungkin cara saya salah. Sekali lagi, saya mintak maaf, Encik Shuib" ujar aku panjang lebar. Encik Shuib dan Benji seperti terkedu memandang aku.
Aku cuba meluahkan niat aku yang sebenarnya. Memang betul pun aku tak pernah sangka keadaan akan jadi seperti ini. Aku hanya nak Benji merasa bebas seketika daripada terkurung lama di dalam kediaman itu. Aku nak melihat Benji bahagia. Sebab bagi aku, semua orang berhak untuk merasa bahagia. Semua orang berhak untuk melihat dunia.
"Takpe lah, Budin. Benda pun dah jadi. Saya pun mintak maaf jugak sebab menengking kamu tadi. Esok je lah kita sambung berbincang pasal hal ni. Hari pun dah lewat malam" ujar Encik Shuib lalu berjalan keluar daripada bilik itu.
"Kau nak tidur mana malam ni?" soal Benji tiba-tiba. Aku memandang mukanya yang seperti anak kecil sedang kesedihan itu. Mungkin Benji pun rasa serba salah dengan Encik Shuib sekarang ini. Tetapi dia tak reti nak meluahkan.
"Kau nak aku tidur sini ke?" soal aku pula. Aku rasa kesian pula melihat Benji. Mungkin dia tak nak rasa keseorangan malam itu. Benji hanya menganggukkan saja kepalanya sambil matanya memandang lantai.
Malam itu aku tidur lagi di bilik Benji. Aku harap Kenit, Abu dan Alang tak risaukan pasal aku. Nanti lah aku fikir nak goreng alasan apa pula untuk bagitahu mereka bertiga kali ini. Aku tak sampai hati pula nak meninggalkan Benji keseorangan setelah apa yang terjadi malam itu. Kepala aku masih lagi serabut memikirkan pasal apa yang akan berlaku kalau Dato' Bakri dan Datin Soraya tahu yang Benji keluar daripada kediaman itu.
"Kau tengah fikir apa, Dino?" soal Benji setelah memandang aku berkerut dahi.
"Benji.... Kau tak risau ke kalau Dato' Bakri dan Datin Soraya tahu pasal ni?" soal aku pula. Benji hanya terdiam seketika mendengar soalan aku itu.
"Entah lah. Aku dah penat. Apa pun yang berlaku lepas ni, aku hadap je" jawab Benji seperti tak ada perasaan apa-apa. Aku hanya memandang mukanya yang nampak kosong saja itu.
"Dah lah, Dino. Tidur lagi bagus daripada fikir pasal orang yang tak kesah pun pasal aku" ujar Benji lalu menutup seluruh badan dan kepalanya dengan selimut. Aku pun memejamkan mata aku untuk cuba memaksa diri aku untuk tidur.
ANDA SEDANG MEMBACA
Benji
General FictionNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...
