Bangun saja keesokan paginya, aku hanya menghiraukan saja Benji. Aku masih lagi merajuk pasal lukisan potret semalam. Setahu aku, Benji tak pernah langsung melukis potret. Dia hanya sering melukis lukisan pemandangan atau lebih dikenali dengan 'Landscape painting' saja. Jadi, aku sedikit terkejut apabila Benji mula melukis lukisan potret. Benji hanya mengikut saja ke mana aku pergi walaupun aku hanya menghiraukan saja dia. Dia cakap apa pun aku tak layan. Baru dia tahu macam mana aku rasa dulu bila dia hiraukan aku. Padan muka.
"Dino, kau marah aku ke?" soal Benji lagi untuk entah ke berapa kalinya. Aku sedang mengemas almari buku di bilik buku sambil menyusun buku-buku yang sedikit berterabur di almari itu. Aku tak pandang langsung Benji dan tak menjawab persoalannya itu.
"Kau dah tak suka berkawan dengan aku dah ke?" soal Benji lagi. Aku rasa macam pernah dengar soalan itu. Tetapi aku sudah tak ingat dekat mana dan bila aku dengar.
"Diam tanda betul tau. Maksudnya betul lah kau dah tak suka berkawan dengan aku dah?" soal Benji lagi dan lagi. Dia seperti tak senang duduk melihat aku tak menjawab persoalannya itu. Kali ini, barulah aku mengalih untuk memandang mukanya. Aku rasa geli hati pula melihat bibirnya yang tercebik seperti budak kecil itu.
"Takpelah kalau macam tu. Orang dah tak sudi nak berkawan dengan kita dah. Tak kan kita nak paksa pulak kan" sambung Benji. Mulutnya semakin muncung ke depan. Aku tertawa kecil melihat gelagat kebudakannya itu.
"Ohhh, suka eh ketawakan orang" ujar Benji sambil mendekatkan mukanya ke muka aku. Aku terkedu. Cepat-cepat aku menolak badannya menjauhi aku. Tetapi sedikit pun badan Benji tak berganjak.
"Siapa yang tak sudi nak berkawan dengan siapa sekarang ni? Orang tu yang tak nak bagitahu kita pasal lukisan dia dah" balas aku sambil cuba mengalihkan pandangan mata aku ke tempat lain. Muka aku terasa panas pula apabila Benji memandang muka aku dengan jarak yang terlalu dekat.
"Ohhh, merajuk lah ni? Nak kena pujuk lah ni?" soal Benji dengan nada suara mengusik. Dia memeluk pinggang aku sambil mencium pipi aku yang sudah merah padam itu. Aku cuba menghiraukannya dan buat-buat tak dengar.
Tiba-tiba saja Benji mula menarik tangan aku. Lalu, dia membawa aku naik ke tingkat atas sambil memegang tangan aku. Aku hanya biarkannya saja menarik tangan aku. Merajuk lama-lama nanti cepat tua pula. Kami berdua berjalan memasuki loteng. Sampailah kami berdua sudahpun berdiri di depan lukisan potretnya itu, Benji masih lagi tidak melepaskan tangan aku. Aku sedikit terpegun melihat lukisan potret Benji itu. Walaupun masih lagi tidak siap sepenuhnya, tetapi aku sudah mula nampak siapa sebenarnya yang dilukis oleh Benji itu.
"Kau lukis gambar aku ke, Benji?" soal aku teruja. Aku masih lagi terpegun memandang lukisan potret itu. Benji hanya tersenyum saja memandang aku.
"Eh, tak lah. Aku lukis gambar hantu yang tengah merajuk dengan aku sekarang ni" jawab Benji cuba mengusik aku lagi. Aku menjulingkan mata aku kepadanya. Benji hanya ketawa besar memandang reaksi aku itu.
"Alah, aku bergurau je lah, Dino. Memang aku lukis gambar kau pun. Aku ingatkan nak buat surprise dekat kau. Tetapi terkantoi pulak dengan kau semalam hehe" ujar Benji sambil tersengih seperti kerang busuk. Walaupun aku cuba mengawal reaksi muka aku, tetapi hati aku sudahpun berbunga-bunga seperti taman.
"Kau suka tak?" soal Benji sambil memandang aku. Dia seperti tak sabar nak mendengar jawapan daripada mulut aku.
"Mestilah aku suka!" jawab aku sambil tersenyum malu. Benji pun turut tersenyum melihat aku tersenyum. Dia memeluk aku daripada belakang sambil mencium bahagian atas kepala aku.
"Baguslah kalau kau suka. Lukisan potret ni hadiah aku untuk kau. Dah siap nanti aku bagi dekat kau ye" balas Benji sambil memeluk badan aku erat. Mestilah aku terharu gila bila dengar yang Benji nak hadiahkan lukisan potret itu untuk aku. Sepanjang hari itu aku tak boleh berhenti tersenyum.
Benji mengambil masa seminggu lebih untuk menyiapkan lukisan potret gambar aku itu. Aku baru tahu rupanya lagi lama dan lagi susah untuk menyiapkan sebuah lukisan potret. Tetapi hasil tangan Benji memang sangat terperinci dan halus. Aku bertambah terpegun apabila melihat lukisan potret itu sudah siap sepenuhnya. Aku rasa macam tak percaya saja aku yang dilukis Benji itu. Sejujurnya, lukisan potret itu jauh lebih cantik daripada aku dalam kehidupan sebenar.
"Cantiknya lukisan kau ni, Benji!" puji aku. Benji hanya tersenyum lebar mendengar pujian aku itu.
"Kau puji lukisan aku yang cantik ke atau kau puji diri kau sendiri yang cantik ni?" soal Benji cuba mengusik aku. Aku sudah malas nak melayan usikannya itu.
"Dua-dua" jawab aku selamba. Benji ketawa besar mendengar jawapan aku.
"Tapi kau memang cantik pun, Dino" ujar Benji tiba-tiba memuji aku. Aku berkerut dahi memandangnya.
"Ish, kau ni! Aku lelaki lah! Mana ada lelaki cantik" balas aku dengan nada suara sedikit marah.
"Siapa kata tak ada? Ada je lelaki yang rupanya cantik. And it doesn't make you any less of a man walaupun muka cantik sekalipun" balas Benji pula. Aku terdiam seketika. Ada betulnya juga apa yang dikatakan Benji itu.
Selama ini aku tak pernah tahu pula rupa aku ini dikira cantik untuk seorang lelaki. Mungkin sebab sepanjang aku hidup di jalanan dulu semua orang jijik memandang aku. Dan tak ada siapa pun yang pernah puji aku cantik. Pak Ali pun selalu puji aku nampak handsome saja. Aku rasa itu kali pertama orang puji aku cantik. Tiba-tiba aku rasa malu pula. Sebab selama ini aku ingatkan cantik itu hanyalah pujian untuk perempuan saja.
Aku baru tersedar yang kadang-kadang kita manusia yang suka meletakkan jantina ke dalam sesetengah perkataan. Sampaikan hanya perkataan tertentu saja yang boleh digunakan untuk sesuatu jantina. Sedangkan tak salah pun kita nak gunakan apa-apa saja perkataan yang baik atapun pujian untuk lain-lain jantina. Aku banyak belajar benda baru daripada Benji. Dia banyak membuka minda aku tentang kehidupan. Mungkin sebab itulah juga aku berasa sangat selesa untuk bersembang dalam dengannya.
Walaupun lukisan potret itu Benji hadiahkan untuk aku, tetapi aku hanya simpan saja lukisan potret itu di loteng. Sebab aku tak tahu nak simpan dekat mana dah. Mungkin kalau ditakdirkan suatu hari nanti untuk aku ada rumah sendiri, barulah aku boleh gantung lukisan potret itu di dalam rumah aku. Aku hanya mampu berangan. Benji ada juga suruh aku gantungkan saja lukisan potret itu di biliknya. Tetapi aku rasa tak selesa. Nanti apa pula yang dikatakan Encik Shuib sekiranya dia nampak lukisan potret itu tergantung di bilik Benji.
Aku ingatkan Benji nak mula fokus melukis potret pula selepas dia melukis gambar aku itu. Tetapi dia tidak lagi melukis potret selepas itu. Katanya dia tak berminat sangat melukis potret. Dia lagi minat dengan lukisan berkonsepkan landskap. Lagipun Benji memang sering menghasilkan lukisan pemandangan alam pun. Aku perasan yang dia sangat suka melukis hutan, langit ataupun lautan. Jadi, sebab itu lah kebanyakan lukisannya bertemakan landskap.
Sejak daripada itu, Benji sudah tidak lagi memaksa dirinya untuk menghasilkan lukisan seperti dulu. Dia juga sudah tidak membandingkan hasil lukisannya yang dulu dengan hasil lukisannya yang sekarang. Katanya dia yang dulu bukanlah dia yang sekarang. Dia sudahpun menutup buku lama dan membuka buku baru. Aku berasa sangat gembira melihat perubahannya itu. Sejujurnya bagi aku, apa pun lukisan yang dihasilkan Benji, mesti sangat cantik hasil tangannya. Aku harap dia tahu yang aku sentiasa bangga dengan apa pun lukisan yang dia hasilkan.
ANDA SEDANG MEMBACA
Benji
Fiksyen UmumNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...
