Perasaan

33 5 2
                                        

          Pameran koleksi lukisan seni antara Syed Omar dan Benji yang diadakan di sebuah galeri terkenal itu mendapat sambutan orang ramai. Selama seminggu pameran itu berlangsung, galeri itu sentiasa dipenuhi dengan ramai orang. Itulah yang diberitahu Syed Omar kepada Benji. Katanya lagi Benji sudah mula mempunyai ramai peminat sekarang ini. Semua orang sangat sukakan lukisan-lukisan Benji. Bukan main seronok lagi Benji bila mendengar berita itu. Dia tersenyum lebar sampai ke telinga.

          Setelah pameran itu habis, lukisan-lukisan Benji dibeli oleh beberapa pemilik galeri dan pelabur. Aku pun tak berapa faham sangat tentang jualan lukisan seni ini. Tetapi aku pun turut gembira apabila ramai yang suka dengan hasil lukisan Benji. Aku rasa berita gembira itu patut untuk diraikan. Jadi, pada hari aku cuti, aku pun curi-curi keluar awal pagi untuk membeli sepotong kek. Aku tak mampu nak beli kek yang besar ataupun mahal. Aku hanya mampu beli kek murah saja. Aku harap sangat Benji suka.

         Sebenarnya, aku ingatkan nak buat kejutan untuk Benji. Tetapi apabila aku pulang saja ke biliknya semula, aku nampak Benji kelihatan resah dan gelisah. Aku pun tak tahu mengapa dia kelihatan sebegitu. Tadi semasa aku curi-curi keluar untuk pergi membeli kek itu, Benji masih lagi sedang tidur. Aku ingatkan kalau aku curi-curi keluar sekejap semasa dia tidur, aku sempatlah balik sebelum dia terjaga. Sebab nak buat kejutan kan. Tetapi disebabkan aku rambang mata sangat semasa memilih kek tadi, aku pun terlambat balik. Aku mula berjalan perlahan-lahan menghampiri Benji. Dia kelihatan seperti lega sedikit apabila ternampak muka aku.

         "Kau pergi mana, Dino?" soal Benji kedengaran risau. Belum sempat lagi aku sampai di depannya, dia sudahpun berjalan laju ke arah aku lalu kedua-dua tangannya memegang pipi aku.

         "Aku keluar sekejap tadi" jawab aku pantas. Aku memandang mukanya yang masih lagi nampak risau itu. Aku pun tak tahu kenapa dia kelihatan begitu resah sekali.

         "Kenapa tak bagitahu aku dulu?" soal Benji lagi. Jari tangannya mengusap lembut pipi aku sambil mencium muka aku. Mula-mula dia mencium dahi aku dulu. Selepas itu kedua-dua kelopak mata aku. Kemudian, hidung dan pipi aku pula. Dan akhir sekali bibir dan dagu aku. Aku hanya biarkan saja dia.

        "Aku terlupa nak bagitahu kau sebab nak cepat tadi" jawab aku cuba memberi alasan. Benji menarik nafas panjang lalu memeluk badan aku dengan kuat.

         "Sorry. Aku tak tahu kenapa lately aku rasa tak sedap hati" ujar Benji dengan suara yang perlahan. Dia masih lagi tak melepaskan aku daripada pelukannya.

         "Kenapa kau tak sedap hati, Benji? Kau mimpi buruk ke?" soal aku pula kerisauan. Sebelah tangan aku masih lagi memegang beg plastik yang berisi kek itu.

        "Aku pun tak tahu. Tapi aku rasa sangat gelisah bila aku tak nampak kau dekat sebelah aku tadi" kata Benji cuba menjelaskan kerisauannya.

        "Mungkin perasaan kau je tu, Benji. Jangan layankan sangat perasaan tu" kata aku pula cuba meredakan kerisauan Benji. Aku mengusap lembut belakang badannya dengan sebelah tangan aku. Dia hanya diam saja. Dia memeluk aku dengan lama.

        "Aku ada beli kek. Jom kita makan?" ujar aku mengajak Benji untuk makan kek.

        "Kek? Kenapa kau beli kek, Dino?" soal Benji. Barulah dia mula melepaskan aku daripada pelukannya. Dia hanya memandang saja tangan aku yang sedang mengeluarkan bekas berisi kek itu.

        "Saje. Teringin nak makan dengan kau" jawab aku sambil tersenyum memandang Benji. Lalu, aku menarik tangan Benji dan mengajaknya duduk di sofa biliknya itu.

        Aku meletakkan kek itu di atas meja dan mula membuka bekasnya. Lalu, aku menghulurkan satu garfu kepada Benji. Dia pun layankan saja aku yang nampak teruja sangat nak makan kek itu. Aku dan Benji berkongsi makan sepotong kek yang aku beli itu. Walaupun kek itu kecil saja, tetapi cukup untuk kami berdua makan. Sedap juga rasa kek strawberi itu. Rasa masam dan manis. Benji pun nampak berselera saja makan kek itu. Mesti lagi sedap kalau ada air kopi untuk dinikmati bersama kek strawberi itu. Selepas habis makan kek, aku pun turun ke dapur di tingkat bawah untuk membuat air kopi. Alang-alang itu aku mengambil sekali sarapan pagi untuk Benji.

        Selepas selesai makan pagi, aku dan Benji hanya bermalasan saja hari itu. Kami berdua menghabiskan hari kami dengan bermain congkak dan membaca novel. Benji memberitahu aku yang dia nak berehat daripada melukis untuk beberapa hari. Jadi, kami berdua sudah lama tak pergi ke loteng. Aku pun sudah lama tak menulis.

         Aku sudah tak ingat dekat mana aku letak buku conteng penulisan aku. Tetapi entah mengapa malam itu, aku terasa nak menulis pula. Jadi, aku pun mula pergi mencari buku conteng aku itu. Tak silap aku tempat terakhir aku menulis adalah di bilik buku. Aku pun cuba mencari buku conteng aku itu di bilik buku. Tetapi aku tak jumpa pun buku conteng aku di mana-mana dalam bilik buku itu. Kalau bukan di bilik buku, sudah pasti di loteng. Sebab memang dua tempat itu saja yang aku selalu menulis. Aku pun mula berjalan naik ke loteng pula.

        Sekarang ini, Benji sudahpun tertidur di biliknya. Aku tak tahu mengapa aku tak boleh tidur malam itu. Semasa aku berpelukan lama sambil bersembang dengan Benji tadi, mata aku sudahpun terasa berat. Tetapi entah mengapa idea untuk menulis mula mencurah-curah pula di fikiran aku. Terus mata aku terasa segar semula. Aku hanya biarkan saja Benji tidur seorang diri di bilik.

        Keadaan di loteng itu sangat gelap. Lampu mentol yang dipasang pun malap saja bila aku membuka suis lampu. Memang selama ini pun Benji suka melukis dalam keadaan loteng itu malap. Aku pun tak tahu kenapa dia suka sangat melukis dalam keadaan malap. Aku mula berjalan ke arah meja yang terletak di hujung loteng itu. Memang betul pun sangkaan aku. Buku conteng aku memang ada di atas meja itu. Mungkin aku tertinggal buku conteng itu di situ semasa aku menemani Benji melukis tempoh hari. Aku pun mengambil buku conteng aku dan mula berjalan semula ke arah tangga.

          Tanpa aku sedar, kolar baju aku direntap kuat daripada belakang. Badan aku terjatuh menghempap lantai. Kepala aku terhantuk dengan kuat sehingga telinga aku mula berdesing. Aku terbatuk-batuk sambil memegang leher aku yang terasa sangat pedih disebabkan ditarik dengan begitu kuat. Sedang aku cuba mencari nafas aku semula, aku ternampak kelibat yang merentap aku tadi. Tetapi cahaya di loteng itu terlalu malap untuk aku nampak dengan jelas muka si pelaku itu.

         "Itu balasannya kalau berani biadap dengan aku" ujar si dia sambil mencangkung memandang aku. Aku kenal sangat dengan si empunya suara itu.

         "Tu...an.... Bri...an?" soal aku dengan suara yang tersekat-sekat. Leher aku masih lagi terasa pedih. Aku yakin si dia adalah Tuan Brian. Aku cuba untuk bangun tetapi rambut aku ditarik kuat dengan Tuan Brian. Aku mengerang kesakitan.

         "Kau nak lari mana?! Nak lari dekat Benjamin? Jangan mimpi!" jerkah Tuan Brian ke muka aku. Aku cuba melepaskan rambut aku daripada genggaman tangannya. Tetapi tak berjaya.

        "Kau ingat aku akan biarkan je Benjamin tu dapat apa yang dia nak? Jangan harap!" sambungnya lagi. Dengan segala kudrat yang aku ada, aku menumbuk-numbuk tangan Tuan Brian sekuat hati aku. Tetapi sedikit pun tangannya tak melepaskan rambut aku.

        "Kau dengan Benjamin boleh pergi mampus! Kau dengar tak?!" jerkah Tuan Brian lagi. Semakin kuat dia menarik rambut aku. Aku memejamkan mata aku sambil mengerang kesakitan.

         Setelah puas menjerkah aku, barulah Tuan Brian melepaskan rambut aku. Cepat-cepat aku menutup kepala aku dengan kedua-dua belah tangan aku untuk mengelak Tuan Brian daripada menarik rambut aku lagi. Aku masih lagi memejamkan mata aku. Aku tak tahu apa yang Tuan Brian sedang lakukan sekarang ini. Tiba-tiba aku terdengar bunyi percikan air. Apabila aku terhidu saja bau minyak petrol, aku membuka tangan aku daripada menutup kepala aku. Mata aku terbeliak memandang Tuan Brian.

Anda telah sampai ke penghujung bahagian yang diterbitkan.

⏰ Kemaskini terakhir: May 05 ⏰

Tambah cerita ini di Pustaka anda bagi pemberitahuan tentang bahagian baharu!

BenjiCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang