Selepas setengah tahun berlalu, kehidupan di kediaman Dato' Bakri itu perlahan-lahan kembali tenang. Tetapi pengawal-pengawal yang diupah oleh Dato' Bakri masih lagi memenuhi kediaman miliknya itu. Tuan Brian juga sudah tak datang menyerang aku ataupun Benji lagi setakat ini. Hubungan aku dengan Benji pula semakin mesra. Kami berdua selalu berkepit saja ke mana pun kami pergi. Aku baru sedar yang Benji ini boleh tahan miang juga. Dia suka curi-curi cium pipi aku bila aku sedang fokus membaca ataupun buat kerja. Kadang-kadang dia juga suka curi-curi cium belakang tengkuk aku. Aku rasa geli-geleman setiap kali dia buat begitu. Apabila aku memarahinya, Benji hanya ketawa saja. Lama-lama aku biarkannya saja. Aku sudah malas nak layan.
Sejak kebelakangan itu juga, aku dan Benji banyak menghabiskan masa kami di loteng. Benji masih lagi tak berpuas hati dengan hasil lukisannya. Katanya, masih lagi ada sesuatu yang tak cukup pada hasil lukisannya tetapi dia tak tahu apa benda. Tetapi bagi aku, lukisan Benji sudahpun cukup sempurna di mata aku. Maklumlah, pandangan mata orang seni dengan orang biasa tak sama.
Kadang-kadang aku tengok Benji seperti sedang tertekan dengan hasil lukisannya. Katanya, hasil lukisannya tak sama seperti dulu semasa dia masih lagi popular dalam dunia lukisan. Aku cuba memujuknya untuk berehat seketika daripada melukis. Mungkin Benji perlukan masa untuk mencari semula bakat lamanya. Benji mendengar pujukan aku dan berhenti melukis seketika. Aku terfikir mesti seronok kalau aku boleh bawa Benji keluar untuk mencari ilham. Tetapi dengan pengawal yang ramai di dalam kediaman itu sudah pasti susah untuk aku dan Benji curi-curi keluar.
Pada hari aku cuti, aku merancang untuk keluar makan angin sekejap. Sejak Kenit, Abu dan Alang berhenti kerja, aku sudah lama tak keluar daripada kediaman itu. Tambah lagi dengan apa yang telah berlaku sejak Dato' Bakri mengupah pengawal untuk melarang Benji keluar daripada kediaman itu, aku rasa serba salah pula nak keluar tinggalkan Benji seorang diri. Tetapi hari itu, entah mengapa aku rasa macam nak keluar makan angin sekejap. Sudah lama aku tak melihat matahari di luar.
Pada awalnya, Benji tak benarkan aku keluar seorang diri. Dia risau kalau jadi apa-apa dekat aku nanti. Tetapi aku berjanji dengan Benji untuk keluar sekejap saja dan pulang sebelum tengah hari. Barulah Benji membenarkan aku keluar. Dia pun kesian tengok aku seperti tak ada kehidupan saja terperap lama di loteng dengannya. Aku pun rasa serba salah melihat dia terkurung seorang diri di dalam kediaman itu. Aku yang bebas keluar tetapi malas keluar ni pun sudah mula rasa sesak dada dan bosan terperap lama di dalam kediaman itu. Apatah lagi Benji yang sudah terkurung lama.
Apabila aku keluar saja daripada pagar besar kediaman itu, badan aku terasa bebas. Aku menghirup udara segar pagi itu sepuas hati aku. Aku berjalan ke pusat beli belah kecil yang berhampiran dengan kediaman itu. Dulu Kenit, Abu dan Alang sering mengajak aku ke situ. Tiba-tiba aku terasa rindu pula dengan celoteh mereka bertiga. Aku berdoa di mana pun mereka berada sekarang ini, mereka sentiasa dipelihara dan bahagia selalu.
Sampai saja di pusat beli belah itu, aku hanya berjalan tanpa arah tuju. Selain daripada jajan yang sering aku beli di situ, tiada apa yang menarik lagi di mata aku. Aku pun mula berjalan keluar semula. Tetapi sebelum aku sempat keluar daripada pusat beli belah itu, mata aku terpandang ke sebuah kedai mainan. Entah mengapa aku menjadi tertarik pula untuk memasuki kedai itu. Di dalam kedai itu terdapat pelbagai jenis mainan. Aku menjadi rambang mata. Tiba-tiba aku rasa macam nak beli satu untuk bermain dengan Benji. Mesti Benji suka.
Jadi, aku pun membeli satu permainan. Entah mengapa aku rasa teringin nak cuba bermain congkak. Seumur hidup aku, aku tak pernah bermain congkak. Dan aku tak reti pun nak main macam mana. Sebab itulah aku membeli congkak itu dan membawanya pulang ke bilik Benji. Benji sedikit terkejut melihat aku membawa congkak yang panjang itu. Katanya dia seperti tak percaya aku sanggup membawa congkak itu sambil berjalan daripada pusat beli belah itu sehingga ke kediaman. Aku hanya ketawa saja. Aku sangat teruja dan tak sabar lagi nak bermain congkak itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
Benji
General FictionNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...
