"Niat Budin nak menolong Tuan Benjamin tu dah betul, nak. Cuma cara Budin tu salah" ujar Pak Ali setelah aku habis bercerita. Aku hanya menundukkan kepala aku.
"Mesti ada sebab kenapa Tuan Benjamin tiba-tiba mendiamkan diri. Budin pernah tanya dia tak?" soal Pak Ajis. Aku menggelengkan kepala aku. Aku nak tanya Benji macam mana pun aku tak tahu. Dia yang buang aku dulu. Aku nak tanya macam mana? Sebenarnya, aku takut juga kalau aku tanya, aku pula yang kena marah nanti. Lagi bertambah sedih aku nanti ada lah.
"Budin patut berterus terang dengan Tuan Benjamin. Tanya dia elok elok. Mungkin sebenarnya dia pun tak reti nak meluahkan masalah dia sendiri" sambung Pak Ajis. Aku terfikir sejenak. Ada betulnya juga apa yang Pak Ajis katakan itu. Selama ini, Benji memang jarang pun bercakap pasal masalahnya.
"Betul tu, nak. Mesti Tuan Benjamin pun tengah berlawan dengan perasaan dia sendiri sekarang ni. Kadang-kadang dalam persahabatan ni, kita kena banyak belajar untuk mengalah dan memahami" kata Pak Ali pula. Otak aku sedang memproses untuk memahami segala nasihat yang diberikan oleh Pak Ali dan Pak Ajis.
"Budin takutlah nak tanya. Kalau Tuan Benjamin marah Budin nanti macam mana?" soal aku.
"Belum cuba belum tahu. Lagipun kalau Tuan Benjamin marah Budin, Budin marah lah dia balik" jawab Pak Ajis bersahaja. Pak Ali mencubit lengannya.
"Ish, kau ni Ajis! Kalau Tuan Benjamin marah, Budin cakap je terus terang dengan dia yang Budin nak tolong dia je. Budin pujuk dia perlahan-lahan. Nanti dia okey lah tu" kata Pak Ali. Aku hanya mendiamkan diri.
"Budin kena berhati-hati tau, nak. Terutama sekali dengan Tuan Brian tu. Kadang-kadang manusia yang dengki ni lagi menakutkan daripada syaitan. Macam macam dia boleh buat hanya sebab perasaan dengkinya" kata Pak Ali lagi mengingatkan aku. Aku hanya menganggukkan saja kepala aku. Teringat semula muka Tuan Brian itu, aku rasa nak tumbuk saja muka dia. Ini semua salah dia lah sampai Benji tak nak bercakap dengan aku dah.
Sesudah habis saja bersembang panjang dengan Pak Ali dan Pak Ajis sambil menikmati roti bun yang aku rindui selama ini, mereka berdua pun pulang meninggalkan aku. Aku berasa sangat lega dapat meluahkan perasaan sedih yang aku pendam selama ini. Tiba-tiba aku terbayang muka Benji. Apalah yang dia tengah buat sekarang ni? Adakah dia sedang bersedih juga seperti aku? Mesti dia sunyi kan duduk seorang diri. Padan muka dia! Siapa suruh dia buang aku? Fikiran aku meracau. Perasaan aku pula bercampur baur. Sekejap aku kesiankan Benji. Sekejap aku marahkan Benji. Aku pun tak faham dengan perasaan aku sendiri.
Pada malam itu, disebabkan aku rasa tak puas hati sangat dengan Benji, aku pun memberanikan diri aku untuk naik ke bilik tidurnya. Aku naik ke tingkat atas menggunakan ruangan tangga tersembunyi untuk mengelak daripada pengawal-pengawal yang sentiasa mengawasi kediaman itu. Tetapi apabila aku masuk saja ke dalam bilik tidurnya, Benji tiada pun di situ. Aku pun naik ke bilik buku pula. Rupanya dia sudahpun tertidur. Kepalanya terlentok di atas meja. Perasaan marah dan sakit hati aku selama ini mula pudar apabila melihat muka tidurnya yang keletihan itu. Entah mengapa hati aku berasa sedih pula.
Aku berdiri di sebelah Benji sambil termenung lama memandang mukanya. Segala memori aku dengan Benji selama ini terlintas di dalam kepala aku waktu itu. Sepanjang hidup aku, aku tak pernah sangka aku akan bertemu dengan seorang sahabat. Pada awalnya, aku rasa sangat takut dengan Benji sebab perangainya yang sedikit dingin. Tetapi lama-lama aku mula rasa selesa dan seronok berkawan dengan Benji. Walaupun perangainya kadang-kadang seperti kebudakan, aku sering layankan saja. Entah mengapa aku merasa rindu sangat nak bercakap dengan Benji. Aku tak perasan yang air mata aku sudah mula jatuh berjurai di pipi aku.
Aku mengesat air mata aku dengan tangan aku. Apabila aku menoleh semula memandang Benji, dia sudahpun membuka matanya memandang aku. Aku tersentak. Entah mengapa kaki aku tiba-tiba saja mula berlari laju meninggalkan bilik buku itu. Aku berlari terlalu laju menuruni anak-anak tangga kecil sehingga aku tergelincir dan jatuh. Tanpa aku sedar, Benji sudahpun menarik badan aku yang tergolek itu dan menyandarkan badan aku ke dinding. Lutut aku terasa pedih.
"Kenapa kau lari?" soal Benji. Entah mengapa suaranya kedengaran seperti risau. Aku hanya terdiam saja. Aku pun tak tahu mengapa aku lari tadi. Mungkin sebab aku terkejut tengok Benji terbuka mata memandang aku. Aku ingatkan dia sudahpun tidur mati.
"Kau menangis ke?" soal Benji lagi. Jarinya cuba mengelap air mata yang masih lagi tersisa di hujung kelopak mata aku. Aku terkedu. Dia nampak ke aku menangis tadi?
"Lutut aku sakit" kata aku cuba menukar topik. Tetapi memang betul pun lutut aku sakit. Benji menarik seluar aku naik untuk melihat lutut aku. Rupanya lutut kanan aku terluka dan berdarah sebab jatuh tangga tadi. Mungkin sebab lutut aku tergesel kuat sangat agaknya tadi.
"Tu lah. Sape suruh lari? Kan dah berdarah. Padan muka" balas Benji sambil memandang tepat ke muka aku. Walaupun dia cakap padan muka dekat aku, tetapi aku mendengar suaranya lembut saja. Entah mengapa aku rasa macam nak menangis lagi. Aku mula mengalihkan pandangan mata aku. Aku takut Benji perasan pula mata aku mula berkaca semula.
Kemudian, Benji memapah aku untuk bangun dan berjalan ke bilik tidurnya. Dia membawa aku duduk di sofa biliknya itu. Lalu, Benji keluar semula daripada biliknya. Dia seperti sedang mencari sesuatu. Sebenarnya, tak ada lah teruk sangat pun luka dekat lutut aku itu. Luka kecil saja. Tetapi lutut aku terasa pedih sebab terhentak kuat sangat tadi. Tak lama selepas itu, Benji datang semula dengan membawa peti pertolongan cemas. Lalu, dia mula mencuci dan membalut luka di lutut aku itu perlahan-lahan. Sepanjang masa itu, aku dan Benji hanya senyap sepi. Kami berdua tak bercakap langsung. Aku hanya memandang saja dia yang sedang duduk melutut di depan aku itu sambil fokus membalut lutut aku yang luka itu.
"Kau dah tak suka berkawan dengan aku dah ke?" soal aku tiba-tiba memecahkan kesepian di dalam bilik itu. Benji seperti tersentak mendengar soalan aku itu. Dia memandang aku.
"Bila masa pulak aku cakap aku dah tak suka berkawan dengan kau dah?" soal Benji pula. Aku hanya menundukkan kepala aku memandang lutut aku yang berbalut itu.
"Habistu kenapa kau dah tak nak aku bekerja dengan kau lagi?" soal aku. Benji hanya terdiam saja mendengar soalan aku itu. Aku memandang reaksi mukanya yang rumit itu.
"Kau dah benci aku ke?" soal aku lagi. Benji tersentak mendengar soalan aku itu lalu berkerut dahi memandang muka aku.
"Dino.... Aku tak pernah sekalipun benci kau" jawab Benji dengan suara yang perlahan.
"Habis tu kenapa kau tak nak jawab soalan aku? Aku dah penat lah Benji. Hari-hari aku terfikir apa salah aku dekat kau. Aku tak faham kenapa kau tiba-tiba menjauhkan diri daripada aku. Sekurang-kurangnya bagitahu lah aku kenapa. Kalau aku ada buat silap, cakap. Aku boleh perbaiki silap aku. Janganlah diam je lepastu tiba-tiba tak nak cakap dah dengan aku" bebel aku panjang lebar.
Aku meluahkan segala beban yang ada di dalam hati aku kepada Benji. Air mata aku mula jatuh berjurai semula. Benji seperti terkejut melihat aku menangis teresak-esak. Kedua-dua tangannya memegang pipi aku. Entah mengapa tiba-tiba saja dia mula mencium kelopok mata aku. Aku sedikit terkedu. Benji mencium kedua-dua kelopak mata aku itu tanpa henti. Sampailah aku berhenti menangis, barulah dia berhenti mencium. Lalu, kami berdua saling berpandangan mata.
"Aku mintak maaf, Dino. Aku tak bermaksud pun nak buat buat kau sedih sampai macam ni" ujar Benji lalu diam seketika. Dia mula meletakkan dahinya rapat ke dahi aku. Kami berdua memejamkan mata kami. Kedua-dua tangan Benji masih lagi memegang pipi aku. Dan dia masih lagi duduk melutut di depan aku.
"Sejujurnya, aku sangat takut. Aku tak sangka pun yang Brian akan datang menyerang kau haritu. Kalau aku datang lambat sikit je haritu, mesti dia cekik kau sampai kau sesak nafas. Aku tak boleh maafkan diri aku sendiri kalau apa-apa terjadi dekat kau. Sebab tu aku cuba untuk menjauhkan diri aku daripada kau. Aku takut kalau dia buat apa-apa lagi dekat kau" luah Benji dengan suara yang perlahan. Dahinya masih lagi rapat ke dahi aku. Aku dapat merasakan nafasnya ditarik panjang.
"Habistu kalau kau jauhkan diri kau daripada aku, dia tak akan buat apa-apa ke dekat aku? Sama je kan?" soal aku. Benji terdiam. Dia mula menjauhkan dahinya daripada dahi aku. Tetapi kedua-dua tangannya masih lagi memegang pipi aku. Lalu, dia hanya memandang saja muka aku.
ANDA SEDANG MEMBACA
Benji
Fiksyen UmumNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...
