Karya

13 3 1
                                        

          Keadaan di loteng itu semakin lama semakin penuh dengan lukisan-lukisan Benji. Walaupun loteng itu sangatlah besar dan luas tetapi loteng itu sudah mula sempit disebabkan lukisan Benji yang semakin banyak itu. Selepas ni aku sudah tak tahu lagi di mana Benji nak letak lukisan-lukisannya. Aku pernah juga cuba menolong Benji untuk menyusun lukisan-lukisannya itu supaya lebih banyak ruang yang boleh digunakannya nanti. Tetapi selepas itu hanya sekejap saja ruangan di loteng itu penuh semula dengan lukisan-lukisan terbaru Benji. Aku pun sudah buntu nak tolong macam mana lagi.

         Sebenarnya, Benji tak pernah benarkan sesiapa pun yang masuk ke loteng itu. Sebab itu Encik Shuib pun jarang-jarang sekali masuk ke loteng itu. Dia hanya masuk apabila dia mahu meletakkan kanvas-kanvas baru yang dibeli oleh Benji saja. Tetapi apabila Encik Shuib masuk saja ke loteng itu, dia pun terkejut melihat loteng itu sudahpun penuh dan sempit. Encik Shuib membebel panjang kepada Benji. Dan Benji pula hanya mengeluh saja mendengar bebelan Encik Shuib itu. Aku pula menjadi orang tengah yang mampu mendiamkan diri saja.

         Pada suatu hari, Benji memberitahu aku dan Encik Shuib yang dia nak mula berkarya semula. Benji memberitahu yang Syed Omar, pelukis terkenal yang juga merupakan idolanya itu, menjemput dia untuk bekerjasama dengannya menghasilkan sebuah koleksi lukisan seni. Jelas Benji, melalui kerjasama itu, Benji perlu menghasilkan beberapa lukisan dan Syed Omar pun turut menghasilkan beberapa lukisan. Kemudian, mereka berdua pamerkan lukisan-lukisan mereka menjadi satu koleksi. Aku pun tak dapat bayangkan sangat apa yang dijelaskan Benji itu.

         Sebenarnya, aku tak pasti macam mana Syed Omar itu boleh menghubungi Benji. Aku berfikir mungkin mereka berdua sempat bertukar nombor agaknya semasa aku dan Benji pergi ke galeri dulu. Tetapi apa-apa pun, aku dan Encik Shuib sangat gembira mendengar berita itu. Kami berdua sangat menyokong Benji untuk menerima jemputan Syed Omar itu. Akhirnya, Benji akan berkarya semula. Aku harap kali ini Benji boleh berkarya lebih lama lagi berbanding dulu.

        Beberapa hari kemudian, Syed Omar pun tiba di kediaman Dato' Bakri itu. Disebabkan Benji tak dibenarkan keluar daripada kediaman itu, dia pun menjemput Syed Omar datang ke kediaman itu untuk berbincang lebih lanjut tentang koleksi lukisan seni yang mereka berdua mahu hasilkan bersama. Kata Benji, Syed Omar sudahpun tahu pasal semua yang terjadi kepada Benji. Daripada cerita pasal Benji dikhabarkan sudah lama mati akibat kebakaran sehinggalah cerita pasal Benji dikurung di dalam kediaman itu. Semuanya beliau sudah tahu. Mungkin sebab Benji sudahpun ceritakan semuanya kepada Syed Omar.

         Disebabkan Syed Omar sudahpun tahu tentang keadaan Benji, aku dan Encik Shuib membawanya naik ke ruang tamu tingkat atas melalui ruangan tangga tersembunyi. Kami rancang untuk membuat sebegitu sebab tak nak pekerja-pekerja lain pelik saja mengapa ada orang lain yang dibenarkan naik ke tingkat atas. Mereka masih belum tahu lagi tentang kewujudan Benji. Kami tak kisah sangat pasal pengawal-pengawal yang mengawasi kediaman itu. Sebenarnya, semua pengawal di situ pun tak kisah siapa yang masuk ataupun keluar daripada kediaman itu. Mereka hanya kisahkan pasal Benji saja. Sebab mereka memang diupah untuk mengawal pergerakan Benji saja.

        "Besar jugak penjara kau ni, Benjamin" ujar Syed Omar sambil ketawa setelah bersalaman dengan Benji. Aku tak tahu itu pujian ke perli.

        "Alah, biasalah. Penjara orang-orang kaya" balas Benji pula. Mereka berdua berdekah ketawa. Aku pun tak tahu apa benda yang kelakarnya.

        Selepas aku dan Encik Shuib siap menghidangkan air teh dan biskut manis untuk Benji dan Syed Omar, kami berdua pun berlalu pergi meninggalkan mereka berdua. Sepanjang hari itu aku menolong Encik Shuib untuk mengemas beberapa bilik di tingkat atas itu. Kami berdua bersembang panjang sambil mengemas. Aku rasa sekarang aku sudah mula rasa selesa untuk bersembang dengan Encik Shuib. Dulu aku sangat takut dengannya. Sebab dulu aku ingatkan Encik Shuib tak suka aku berkawan dengan Benji. Setelah mengenalinya lebih dalam, rupanya aku banyak sangat salah faham dengan Encik Shuib.

BenjiCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang