Semasa aku sedang berjalan untuk naik semula ke tingkat atas, aku baru perasan yang kediaman itu sudahpun dipenuhi dengan pengawal di setiap penjuru. Terdapat dua orang pengawal yang berdiri di depan pintu bilik Benji. Aku rasa ini semua mesti kerja Dato' Bakri. Sampai macam tu sekali Dato' Bakri nak mengurung Benji di dalam kediaman itu. Aku pun menghiraukan saja dua orang pengawal yang berdiri itu dan berjalan memasuki bilik Benji untuk mengajaknya makan sarapan pagi.
Sepanjang hari itu, Benji hanya mendiamkan diri. Tetapi ke mana saja dia pergi, aku akan setia di sampingnya. Hari itu juga aku dan Benji banyak menghabiskan masa kami membaca novel di bilik buku. Begitu juga lah keadaan kami berdua pada hari-hari yang seterusnya. Tetapi beberapa hari selepas itu, Benji sudah mula banyak bercakap semula. Dia juga sudah kembali ceria semula.
Sejujurnya, memanglah aku gembira tengok Benji ceria dan banyak cakap seperti selalu. Tetapi aku masih lagi risaukan dia. Benji sekalipun tak meluahkan apa-apa sejak hari itu. Dia buat macam tiada apa-apa yang telah berlaku. Kadang-kadang aku rasa Benji seperti sedang memaksa dirinya untuk ceria. Macam mana aku tak risau? Sejak daripada hari itu juga, Benji sudah tak melukis lagi. Dia sudah lama tak mengajak aku naik ke loteng untuk melukis. Aku berasa sedih.
"Benji.... Aku tahu kau sebenarnya tak okey. Kau tak perlu pun nak paksa diri kau untuk ceria depan aku" ujar aku terus terang dengan Benji. Dia hanya memandang aku.
"Mana ada aku paksa diri aku. Aku okey je lah. Jangan lah risau, Dino" jawab Benji. Aku masih lagi tak percaya dengan jawapannya itu.
"Kalau suatu hari nanti kau rasa macam nak meluahkan perasaan kau dekat seseorang, aku ada je tau dekat sini" ujar aku lagi. Benji hanya tersenyum mendengar kata aku itu. Aku harap Benji tahu yang sekarang ini, dia sudah tak perlu lagi nak hadap semua ini seorang diri. Dia sudah ada aku sekarang.
Entah mengapa aku sudah lama tak nampak kelibat Encik Shuib. Sejak daripada hari yang Dato' Bakri dan Datin Soraya menyerbu kediaman itu, aku sudah tak nampak Encik Shuib di mana-mana lagi. Aku pun hairan. Aku pernah tanya Benji pasal Encik Shuib itu, tetapi Benji cakap dia pun tak tahu mana perginya Encik Shuib. Aku harap Encik Shuib baik-baik saja.
Suatu hari, aku sedang mengemas meja makan di tingkat empat. Selalunya memang aku seorang saja yang mengemas kebanyakan bilik di tingkat atas itu. Sebab pekerja-pekerja lain tak dibenarkan untuk naik ke tingkat atas itu. Benji pula selalunya tengah fokus membaca novel di bilik buku setiap kali aku pergi mengemas. Aku rasa sekarang ini pun dia mesti tengah membaca novel misteri dan siasatan kegemarannya itu.
Sedang aku fokus dengan kerja mengemas aku, tiba-tiba seseorang datang daripada arah belakang aku dan menarik kuat tangan aku. Aku terkejut beruk. Rupanya Tuan Brian yang menarik tangan aku itu. Nasib baik tangan aku tak terputus. Entah bila entah dia naik ke tingkat empat itu pun aku tak tahu. Aku mengusap-usap tangan aku yang berdenyut sebab sakit kena tarik kuat dengan Tuan Brian.
"Kau lah kan yang duduk berkepit dengan Benjamin haritu?" soal Tuan Brian. Semua benda yang selalu keluar daripada mulut Tuan Brian itu sering membuatkan aku sakit hati. Mulut sama busuk dengan hati tuannya.
"Tuan Brian nak apa datang sini?" soal aku pula. Entah daripada mana datangnya keberanian ke dalam diri aku pada saat itu sampai aku berani soal sebegitu kepada Tuan Brian. Kalau ikutkan hati aku, memang aku sangat benci dengan Tuan Brian itu.
"Eh, kau tu pekerja je tau! Jangan berani nak melawan aku eh" ugut Tuan Brian. Tetapi sedikit pun aku tak merasa takut. Aku hanya menghiraukan saja dia dan menyambung kerja mengemas aku semula. Betul lah cakap Benji. Buang masa saja layan orang gila macam Tuan Brian ini.
"Aku tahu sangat lah niat kau nak apa buat baik dengan Benjamin. Kau cuma nak gunakan dia je kan?" kata Tuan Brian setelah melihat aku tak mempedulikannya. Panas pula hati aku mendengar perkataan yang keluar daripada mulutnya itu.
"Tuan Brian cakap apa ni?!" balas aku dengan nada suara yang geram.
"Alah, buat-buat tak faham pulak" balas Tuan Brian. Aku sumpah sudah malas nak melayan orang gila ini.
"Kalau kau nak duit, aku boleh bagi kau lagi banyak duit daripada Benjamin bagi kau" sambung Tuan Brian lagi. Darah aku dah mula mendidih mendengar kata Tuan Brian itu.
"Duit? Sejak bila pulak saya nak duit daripada Tuan Benjamin?!" soal aku dengan suara yang tinggi. Semakin lama kesabaran aku semakin nipis.
"Kau tak payah nak berlakon baik lah! Kau dengan aku sama je" balas Tuan Brian sambil ketawa besar. Aku menarik nafas aku dalam-dalam.
"Kita tak sama. Mungkin Tuan Brian menganggap Tuan Benjamin sebagai musuh. Tetapi saya menganggap Tuan Benjamin sebagai sahabat saya. Mungkin Tuan Brian nak gunakan Tuan Benjamin untuk mengejar nama dan popular. Tetapi saya nak tengok Tuan Benjamin bahagia. Mana mungkin kita sama!" ujar aku panjang lebar. Ada hati dia nak sama kan aku dengan dirinya. Aku bukan orang gila macam dia!
"Kau menganggap Benjamin sahabat kau? Kau tak tahu ke Benjamin tu pembawa malang? Sebab tu ke mana saja dia pergi, malang je hidup dia! Kau nak hidup kau jadi malang macam dia jugak ke?!" kata Tuan Brian. Aku sedikit lagi nak lempang muka dia. Dia ingat dia Tuhan agaknya nak tentukan hidup orang sebegitu.
"Biarlah hidup saya malang pun! Hidup saya. Bukannya hidup Tuan Brian. Yang Tuan Brian nak sibuk sangat pasal hidup saya kenapa?!" jerit aku. Aku rasa itu kali pertama aku pernah rasa marah sampai macam tu sekali. Tangan aku menggigil-gigil sebab terlalu marah.
"Biadap eh kau ni. Kau jangan sampai aku...." ujar Tuan Brian sambil tangannya hampir mencekik aku. Tetapi belum sempat tangan Tuan Brian mencekik aku dan menghabiskan ayatnya, Benji datang menolak Tuan Brian dengan kuat sehingga badannya terlanggar dinding. Aku terkedu. Aku tak tahu sejak bila Benji ada di situ. Aku harap dia tak dengar semua kata-kata Tuan Brian yang menyakitkan hati itu.
"Kau buat apa lagi datang sini setan?! Kau dah takde rumah ke bodoh?!" jerkah Benji. Aku tak pernah tengok dia marah sebegitu. Paling teruk pun dia selalu perli saja. Dia tak pernah mencarut depan aku. Itu kali pertama aku dengar dia mencarut.
"Kau berambus sekarang setan! Sebelum aku tumbuk muka kau" sambung Benji lagi sambil menaikkan tangannya untuk menumbuk Tuan Brian.
Cepat-cepat aku memeluk badan Benji untuk menahannya daripada menumbuk Tuan Brian. Walaupun sejujurnya aku sendiri pun rasa nak tumbuk muka Tuan Brian tetapi aku tak mahu keadaan menjadi semakin keruh. Jadi, sekuat hati aku memeluk badan Benji yang tinggi itu. Tuan Brian mengambil kesempatan itu untuk melarikan dirinya.
Setelah Tuan Brian hilang daripada pandangan, barulah aku melepaskan Benji daripada pelukan aku. Aku memandang muka Benji yang merah padam itu. Marah sangat agaknya sampai merah macam itu sekali muka Benji. Aku cuba menggosok belakang badan Benji untuk menenangkannya. Tetapi entah mengapa Benji menepis tangan aku. Aku terkedu. Lalu, dia berjalan pergi meninggalkan aku seorang diri.
Aku seperti terpinga-pinga tak faham mengapa Benji menepis tangan aku. Dia marah aku ke? Tiba-tiba aku teringat perbualan antara aku dengan Tuan Brian tadi. Mungkin Benji terdengar agaknya perbualan kami tadi. Tetapi aku ada salah cakap ke tadi? Mengapa pula Benji nak marah aku? Aku pun hairan.
ANDA SEDANG MEMBACA
Benji
Ficción GeneralNama aku Budin. Kehidupan aku bermula di tepi jalanan yang penuh dengan kejijikan dan kesejukan. Seumur hidup aku, aku tak pernah tahu macam mana rasanya disayangi oleh seorang ayah ataupun mak. Rupa ayah dan mak aku macam mana pun aku sudah tak ing...
