Penulisan

14 3 0
                                        

          Sejujurnya menulis novel bukanlah suatu perkara yang mudah seperti yang aku sangkakan. Sepanjang tahun itu aku masih lagi sedang mencari gaya penulisan yang sesuai dengan jiwa aku. Mencari idea itu mungkin masih mudah lagi bagi aku tetapi untuk meletakkan idea-idea aku itu menjadi ayat yang tersusun cantik sangatlah mencabar bagi aku. Sekarang barulah aku tahu bukan semua orang boleh menjadi seorang penulis novel. Tetapi aku tak pernah berputus asa. Sebab aku sangat minat dengan penulisan novel. Benji pun sering memberi kata-kata semangat kepada aku.

         Pada awalnya, aku mula menulis dalam bentuk diari saja. Aku hanya menulis pasal kehidupan aku yang membosankan itu. Kemudian, perlahan-lahan aku mula menulis cerita pendek seperti cerpen. Aku sering meminta Benji untuk membaca penulisan cerpen aku dan memberi komen supaya aku boleh perbaiki lagi penulisan aku. Semakin lama semakin panjang penulisan cerita aku. Kemudian, barulah aku mula menulis novel. Itupun aku mengambil masa yang agak lama untuk mencari gaya dan bentuk penulisan yang sesuai dengan diri aku.

         Sekarang Benji kata penulisan aku sudah mula tersusun cantik. Dia merasa tertarik untuk membaca novel aku. Aku menjadi kembang apabila dipuji sebegitu. Aku rasa mungkin Benji nak jaga hati aku saja. Sejak daripada itu, aku sambung menulis novel aku sedikit demi sedikit. Aku pun tak tahu bila aku boleh siapkan novel aku itu. Aku sudah tak sabar lagi nak bagi Benji baca sepenuhnya novel aku bila sudah siap nanti. Aku menjadi teruja pula. Fikiran aku penuh dengan angan-angan.

         Buku yang Benji belikan dulu untuk aku menulis pun sudah lama habis. Sejak daripada itu Benji memborong banyak buku conteng yang comel-comel untuk aku menulis. Dan dia hanya membeli buku-buku conteng itu di atas talian saja. Aku menggunakan buku-buku conteng itu dengan cermat walaupun sebenarnya aku rasa sayang sangat nak guna sebab terlalu comel. Aku memang lemah bila tengok benda-benda yang comel ini. Aku rasa kalau aku banyak duit, mesti semua benda comel dalam dunia ni aku dah borong dan simpan untuk tatapan diri sendiri.

        Kadang-kadang aku yang sering menemani Benji ketika dia sedang tenggelam dalam dunia lukisannya. Dan kadang-kadang Benji pula yang sering menemani aku tenggelam dalam dunia penulisan aku. Kami berdua sering menemani satu sama lain. Dan kami berdua juga selalu menjadi pembakar semangat untuk sesama sendiri. Aku rasa sangat beruntung sebab ada Benji yang setia menjadi pendorong aku untuk mencapai cita-cita aku.

        Aku ada juga memberitahu Pak Ali dan Pak Ajis tentang penulisan aku. Mereka berdua sangat sokong dan bangga dengan cita-cita aku. Aku berharap sekiranya aku berjaya menjadi seorang penulis suatu hari nanti, aku juga dapat membalas semula jasa Pak Ali dan Pak Ajis sebab mereka sudi mengambil aku dan melayan aku seperti anak kandung mereka sendiri. Hanya mereka berdua sajalah yang sudi memberikan aku rasa bagaimana kasih sayang dan perhatian daripada seorang ayah.

        Walaupun Pak Ali dan Pak Ajis bukanlah orang yang senang dan mampu, tetapi dengan rezeki yang kecil itu mereka sudi memberi aku makan dan minum, pakaian dan tempat tinggal dulu. Tanpa Pak Ali dan Pak Ajis juga, mungkin aku tak akan boleh berjumpa dengan Benji seperti hari ini. Mereka bertiga sajalah yang sudi menyayangi aku selama ini. Terima kasih Tuhan kerana menghadirkan mereka bertiga ke dalam hidup aku.

        Pada suatu malam, aku tak boleh berhenti menulis sehingga lewat malam. Benji sampai terlentok tidur di sebelah aku sebab nak temankan aku. Aku rasa kesian pula melihatnya tertidur. Tadi Benji membaca novel misteri dan siasatan kegemarannya sambil menemani aku menulis di bilik buku itu. Aku pun tak perasan bila masa pula dia mula tertidur. Aku hanya memandang saja muka tidurnya yang suci murni seperti anak kecil itu. Pada hakikatnya, orangnya tersangatlah miang. Mukanya saja yang nampak suci. Aku mula tertawa kecil memandang Benji.

        Entah macam mana aku mendapat idea untuk mengusik Benji yang sedang tidur nyenyak itu. Aku pun mengambil pen yang aku gunakan untuk menulis tadi dan mula menconteng muka Benji. Mula-mula aku melukis misai di atas bibirnya. Selepas itu, aku melukis keningnya sehingga tebal pula. Kemudian, aku tambah lagi dengan lukisan bulatan hitam di kedua-dua belah pipinya. Sedaya upaya aku cuba untuk mengawal batang pen itu supaya tidak terkena pada kesan terbakar di mukanya. Aku takut parut itu masih lagi sakit untuk Benji.

        Aku terasa lucu pula melihat muka Benji yang sudah seperti kartun itu. Mungkin disebabkan geli dengan bucu pen yang aku gunakan itu, Benji pun mula terjaga daripada tidurnya. Dia menggosok-gosok matanya perlahan lalu membuka matanya dan memandang aku. Sedaya upaya aku cuba menahan ketawa aku daripada tersembur keluar.

        "Kau buat apa dekat muka aku, Dino?" soal Benji dengan suara yang masih lagi mamai. Aku hanya diam saja sambil buat-buat sedang menulis.

        "Takde buat apa pun" jawab aku selamba.

        "Kau conteng muka aku eh?" soal Benji lagi. Aku masih lagi berlakon sedang menulis.

        "Mana ada! Aku daripada tadi menulis je ni" jawab aku menipu. Benji hanya memandang saja muka aku. Dia seperti tahu yang aku sedang cuba menipunya. Lalu, tiba-tiba saja Benji mula menggeletek pinggang aku. Terus aku ketawa besar sebab geli.

        "Ahhh.... Okey okey aku tipu! Aku tipu! Aku conteng muka kau" ujar aku sambil ketawa cuba menahan geli.

        "Ohhh, kau dah pandai menipu ye sekarang" kata Benji masih lagi menggeletek pinggang aku.

        "Ahhh.... Aku sorry! Aku sorry! Aku janji tak buat dah" ujar aku masih lagi ketawa sedang menahan geli. Benji pun hanya ketawa saja melihat aku yang sedang menahan geli itu.

        Setelah puas aku meminta maaf dan merayu untuk Benji berhenti menggeletek pinggang aku, akhirnya barulah dia betul-betul berhenti. Aku terasa mengah pula menahan geli dan ketawa tak ingat dunia. Kemudian, Benji mengambil pen yang aku guna tadi dan mula menconteng muka aku pula. Aku cuba menahan tangannya daripada menconteng muka aku. Tetapi aku terlupa dan tak sedar diri yang aku ini hanyalah insan yang lemah. Benji terlalu kuat untuk aku tahan tangannya daripada menconteng muka aku.

       Akhirnya, aku redha kan saja muka aku diconteng oleh Benji. Aku tewas. Kedua-dua tangan aku dipegang oleh Benji. Dia hanya menggunakan sebelah tangannya saja untuk memegang kedua-dua tangan aku. Dan tangannya yang sebelah lagi sedang menconteng muka aku. Benji tersenyum-senyum sambil menconteng muka aku. Suka betul dia dapat membalas dendam. Entah apalah yang dilukisnya pada muka aku itu.

        "Lamanya Benji. Aku conteng sikit je muka kau tadi. Kau conteng muka aku banyak. Mana adil!" ujar aku sambil mengomel. Benji hanya ketawa saja.

       "Mana ada banyak. Aku pun conteng sikit je ni" balas Benji pula. Dia masih lagi tak berhenti menconteng muka aku.

        "Ye ye lah tu" ujar aku masih lagi tak percayakannya.

        "Tak percaya? Jom kita pergi tengok cermin" kata Benji lalu menarik tangan aku dan membawa aku turun ke bilik tidurnya.

        Di bilik tidur Benji, ada sebuah cermin yang sangat besar. Kami berdua pun berjalan menuju ke arah cermin yang besar itu. Sampai saja di depan cermin itu, aku dan Benji ketawa besar melihat muka masing-masing. Muka Benji dah macam kartun. Muka aku pula dah macam kucing. Kami berdua seperti kanak-kanak riang yang terlebih makan gula sampai ketawa tak ingat dunia. Setelah puas menatap muka di cermin sambil ketawa, barulah aku dan Benji pergi mencuci muka kami dan mula tidur. Sampaikan esok hari, kami berdua bangun lambat sebab tidur terlalu lewat malam itu.

BenjiCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang