Bab 1

1.9K 40 0
                                    

Awal pagi lagi Adli sudah mencelikkan biji mata. Dia yang mengalami insomnia tahap kritikal sejak kebelakangan ini bangun mencapai tuala mandi di beranda rumah sebelum masuk ke dalam bilik air. Dengan lemahnya dia mempersiapkan diri untuk ke tempat kerja. Dia tidak bekerja di ofis seperti teman-teman sekelasnya yang lain yang tentunya sudah menjadi eksekutif sekarang ini. Dia tidak perlu berpakaian formal. Tidak perlu merapi rambutnya yang semakin panjang di bahagian hadapan. Sekadar disisir agar tidak kelihatan messy. Dia melihat pantulan dirinya melalui cermin yang sudah lama tidak dilap dengan kain basah. Adli mengenakan t-shirt plain putih lengan pendek dengan seluar jeans skinny hitam. Lengan t-shirtnya dilipat supaya tidak kelihatan menggelebeh. Dia seronok melihat dirinya bersiap ke tempat kerja dalam keadaan yang simple. Tidak perlu bersusah payah menggosok baju dan seluar serta bertali leher. Rimas rasanya. Kasut lagilah. Dia tidak perlu memakai kasut kulit yang tentunya bakal menyakitkan kaki bila tiba waktu petang nanti. Dia hanya memakai Nike Roshe Run hitam putih kesayangannya saja. Itulah yang seronoknya menjadi pekerja retails. Sayangnya, di tempat Adli bekerja, dia perlu masuk seawal 7.30 sekiranya dia syif pagi. Satu perkara yang menyakitkan untuk mereka yang sentiasa tidur mati. Sudah beberapa kali Adli menerima teguran dari manager-nya. Dan beberapa kali itu juga Adli berjanji untuk tidak lewat lagi. Jam tangan yang sedang dipakai sempat dikerling. Masih awal. Aku tak lambat hari ni, getus hati Adli. Dia pantas mencapai sweater, wallet, smartphone, kunci rumah dan beg silang kulit berwarna coklat yang dibeli dari Typo. Kemudian, dia keluar dari kamar tidurnya.
    "Awal bangun?" ibunya yang sedang menyiapkan sarapan menyindir. Sewaktu Adli mandi tadi, ibunya sedang mengerjakan solat Subuh dalam bilik. Melihat senyuman sinis ibunya, Adli hanya mampu tersengih. Ish orang tua ni, nasib baik mak aku, Adli bermonolog dalaman. Tanpa membalas sindiran ibunya tadi, Adli mencapai sandwich berintikan sardin. Dia tidak sempat untuk menikmati sarapan dengan ibunya. Dia tidak mahu terlewat lagi. Perjalanan ke stesen LRT mengambil masa 10 minit. Adli hanya tinggal 45 minit lagi sebelum pukul 7.30. Dia perlu membuktikan kepada manager-nya bahawa dia boleh datang tepat pada masa yang dijanjikan. Sambil mengunyah sandwich tadi dalam keadaan berdiri, Adli bersalaman dengan ibunya. "Kerja elok-elok. Solat jangan tinggal. Solat Subuh ke tak tadi?" tanya ibunya sewaktu dia sedang menyarungkan kasut. Adli tidak menjawab sebaliknya tersengih saja. Dia mencium pipi ibunya sebelum berlari menekan butang lif. Dalam keadaan cemas, dia melihat jam di tangannya. Dia tahu dia akan sempat sampai. Dia tidak akan terlambat kali ini.
    Ting! Lif tiba dan Adli pantas masuk ke dalam sebelum menekan butang 'G'. Seperti biasa, dia terpaksa menahan bau hancing di dalam lif itu. Tidak cukup dengan bau hancing, terdapat dua bungkus plastik sampah dengan aroma yang mengembangkan anak tekak. Adli hanya mampu bernafas menggunakan mulut. Lebihan sandwich yang tidak habis lagi dikemam saja. Tidak lalu rasanya untuk makan dalam keadaan persekitaran yang kotor serta menjijikkan. Mujur lif itu tidak berhenti di tingkat lain. Jadi, tidak perlulah dia menahan nafas dengan lebih lama. Adli tidak faham dengan perangai segelintir penduduk di kawasan flat tempatnya tinggal. Adakah mereka begitu bebal sehingga menyamakan lif dengan tandas dan tempat pembuangan sampah? Tidak bertamadun langsung! Saban hari Adli terlihat mak cik-mak cik tukang sapu sampah membersihkan lif yang dicemari penduduk. Hari-hari mereka menghadap air kencing. Tiap-tiap pagi mereka yang membuang bungkusan sampah ke tempatnya. Pernah juga Adli menolong mereka sikit-sikit kerana bungkusan sampah yang terpaksa diangkat agak berat. Disebabkan dia mempunyai sifat perikemanusiaan, Adli mengangkat dua bungkus plastik sampah tadi dan membuangnya di tempat yang betul. Bukannya jauh pun. Depan flat saja. Kebanyakan penduduk malas hendak turun ke bawah dan membuang sendiri sampah yang mereka buat. Mereka lebih suka guna taktik kotor dengan membuangnya di dalam lif kerana mereka tahu  akan ada yang menguruskannya nanti.
    "Tak apalah, nak. Mak cik boleh buat. Nanti kotor baju kamu," kata mak cik tukang sapu sampah sewaktu dia ternampak Adli menjinjit dua bungkusan plastik sampah tadi. Adli enggan mempedulikan mak cik itu. Dia mahu menabur bakti. Biar sikit, asal memadai. Cukuplah untuk menjadi contoh kepada orang lain supaya membantu mak cik-mak cik yang upahnya tidak seberapa itu. Setidak-tidaknya pagi itu dia sudah mendapat pahala. Adli puas kerana sekurang-kurangnya dia telah meringankan beban mak cik tadi. "Terima kasih ya nak," kata mak cik itu. Adli hanya membalas dengan satu senyuman ikhlas, seikhlas budi yang ditaburnya.
    10 minit kemudian, dia tiba di stesen LRT Hang Tuah. Tubuhnya berkeringat sedikit kerana langkah kakinya yang laju. Mujur dia mempunyai kad Touch 'n Go. Tidak perlulah dia membeli token di mesin. Touch sahaja dan dia boleh go. Untuk ke KLCC, dia perlu menukar tren di stesen Masjid Jamek. Dari Masjid Jamek, barulah dia akan tiba ke stesen KLCC melalui aliran Kelana Jaya. Entah kenapa tren tiba lewat pagi itu. Adli semakin gusar kerana takut terlambat. Dia tidak mahu dimarahi oleh manager-nya lagi. Dia mahu dinaikkan gaji. Jadi, dia perlu mengambil hati manager-nya itu. Ada lagi 25 minit sebelum pukul 7.30. Di tempat kerjanya, jika seseorang itu tahu dia akan terlewat atau sudah pun terlewat, dia perlulah menghubungi person in charge pada hari itu sebagai makluman. Jika tidak, etika kerja sudah pun dilanggar dan ini boleh menggores nama baik sendiri. Kesannya, tindakan tatatertib terpaksa diambil seperti menulis incident report untuk dihantar ke HR. Paling teruk, ianya boleh menjejaskan peluang kerjaya orang itu kerana gagal mendapat sokongan dari manager. Disebabkan Adli yakin dia tidak akan terlewat, dia membiarkan saja. Tenang biarpun tren tiba lambat dari jadual yang ditetapkan.

TerbangWhere stories live. Discover now