Bab 29

278 13 0
                                    

                 

Pulang saja ke rumah, Adli cepat-cepat menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Penat memanjat Bukit Tabur belum hilang. Namun, kepenatannya itu tidak dihiraukan. Semua kerana pertemuannya dengan Hamnet. Entah kenapa Adli teruja dapat bertemu semula dengan Hamnet. Sedangkan dia membenci Hamnet satu ketika dulu. Nampak sangat hidupnya bercelaru sekarang. Merindui sesuatu yang pernah dibencinya dulu. Namun, Adli enggan mempedulikan semua itu. Pertemuannya dengan Hamnet telah membuka ruang pekerjaan. Pak cik Hamnet mahu mengembangkan bisnesnya ke beberapa tempat. Hamnet sedang mencari renjer untuk membantu mereka mengembangkan bisnes itu. Adli tanpa berfikir panjang terus bersetuju. Semua kerana mahu melarikan diri dari Uniqlo.

            Sekejap tadi Adli menekan butang ignore lagi apabila Uniqlo telefon. Dia tahu mesti Diyana akan membebel-bebel kepadanya tentang attendance. Pergi mampus. Aku dah tak ada hati nak kerja, kata Adli sambil terus membelek telefonnya. Dia sedang asyik ber-WhatsApp dengan Naeem. Mereka tidak henti-henti berbual mengenai Hamnet yang dikatakan sudah banyak berubah sekarang. Mereka turut sama menyorot kembali kenangan zaman diploma dulu.

            Adli tertarik untuk menghidupkan laptop-nya dan mencari gambar-gambar lama yang tersimpan dalam hard disk. Gigihnya Adli menggodek-godek fail lama terkandung dalam hard disk itu. Akhirnya dia jumpa juga. Fail yang bernama 'Lendu'.

            Klik!

            Dia membuka fail itu. Terdapat beberapa fail yang mengandungi semua assignment-nya sewaktu Diploma dulu. Terdapat juga video-video yang merakam pelbagai kenangan. Semua video berkualiti rendah kerana hanya menggunakan Nokia Xpress Music yang sudah hilang entah ke mana. Paling banyak adalah gambar-gambar Adli bersama teman-temannya. Diambil menggunakan Canon EOS 100D hadiah pemberian arwah ayahnya sebelum masuk ke UiTM Melaka.

            Adli skrol hingga ke bawah. Mengamati satu per satu gambar yang terdapat dalam fail itu. Dia tersenyum sendiri. Mengenang semua memori di waktu lampau. Ada yang masih bersahabat dengannya. Ada yang sudah hilang entah ke mana. Ada yang kini sudah berjaya. Ada juga yang sama sepertinya berada dalam keadaan hampa. Walau di mana jua mereka semua berada, Adli berharap sangat agar mereka bertemu dengan apa yang mereka impikan. Biarpun dia tahu dirinya juga kini sedang berada di awang-awangan. Insya-Allah, satu hari nanti Tuhan akan bukakan sayap kita. Dan kita mampu terbang mengorak langkah menuju ke destinasi impian.

            Skrol terhenti. Adli menekan satu gambar. Dia menatap lama gambar itu. Gambar dia, Hamnet, Naeem dan Afiq. Mereka berempat sedang berlengging. Hanya memakai boxer masing-masing dengan gaya ala-ala kamikaze. Waktu itu, mereka sedang mengecat bilik. Habis penuh satu badan mereka dengan tompokan cat. Adli jadi tidak keruan melihat gambar itu. Entah apa mimpi mereka berempat untuk tiba-tiba cat bilik jadi cantik. Tak ada pertandingan pun. Siap kena marah lagi adalah sebab sesuka hati mengubah suai prasarana UiTM. Namun, ia salah satu kenangan yang sukar untuk Adli lupakan. Biarpun waktu itu Naeem dan Adli sudah membenci Hamnet, mereka masih tetap dapat bekerja bersama memastikan bilik itu cantik semula.

            Pandangan Adli teralih pada Afiq. Mana agaknya Afiq menghilangkan diri ya? Adli pantas membuka laman sesawang Facebook. Dia mencari nama Afiq Fabianski. Tersenyum sendiri Adli mengenangkan betapa obsesnya Afiq dengan Łukasz Fabiański, pemain bola sepak antarabangsa. Dulu kalau nak tengok bola, Adli mesti ajak Afiq. Naeem tak minat bola. Adli memang tak akan sebulu dengan Hamnet. Jadi lebih baik dia ajak Afiq. Sekurang-kurangnya minat mereka berdua sama. Afiq memang minat gila bola. Adli akan jadi teruja menonton bola bersama Afiq. Afiq buat Adli rasa macam betul-betul berada dalam stadium. Setiap kali pasukan kegemaran mereka berjaya menjaringkan gol, laungan GOL sekuat hati akan kedengaran dilepaskan oleh insan yang bernama Afiq tidak kiralah waktu itu sudah menginjak ke dinihari sekalipun. Afiq memang jenis yang tak kisah. Asalkan dia bahagia, itu sudah cukup memadai.

            "Hai Afiq...Afiq...manalah kau pergi?" tanya Adli.

            Dia menekan butang mesej. Kali terakhir mereka sama-sama berdiskusi di Facebook adalah pada 14 Jun 2012. Waktu itu masing-masing sudah terpisah. Adli dan Naeem pun sudah tidak tinggal bersama lagi. Afiq sudah kembali ke kampung halaman. Menurutnya dalam Facebook Messenger itu, tulang belakangnya retak. Dia terpaksa direhatkan selama tiga minggu. Anehnya, selepas tiga minggu, Afiq terus menyepi. Tiada siapa tahu dia ke mana. Dan tiada siapa yang mengambil inisiatif untuk mencari. Lama-kelamaan, nombor telefon Afiq pun hilang dari simpanan Adli sendiri.

            Adli menakup mukanya. Kenapa aku pentingkan diri sangat? Entah-entah Afiq tak ada duit. Ataupun sakit teruk. Kenapa aku tak terfikir untuk tanya dia sendiri apa yang dah jadi? Adli mula menyesal dengan apa yang telah dia lakukan. Dia tidak sepatutnya berbuat sedemikian kepada kawannya sendiri. Sekurang-kurangnya dia perlu mengambil tahu. Hidup lagikah Afiq? Atau mati sudahkah? Kalau mati, kenapa tak ada yang memberitahu?

            Dengan penuh rasa ingin tahu, Adli menghantar mesej kepada Afiq melalui Facebook Messenger itu. Dia menaip dengan laju.

            Salam...

            Adli menantikan penuh sabar untuk Afiq membalas mesej itu. Sementara menunggu, dia menggodek lagi laman profile Afiq. Kali terakhir dia post sesuatu adalah pada 18 Ogos 2014. Selepas itu, dia sepi. Ramai yang berniaga secara online tag namanya untuk promosi namun dia langsung tidak membalas. Orang wish birthday pun dia senyap je. Hairan. Mana agaknya Afiq menghilangkan diri?

            "Adli..."

            Persoalan itu dibiarkan dulu apabila Adli dipanggil oleh ibunya untuk makan. Cepat-cepat dia mematikan laptop-nya dan keluar dari bilik itu. Sedang melangkah menuju ke luar, Adli menerima WhatsApp dari Naeem.

            Afiq apa cerita?

TerbangWhere stories live. Discover now