Bab 49

202 10 0
                                    

                 

Adli mencari ibunya, Analiza yang tidak pulang-pulang dari tadi. Adli jadi risau. Menurut Analiza, dia akan ke pasar untuk membeli barang-barang sempena majlis tahlil yang akan diadakan malam nanti. Bila melihat waktu semakin menginjak ke petang, Adli jadi semakin tidak keruan. Dia terus mencari ke mana ibunya pergi. Bermula dengan kedai Cik Watie, tempat biasa ibunya melepak hinggalah ke tanah perkuburan tempat di mana ayahnya disemadikan. Tiada. Ibunya tiada di tempat-tempat itu.

            "Mana ibu pergi ni?" tanya Adli sambil matanya masih melilau mencari.

            Sekejap tadi Adli baru saja menghubungi Amira untuk bertanya sama ada ibu mereka sudah pulang ke rumah atau belum. Hati Adli jadi tidak sedap bila Amira memberitahunya Analiza belum pulang lagi.

            Macam-macam yang difikirkan oleh Adli. Emosi ibunya yang masih tidak stabil lagi membuat Adli paranoid. Macam mana kalau Analiza buat sesuatu yang bodoh? Seperti terjun dari tingkat 16 flat mereka? Atau mungkin sengaja berdiri di tengah-tengah jalan raya supaya ada kereta yang melanggarnya?

            Adli beristighfar panjang. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya kerana tidak mahu mencemari fikiran sendiri dengan perkara-perkara negatif. Dia perlu optimistik dan positif. Dia yakin ibunya selamat. Dia cuma perlu mencari di mana ibunya berada dan dia akan membawa ibunya itu pulang ke rumah.

            Tiba-tiba Adli teringat tentang Rania Sufiyya.

            "Takkan ibu pergi serang perempuan tu?" tanya Adli, sendiri.

            Dia menggeleng-gelengkan kepala. Tak mungkin. "Ibu is way better than that."

            Selepas kepenatan mencari, Adli akhirnya menyerah kalah. Dia kembali semula ke rumah untuk merehatkan fikiran. Usai memarkir kereta milik arwah ayahnya, Adli turun dalam keadaan hampa. Sedang berjalan menuju ke flat kediamannya, Adli terperasan ibunya sedang duduk di taman permainan dengan seorang lelaki. Adli tidak cam siapa lelaki itu. Mereka kelihatan seperti sedang serius berbincang mengenai sesuatu. Tak silap Adli, lelaki itu kenalan arwah ayahnya. Menetap di kawasan flat itu juga. Mungkin lelaki itu mahu bertanyakan kepada Analiza tentang keadaan wanita itu. Adli berfikiran positif.

            Melihat Adli semakin menghampiri, lelaki itu meminta diri. Dia sekadar menganggukkan kepalanya kepada Adli sewaktu mereka berselisih bahu. Adli hanya mengukirkan senyuman tawar kerana dia masih lagi risau dengan keadaan ibunya. Rasa macam nak marah pun ada. Orang risaukan dia. Rupanya dia dekat sini.

            "Ibu pergi mana? Kenapa tak jawab bila orang call?" Adli terpaksa bertanyakan soalan itu dengan nada lembut kerana tidak mahu membuat ibunya berkecil hati. Walhal sebenarnya dalam hati, hanya Tuhan yang tahu betapa dia mahu membentak kerana ibunya telah membuat dia risau separuh mati tadi.

            "Saja ambik angin. Jumpa kawan-kawan ayah kamu. Kawan-kawan ibu. Selesaikan apa yang patut." Analiza menjawab tanpa memandang wajah Adli langsung.

            Adli yang tidak mengerti apa maksud di sebalik kata-kata Analiza itu, mengambil tempat di sebelah ibunya. Dia memegang tangan ibunya. Dalam keadaan emosi ibunya yang tidak tentu hala itu, Adli tahu dia perlu berada di sisi ibunya setiap masa. Memberi kata-kata semangat untuk ibunya meneruskan kehidupan ini.

            Berat rasanya untuk Adli bertanyakan soalan yang bersarang dalam fikirannya sekarang. Namun, dia benar-benar mahu tahu. Apakah benar arwah ayahnya berselingkuh dengan Rania Sufiyya? Adakah itu punca pergaduhan Analiza dan Zaidi? Sehingga membuat Zaidi lari dari rumah?

            "Ibu..." Adli menyebut nama ibunya.

            Analiza menoleh. Dia memandang redup wajah anak sulungnya itu. "Ya?"

            Adli menelan air liur sebelum mengutarakan pertanyaan. "Betul ke ayah curang?"

            Analiza terkejut mendengar pertanyaan anaknya itu. Dia kelihatan resah cuba memikirkan jawapan yang sepatutnya diberi. Dia mengalihkan pandangan. Menarik nafas dengan panjang sebelum berkata, "Benda dah lepas, Adli. Ayah pun dah takde lagi. Tak payahlah kita ungkit benda yang dah lepas. Semua pun dah selesai."

            Jawapan yang diberi Analiza itu ternyata tidak memuaskan hati Adli. Dari tadi Analiza asyik cakap pasal semuanya dah selesai. Apa yang dah selesai? Tak pahamlah. Kata Adli di dalam hati.

            "Amira cakap..."

            "Amira tak tau apa-apa." Analiza memotong kata-kata Adli.

            Adli terdiam.

            "Ada benda dalam dunia ni kita tak faham, Adli. Tak perlu kita persoalkan. Benda yang lepas, tak usahlah dikenang. Kita baiki diri kita yang sekarang. Ibu harap, kamu faham."

            Analiza bangkit dari duduknya. Dia mencapai beg plastik yang terisi dengan bahan-bahan mentah untuk dijadikan santapan buat majlis tahlil malam nanti. Kemudian, dia berlalu meninggalkan Adli yang masih kebingungan di bangku taman permainan itu.

            Melihat anaknya yang langsung tidak berganjak, Analiza menoleh ke belakang. "Kamu nak ikut ibu naik tak?"

            Adli berhenti mengelamun. Dia pantas berdiri dan mendapatkan ibunya. Mencapai beg plastik dari tangan ibunya dan berjalan seiring menuju ke flat kediaman mereka. Fikiran Adli masih lagi memikirkan tentang apa yang ibunya katakan dia. Dia langsung tak faham. Yang dia tahu, ayahnya memang curang dengan Rania Sufiyya. Rania Sufiyyalah yang telah menghancurkan rumah tangga ibu dan ayahnya. Dan Adli tidak akan sekali-kali melupakan Rania Sufiyya. Dia akan terus berdendam dan tidak akan memaafkan perempuan itu.

TerbangWhere stories live. Discover now