Hamnet mengimamkan solat Maghrib dan Isyak. Mereka semua termasuk ahli keluarga Afiq sama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak di ruang tamu rumah. Hamnet sekali lagi mengejutkan kawan-kawannya. Dia menghafaz surah-surah panjang. Dia mampu membaca doa seperti seorang imam. Benar-benar mengagumkan. Sangkaan mereka, Hamnet hanya sudah berubah dari segi keimanan. Tidak sangka pula Hamnet setanding seorang imam muda. Benarlah apa kata orang. Manusia memang boleh berubah. Dan mereka mengagumi perubahan Hamnet sekarang.
Adli sempat menjeling ke arah Adda sewaktu Hamnet sedang membaca doa. Adda langsung tidak sedar Adli sedang memandangnya. Dia hanya tersenyum melihat betapa waraknya Hamnet. Timbul rasa cemburu dalam diri Adli. Kemudian, dia memandang Hamnet yang langsung tidak sedar Adda sedang memerhatikannya. Adli tidak mahu menanam perasaan iri hati terhadap sahabatnya sendiri. Terutama ketika mereka baru saja berkawan semula. Dia cuma terkilan dengan dirinya sendiri. Dulu dia rajin mendirikan solat. Rajin beribadah. Dia langsung tidak tahu sejak bila dia malas untuk membentang sejadah dan menghadap Tuhan. Segala-galanya berlaku dengan pantas. Adli yakin. Tentu ibunya kecewa dengan dirinya yang sekarang. Serta-merta ingatan Adli teralih pada ibunya yang kini tentu sedang berseronok di rumah Amira.
Usai menunaikan solat, Adli meminta diri untuk menghubungi ibunya. Tiba-tiba dia terasa rindu terhadap ibunya itu. Selepas menghantar ibunya ke rumah Amira tempoh hari, Adli langsung tidak menelefon. Dia sebenarnya masih terkesan dengan kehilangan ibunya itu. Dia merajuk. Namun, rajuknya itu tidak lama. Tanpa perlu dipujuk, dia kembali mencari ibunya.
"Helo, assalamualaikum" suara Analiza kedengaran di corong telefon.
Adli rasa seperti hendak menangis mendengar suara ibunya itu. Dia menarik nafas panjang. "Ibu..."
"Adli?" Analiza dapat merasakan sesuatu yang berbeza dari nada suara anaknya itu. "Adli okey ke?"
Adli tidak mahu ibunya fikir yang bukan-bukan. Dia pantas berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku. "Adli okey, ibu. Saja telefon ibu. Rindu."
Tanpa perlu melihat wajah ibunya, Adli tahu Analiza sedang tersenyum.
"Ibu pun rindu pada Adli. Macam mana cuti? Okey? Kawan-kawan semua okey?" tanya Analiza yang tahu Adli kini berada di Cherating.
"Sihat. Diorang semua sihat. Mak ayah Afiq baik-baik, ibu. Diorang layan kitorang macam anak sendiri." Adli bercerita persis anak kecil.
Analiza tertawa kerana tidak pernah Adli bermanja-manja dengannya sebegitu sejak dua menjak ini. "Alhamdulillah. Eloklah kalau macam tu. Kirim salam dekat diorang ya? Entah diorang ingat ibu lagi ke tidak."
"Eh diorang ingat. Diorang pun kirim salam dekat ibu," kata Adli.
"Waalaikumsalam," jawab Analiza.
"Ibu sihat?"
"Sihat, alhamdulillah."
"Seronok duduk sana?" sengaja Adli bertanyakan soalan itu. Sengaja dia mahu menyakitkan hati sendiri kerana dia sudah tidak jawapan apa yang akan diberikan Analiza.
"Seronok sangat! Kawan-kawan Amira semua suka ibu masak."
Adli merengus. Aku pun suka mak aku masak jugak!
"Diorang semua baik-baik, Adli. Ibu nak carikan kamu satu calon isteri." Analiza berseloroh.
Adli membuntangkan matanya mendengar cadangan Analiza itu. "Hish apa ibu ni!?"
YOU ARE READING
Terbang
AdventureAdli menyangka selepas dia memiliki segulung ijazah, dia mampu menyara keluarganya dengan gaji yang lumayan. Namun, dia terkandas kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan. Pertemuan semula dengan sahabat lama telah membuka ruang kepada...