Perjalanan ke Lendu sepatutnya mengambil masa selama satu jam setengah namun disebabkan dia terlalu dibuai perasaan sayu, hampir dua jam setengah baru dia tiba. Adli rasa lemah selemah-lemahnya. Tidak pernah dia rasa hilang semangat sebegini rupa. Meninggalkan ibu dan adiknya di Kuala Lumpur adalah satu perkara yang sukar untuk diharung. Namun, dia tahu. Dia berada di Melaka kini untuk menuntut ilmu. Seperti yang dikehendaki oleh arwah ayahnya yang baru saja meninggal dunia. Dia tidak akan sekali-kali menghampakan amanat yang diberi. Dia akan menghabisi pengajiannya dan membuat keluarganya bangga.
Sebagai seorang pelajar semester pertama, Adli tidak sepatutnya membawa kenderaan ke kampus. Itu adalah syaratnya. Namun, disebabkan dia tidak punya banyak pilihan, dia membawa juga. Lagipun, lebih mudah jika dia mempunyai kenderaan sendiri. Sekurang-kurangnya dia boleh pulang ke Kuala Lumpur bila-bila masa dia suka. Ibu dan adiknya tidak tahu memandu kereta. Buat apa dibiarkan saja kereta mereka itu tersadai di tepi jalan tanpa diguna? Sebab itu Adli mengambil keputusan untuk membawa kereta itu pulang ke UiTM Melaka.
Kepulangan Adli disambut oleh Afiq yang sedang duduk bersidai di hadapan koridor kolej. Pada mulanya dia tidak perasan Adli yang memandu kereta Proton Saga Putih itu. Setelah Adli keluar, baru Afiq bangun dan menuju ke arah teman sebiliknya itu.
Afiq mendapat berita tentang kematian ayah Adli dari Naeem. Adli sudah dua hari tidak pergi ke kelas kerana menguruskan kematian ayahnya itu. Afiq tidak berkesempatan untuk menghubungi Adli dan menawarkan takziahnya kerana Adli langsung tidak mengusik telefonnya sepanjang berada di Kuala Lumpur. Afiq faham. Tentu Adli perlukan masa bersama ibu dan adiknya. Tidak mudah untuk menerima hakikat bahawa orang yang paling kita sayang telah tiada lagi di dunia ini. Keluarga Adli seperti hilang seorang nahkoda. Kini, Adli menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin keluarga. Pemimpin yang terpaksa merantau ke negeri orang demi mencedok ilmu supaya cerah masa depan.
Perkara pertama yang dilakukan oleh Afiq ketika bertemu dengan Adli adalah memberi satu pelukan erat. Afiq turut membisikkan ucapan takziah kepada Adli kerana telah kehilangan ayahnya. Adli pada mulanya tidak menyambut pelukan Afiq itu kerana dia tidak mahu lagi dihurung rasa sayu namun kerana tidak tahan, dia membalas pelukan Afiq itu dan mencengkam badan Afiq seeratnya. Air matanya mengalir. Puas dia cuba menahan diri dari menangis ketika dalam perjalanan pulang ke Melaka tadi. Air matanya tumpah juga. Afiq menepuk-nepuk belakang badannya sebagai tanda memujuk. Mungkin Afiq tidak faham bagaimana rasanya kehilangan orang yang tersayang namun Afiq tahu ia sesuatu yang cukup menyakitkan.
Afiq membantu Adli membawa begnya naik ke kolej. Sepanjang perjalanan pulang ke bilik, Adli dan Afiq langsung tidak bercakap. Afiq tidak tahu apa yang patut ditanyakan. Dia tahu kereta yang dipandu Adli tadi milik arwah ayahnya. Jadi dia mendiamkan saja dirinya kerana tidak mahu bertanyakan soalan abuden.
"Thanks..." kata Adli apabila mereka tiba di bilik.
Afiq sekadar menganggukkan kepalanya. Dia meletakkan beg Adli di atas katil. Kemudian, dia memerhatikan saja gelagat Adli yang sedang sibuk mengemas barang-barangnya dalam almari. Adli seperti sengaja mahu menyibukkan diri. Tidak mahu memikirkan tentang kehilangan yang telah berlaku dalam hidupnya. Afiq faham. Jika dia berada di tempat Adli pun, dia akan melakukan perkara yang sama.
"Urm..." Afiq cuba memulakan perbualan.
"Aku okey, Afiq. Kau jangan risau." Adli memotong kata-kata Afiq.
Afiq terkedu. Bukan itu yang ingin dikatakan. Dia menggelengkan kepalanya. "Tak, bukan tu aku nak cakap."
Adli menoleh. Malu pula rasanya sebab potong kata-kata Afiq tadi. "Habis tu?"
Afiq diam seketika. Tidak tahu bagaimana mahu memberitahu Adli. Dia harus menyusun kata-katanya supaya tidak menyinggung perasaan temannya itu.
"Apa dia yang kau nak cakapkan?" tanya Adli lagi, masih cuba menyibukkan diri dengan mengemas almarinya yang sudah beberapa hari tidak berusik.
"Masa kau takde...kitorang tolong buatkan tahlil dekat masjid kampus..." kata Afiq.
Adli terus berhenti mengemas almarinya. Kemudian, dia menoleh ke arah Afiq. "Betul ke?" Adli seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi.
Afiq menganggukkan kepalanya perlahan. Sebagai seorang teman, itu saja yang mampu dilakukan olehnya.
Adli datang menghampiri Afiq. Sekali lagi dia rasa seperti hendak menangis. Dia benar-benar terharu dengan apa yang Afiq lakukan. Dia tersenyum.
"Malam ni ada lagi. Join la kalau free." Afiq memberitahu.
Senyuman Adli semakin lebar. "Of course! Of course!"
Memang itu rancangan Adli. Dia akan sentiasa mengadakan doa tahlil untuk arwah ayahnya. Dan Afiq telah membantunya sepanjang ketiadaannya di situ.
Adli terus memeluk tubuh montel Afiq. Afiq membalas pelukan Adli itu dan mereka bergoyang-goyang ke kiri dan ke kanan.
"Kereta buruk siapa dekat bawah tu?" tiba-tiba kedengaran suara Naeem dari luar. Dia membuka pintu dan terkejut melihat Afiq dan Adli sedang berpelukan.
Afiq dan Adli terus meleraikan pelukan mereka. Rasa awkward pula.
"Is this a bad time?" tanya Naeem, bergurau.
Afiq dan Adli terus tertawa. Naeem turut sama tertawa sebelum menghampiri Adli dan mengucapkan takziah.
"Malam ni datang tahlil ayah kau?" tanya Naeem.
Adli menganggukkan kepalanya. Mereka sama-sama tersenyum.
Ketika kepishangan tadi masih belum reda, Hamnet pula masuk ke dalam bilik. Dia yang memang tidak mempunyai hubungan baik dengan Adli diam saja tanpa mengucapkan apa-apa. Sedangkan dia tahu Adli baru saja kehilangan ayahnya. Adli pun tidak mempedulikan Hamnet. Bukan dia mahukan simpati dari lelaki keparat itu pun. Tak ucap takziah pun tak apa.
Adli terus menyambung kerjanya mengemas almari tadi sementara Afiq dan Naeem terbaring di atas katil masing-masing. Sambil mengemas almarinya, Adli tersenyum sendiri. Dia masih rasa terharu dengan apa yang telah dilakukan oleh teman-teman rapatnya. "Alhamdulillah, besar pahala diorang."
YOU ARE READING
Terbang
AdventureAdli menyangka selepas dia memiliki segulung ijazah, dia mampu menyara keluarganya dengan gaji yang lumayan. Namun, dia terkandas kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan. Pertemuan semula dengan sahabat lama telah membuka ruang kepada...