Bab 17

531 14 0
                                    




                 

Kini dia yakin firasat hatinya tidak salah. Pekan yang dijejakinya itu langsung tidak berpenghuni. Sunyi sepi bagaikan sebuah kota yang sudah mati. Yang tinggal hanyalah deru angin yang menyeramkan apabila disapa lembut pada telinga.

            "Helo? Ada orang tak!?" dia cuba berteriak namun yang kedengaran hanyalah sahutan suaranya yang bergema di segenap ruang.

            Adam mengerutkan dahinya melihat keadaan dalam pekan itu. Banyak kereta diparkir cantik pada bahu jalan dan di tempat-tempat meletak kenderaan. Tidak ada tanda-tanda kekecohan pernah berlaku di situ. Bererti penghuni tempat itu bagaikan hilang dalam sekelip mata. Pintu kereta langsung tidak berkunci. Premis perniagaan ditinggalkan begitu saja. Perkara ini langsung tidak masuk akal. Sukar untuk dijelaskan dan jika difikir sedalamnya, menambahkan rasa sakit kepala.

            Telinganya dapat menangkap kicau burung di udara. Dia mendongak ke arah langit dan terpegun melihat dua ekor burung enggang sedang terbang menuju ke bandar. Belum pernah lagi dia melihat burung enggang di Kuala Lumpur. Dia tidak pasti sama ada dia sedang bermimpi kini atau benar-benar berada di alam realiti. Jika benar ini adalah realiti, ke mana semua orang pergi?

            "Aduh!" Adam terpijak secebis kaca. Dia terduduk melihat tapak kaki sebelah kanannya berdarah.

            Dia mengerang kesakitan sambil cuba menutup luka pada tapak kakinya itu. Darah mengalir dengan laju kerana kaca yang dipijaknya tadi agak besar. Dia mendesis kerana cuba menahan rasa pedih. Dia tahu jika dia tidak mencuci lukanya itu, berkemungkinan besar ia bakal merebak dan terkena infeksi.

            Matanya melilau cuba mencari mana-mana premis perniagaan yang menjual kapas atau plaster untuk menutup lukanya. Mujur terdapat 7-Eleven tidak jauh dari situ. Adam bangun perlahan-lahan sambil mendesis kesakitan. Darah masih lagi menitis. Dia terpaksa berjalan terhincut-hincut. Kaca yang dipijaknya tadi sudah pun dikeluarkan. Dia hanya perlu menutup luka itu bagi mengelakkan pendarahan.

            Dia terduduk di hadapan pintu 7-Eleven kerana tidak berdaya menanggung kepedihan. Tercungap-cungap dia cuba bernafas. Baju dan seluar putihnya tadi sudah kotor sedikit. Adam menoleh ke belakang di mana dia ternampak plaster, kapas dan banyak lagi alat-alat bantuan kecemasan untuk mencuci lukanya berdekatan dengan kaunter pembayaran.

            Sambil merangkak, dia masuk ke dalam 7-Eleven itu. Penghawa dingin yang masih beroperasi menyejukkan tubuhnya yang sudah dibasahi peluh. Dia tidak berdaya untuk bangun. Jadi, dia terpaksa merangkak. Tempat pertama yang ditujunya ialah rak di belakang kaunter pembayaran. Plaster dan kapas dicapai dalam keadaan melutut. Kemudian, dia membawa barang-barang itu ke belakang di mana letaknya peti sejuk minuman. Adam mahu mencuci lukanya dengan air mineral.

            Peti sejuk dibuka dengan ganas. Dia segera mengambil sebotol besar air mineral. Sambil bernafas dengan laju, dia mencucuh kakinya pada air yang dituang ke atas lantai. Adam menjerit kesakitan kerana lukanya agak dalam. Air matanya bercampur dengan peluh yang mengalir deras. Kapas yang diambil tadi digunakan untuk menutup luka. Beberapa keping plaster dijadikan pelekat untuk menampung kapas dari terjatuh. Kemudian, Adam mengoyakkan lengan baju. Dia mahu mengikat kakinya supaya luka itu dapat ditutup dengan ketat. Selepas semuanya selesai, dia tersandar pada pintu peti sejuk. Tubuhnya terasa begitu lemah. Dia menutup matanya dan terlena seketika.

            Dia terjaga semula apabila tekaknya terasa kering. Air mineral yang digunakan untuk mencuci lukanya tadi masih bersisa. Dia menggenggam botol air itu dan minum sepuasnya. Dia mengelap bibir sambil memerhatikan keadaan di dalam premis itu. Ada banyak makanan ringan. Perutnya yang memang sudah lapar semakin berkeroncong kuat. Dia bangun perlahan-lahan sambil cuba untuk menahan rasa sakit pada kaki. Sambil terhincut-hincut, dia mencapai keropok, roti dan coklat dari rak-rak yang tersusun cantik.

TerbangWhere stories live. Discover now